Showing posts with label Hang Tuah. Show all posts
Showing posts with label Hang Tuah. Show all posts

Thursday, September 17, 2015

Antara merah dan maruah

Sampai bila kita nak terus begini? Kita dah 58 tahun merdeka dari British. Dah 52 tahun penubuhan Malaysia dengan Perlembagaan Persekutuan. Kita masih lagi belum dewasa. Masih kebudak-budakan. Sedih, teramat sedih melihat negara dan bangsa kita.

COMMENT
Oleh Yunus Tasim

Apa yang berlaku semalam sangat menyedihkan. Atas nama Himpunan Melayu Bersatu, Himpunan Maruah Melayu, anak-anak Melayu menjadi hamba kepada ‘tuhan-tuhan’ dan politikus usang Melayu. Apakah Melayu sudah mencapai objektif dari perhimpunan semalam.

Atau kita menanggung malu?

Terlalu cepat Ahmad Maslan mendabik dada? Terlalu pantas Najib mengambil kredit. Najib kata pada Annuar Musa yang dia terkejut dan terharu dengan himpunan seaman ini. Ahmad Maslan suruh Bersih belajar dari Baju Merah untuk perhimpunan aman. Tapi tak lama kemudian Allah menemplak mereka. Seramai lebih 800 baju merah cuba merempuh sekatan polis untuk ‘menceroboh’ Petaling Street. Polis terpaksa menggunakan air kimia dan gas pemedih mata untuk mengawal keadaan. Ini tidak terjadi di Bersih 4 walaupun mereka telah berkampung dekat Dataran Merdeka selama 34 jam.

Siapa malu? Perdana Menteri dan Menteri-Menterinya? Tidak, Melayu juga yang jadi mangsa.

Melayu perlu Jebat

Melayu harus sedar! Melayu tidak boleh terus jadi Hang Tuah. Tidak boleh kita terjun ke dalam kolam najis hanya untuk membuktikan kesetiaan untuk menyelamatkan kuda raja. Melayu mesti bijak. Ada cara lain, teknik lain untuk menyelamatkan kuda raja. Melayu tidak harus setia membuta tuli.

Di mana Hang Jebat sekarang ini? Di mana penegak kebenaran yang berjuang untuk rakyat?

Seharusnya perhimpunan semalam benar-benar dijadikan pentas untuk mengembalikan maruah Melayu yang luhur. Maruah penegak kebenaran. Maruah menentang penyelewengan dan kezaliman. Maruah menyatakan dengan jelas Melayu tidak boleh dibodoh, ditipu dan diperkotak-katikkan lagi. Samada oleh negara lain, bangsa lain waima politikus dan pemimpin dari bangsa Melayu sendiri.

Melayu harus celik! Melayu harus bangkit! Melayu tidak boleh lagi digula-gulakan hanya dengan sekadar RM100, sehelai T-shirt merah untuk berhimpun, berjalan berbatu-batu dan kemudian merusuh di kawasan perniagaan Cina sedangkan ada pemimpin Melayu sendiri yang salahguna RM2.6billion. Dengan RM100 setiap seorang, sudah pasti pemimpin yang korup itu boleh bawa 26 juta anak Melayu untuk berhimpun di ibukota, jika anak Melayu begitu murah harganya.

Tidak salah kita berhimpun. Tapi biar perhimpunan itu mempunyai objektif yang jelas. Kita boleh buat lebih baik dari itu jika hanya untuk menunjukkan kita bersatu dan mempamerkan maruah diri.

Benarlah apa yang bekas ahli Umno Langkawi, Puan Anina kata, “Tidak guna berkumpul dan bersorak di tepi jalan jika Melayu tetap mempertahankan pemimpin Melayu yang jahat. Orang Melayu akan menjadi kuat jika sekiranya pemimpin Melayu berwibawa, jujur, ikhlas dan bertanggungjawab”.

Kita tidak tolak Umno

Benarlah peribahasa Inggeris mengatakan “The fish rots from the head”, busuk ikan bermula dari kepalanya. Kita bukan tolak Umno. Kita bukan tolak pemimpin hanya kerana mereka pemimpin Umno. Tapi kita tolak pemimpin yang korup, pemimpin yang tidak amanah dan tidak bertanggungjawab yang dengan sewenang-wenangnya menyalah guna aparat kerajaan untuk mempertahankan kuasa, tidak kira mereka dari Umno atau parti-parti lain.

Melayu yang berhimpun semalam harus melihat dalam diri mereka sendiri. Kita yakin warganegara bukan Melayu telah dapat mesej sejelas-jelasnya yang Melayu itu sensitif dan Melayu itu tidak suka diperbodoh dan dikecil-kecilkan. Tapi janganlah maruah kita tercalar dan rosak jika kita berhimpun untuk mempertahankan pemimpin Melayu yang korup dan tidak amanah. Melayu juga akan berhimpun untuk menolak pemimpin apa sahaja yang korup dan zalim kepada rakyatnya tidak kira ianya Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan.

Melayu harus meminta supaya penyiasatan terhadap 1MDB dipercepatkan supaya kebenaran terserlah. Mengapa penyiasatan mengambil masa terlalu lama. Mengapa pasukan penyiasatan dikuburkan? Melayu yang berhimpun semalam harus menolak penjelasan mudah dan terdesak yang wang RM2.6 billion itu adalah derma. Melayu baju merah harus mendesak supaya penderma itu dinyatakan, berapa baki dari wang RM2.6billion dan dimana baki itu sekarang. Gelombang Melayu merah semalam harus bangkit meminta janji ditepati supaya Najib menyaman Wall Street Journal dan Al-Jazeerah kerana mereka telah merosakkan maruah Malaysia, jika laporan mereka salah.

Sayang…. Hang Jebat sudah tiada. Yang tinggal hanyalah cucu-cicit Hang Tuah yang setia membuta tuli.

Yang lebih parah, lebih banyak cucu-cicit Hang Lick-U yang menjadi pemimpin-pemimpin orang Melayu sekarang ini.

Entah sampai bila?

Yunus Tasim adalah pembaca FMT

Saturday, August 22, 2015

'Geng Hang Tuah, Si Kitul lindungi 1MDB'

Bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Abdul Hamid Bador mendakwa ada kumpulan sulit yang cuba menutup isu 1MDB.

Menggelarkan kelompok itu sebagai Geng Hang Tuah, Abdul Hamid bagaimanapun tidak mendedahkan identiti mereka.
Beliau menyebut nama kumpulan itu ketika Malaysiakini bertanya mengenai kemunculan mesej WhatsApp palsu mendakwa dia akan memfailkan aduan terhadap bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya Geng Hang Tuah menyebarkan mesej palsu yang mendakwa dia akan mengadakan sidang media di Bukit Aman untuk mendedahkan pembabitan Dr Mahathir dengan pengubahsuaian laporan 1MDB sebelum disiarkan Sarawak Report.

Abdul Hamid juga mendakwa kumpulan rahsia itu diketuai Si Kitol.

Katanya, beliau berjanji akan mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai dalang kumpulan itu selepas ini.

"Saya pasti mereka daripada kumpulan Hang Tuah yang bertanggungjawab menyebarkan maklumat salah.

"Saya akan dedahkan nama Si Kitul tak lama lagi," katanya.

Si Kitol merujuk kepada nama pengkhianat yang membocorka rahsian Melaka kepada Portugis pada abad ke-16 sehingga menyebabkan kerajaan Melayu itu runtuh.

Ditanya lebih lanjut Abdul Hamid berkata, mereka mahu mengelak isu 1MDB dipersoalkan.

"Kumpulan ini cium tangan pun mahu demi melindungi kepentingan peribadi," katanya.

[Baca berita asal]

Friday, August 22, 2014

Mahathir macam Sultan Melaka?

SUBKY LATIF | 21 Ogos 2014.
TUN Dr. Mahathir telah menarik pula sokongannya kepada Perdana Menteri Najib justeru kelemahan pimpinannya, pada pandangannya merugikan negara. Apabila negara rugi, maka apa lagilah rakyat.

Kononnya tidak berbangkit dia hendak menjatuhkan Perdana Menteri itu sebagaimana yang dilakukannya tolong menjatuhkan Perdana Menteri Abdullah Badawi sebelumnya, tetapi setakat ini sekadar menarik sokongan dan kepercayaannya kepada Najib.

Apa yang akan dibuatnya selepas ini akan kita sama-sama perhatikan. Apakah akan sekali lagi keluar Umno seperti yang dilakukannya dulu?

Yang nyata padanya, dia angkat Abdullah Badawi sebagai gantinya 11 tahun, Abdullah telah mengecewakannya. Dia dapat buang orang tua itu. Atas isyarat dan pencerahannya, diangkat Najib sebagai ganti.

Najib sebagai ganti itu telah dirancangnya sejak sebelum Abdullah menamakan timbalannya. Pernah Abdullah bersungut, berilah kebebasan padanya memilih timbalan yang juga dikira bayangan sebagai penggantinya kelak.

Tetapi Mahathir dipercayai enggan menghadiri jamuan meraikan persaraannya selagi tidak dinamakan Najib sebagai pilihan. Abdullah dikatakan ketika itu lebih berminat kepada Muhyiddin Yassin. Tiada pilihan lagi bagi Abdullah selain menyetujuinya.

Mahathir telah kecewa pemilihan atas Abdullah itu, bukan saja dia dikira lemah, tetapi melawannya. Seolah-olah derhaka padanya. Mungkinlah derhaka itu tidak sampai ke tahap penderhakaan Hang Jebat kepada Sultan Melaka, tetapi ciri-ciri penderhakaan itu ada.

Najib telah dijadikan Hang Tuah bagi membuang Abdullah yang berciri Jebat itu. Najib adalah pilihan Mahathir juga. Akhirnya Najib juga tidak sebagai yang diharapkannya, malah dikiranya lebih teruk dari Abdullah. Sudah acap ditegurnya Najib secara sindiran terbuka. Dia tidak mendengar kata juga. Tidak mengikut kata itu seperti derhaka juga kira-kira.

Apakah Mahathir sedang menghadapi masalah yang dihadapi Sultan Melaka yang membuang Hang Tuah kerana Hang Tuah difitnahkan oleh golongan Temenggung? Sultan buang Hang Tuah, rampas keris Taming Sari daripadanya serahkan kepada Hang Jebat, samalah seperti memberi mandat kepadanya.

Pilihan atas Jebat itu mengecewakan Sultan. Pilihan itu tidak bagai yang disangka. Diingatkan Jebat lebih baik, rupanya tidak dapat memenuhi harapan Sultan.

Banyak yang percaya pembuangan atas Anwar Ibrahim adalah Mahathir termakan fitnah kalau pun fitnah itu daripadanya sendiri. Anwar dibuang atas alasan untuk digantikan dengan bakal pimpinan yang lebih baik.

Rupa calon yang menggantikan Anwar itu kedua-duanya tidak tepat bagai yang diharapkan. Pada masa Anwar dibuangnya, belum nyata kelemahannya selain dari yang difitnahkan. Bahkan andaian umum Anwar akan lebih baik daripada Mahathir. Sebelum dibuang Anwar, dia memiliki imej anti penyelewengan dan anti rasuah. Mahathir? Entahlah!

Hang Tuah boleh diambil balik. Anwar sudah tidak boleh diambil balik. Jika dua pemilihan Perdana Menteri selepasnya yang dibuatnya tidak tepat, apa yang tepat dibuatnya?

Anwar diambilnya dari belukar di luar Umno dijadikan Umno dan cuba dijadikan gantinya. Pengambilan atas anwar itu padanya tidak tepat, maka apakah pembuangannya tepat? Mengambilnya tidak tepat, membuangnya pun tidak tepat.

Dia pilih Musa Hitam sebagai timbalannya mengetepikan Tengku Razaleigh, dikiranya tidak tepat. Diganti dengan Ghafar Baba. Tidak tepat juga. Anwar apa lagilah. Pilihan ke atas Abdullah dan Najib juga tidak tepat. Sultan Melaka hanya membuat satu pilihan tidak tepat, tetapi Mahathir membuat banyak pilihan tidak tepat.

Kita sudah tahu rupanya Mahathir tidak tahu membuat pilihan tepat. Semua pilihannya silap, tidak tepat. Dia jangan diberi membuat pilihan lagi. Biarlah pemimpin itu dipilih oleh rakyat, bukan dipilih oleh pemimpin kerana pemimpin juga banyak membuat silap. –HARAKAHDAILY 21/8/2014

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-