Showing posts with label Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC). Show all posts
Showing posts with label Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC). Show all posts

Friday, September 23, 2022

‘Najib dalam keadaan baik, boleh ke Penjara Kajang semula’

malaysiakini.com

Diterbitkan: Sep 23, 2022 4:42 PM
Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) menjelaskan bahawa bekas perdana menteri, Najib Razak yang sedang mendapatkan rawatan rehabilitasi dan pemantauan lanjut kini dalam keadaan baik dan telah diberikan perlepasan perubatan bagi membenarkannya dihantar semula ke Penjara Kajang.

“Adalah dimaklumkan bahawa beliau telah menjalani beberapa pemeriksaan dan rawatan rehabilitasi sepanjang keberadaan beliau di HRC.

“Hasil pemeriksaan terkini yang telah dilakukan terhadap beliau oleh pakar perubatan rehabilitasi HRC mendapati tahap kesihatan beliau kini berada dalam keadaan yang baik.

“Beliau juga telah diberikan tunjuk ajar oleh jurupulih perubatan fisioterapi HRC dan boleh menjalankan latihan teknik senaman secara kendiri,” kata pusat itu dalam satu kenyataan, hari ini.
HRC juga memaklumkan bahawa pakar perunding yang berkaitan telah mengadakan sidang keluarga bersama Najib dan ahli keluarganya, dan mereka telah dimaklumkan situasi terkini keadaan kesihatan serta pelan pemantauan kesihatan bekas perdana menteri itu.

Dua minggu lalu, dia dihantar ke HKL atas alasan perut - yang menurut keluarganya disebabkan tekanan.

Dia kemudiannya dibenarkan keluar tetapi dimasukkan semula ke HKL minggu lalu selepas sekali lagi mengadu sakit, kali ini akibat masalah tekanan darah, sebelum dipindahkan ke HRC.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebelum ini menjelaskan Najib dipindahkan ke HRC dari HKL kerana memerlukan perkhidmatan fisioterapi.
Khairy menegaskan Najib, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana rasuah, tidak diberikan sebarang layanan istimewa.

Katanya, ahawa dia tidak boleh mendedahkan butiran mengenai keadaan perubatan Najib kerana protokol kerahsiaan pesakit.

Sebelum ini pelbagai pihak mendakwa bahawa sistem penjagaan kesihatan awam kini disalahgunakan untuk memberi bekas perdana menteri layanan istimewa dan beberapa kemudahan lain.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International.

Wednesday, September 21, 2022

KJ: Najib perlu fisioterapi, akan dihantar semula ke penjara

malaysiakini.com
Hariz Mohd
Diterbitkan: Sep 21, 2022 5:24 PM
Najib Razak dipindahkan ke Hospital Rehabilitasi Cheras di Kuala Lumpur kerana memerlukan fisioterapi, menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Khairy menegaskan bekas perdana menteri itu, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana rasuah, tidak diberikan layanan istimewa.

Bagaimanapun, menteri itu tidak memberikan butiran mengenai penyakit Najib.

Khairy turut mendedahkan bahawa dia telah mengarahkan Hospital Kuala Lumpur (HKL) menjalankan siasatan terhadap ciapan Twitter yang didakwa dibuat oleh salah seorang doktor yang merawat Najib dan mendedahkan maklumat mengenainya.

"Tiada layanan istimewa. Terdapat permintaan oleh timbalan pendakwa raya supaya prosiding ditangguhkan supaya Najib boleh menerima rawatan perubatan yang diperlukan.

“Berikutan itu, dia dirujuk ke HKL di mana dia dirawat untuk keadaan kesihatannya dan dia menjalani beberapa ujian.

“Sekarang susulan itu, dia dirujuk ke Hospital Rehabilitasi Cheras kerana rawatan susulan yang memerlukan fisioterapi.

"Dan sebahagian daripada itu sudah tentu untuk mengajarnya bagaimana untuk melakukannya sendiri, kerana dia akan dibenarkan keluar sebaik sahaja pakar berpuas hati bahawa dia tidak lagi perlu masuk wad," katanya pada sidang media petang ini.

Khairy berkata Najib akan dihantar pulang ke Penjara Kajang sebaik saja pakar berpuas hati dengan keadaannya.

“Saya tidak boleh menjawab bila, kerana itu akan mengganggu proses. Terpulang kepada pakar,” tambahnya.

Khairy berkata akses Najib kepada kemudahan perubatan adalah selaras dengan prosedur operasi standard kementerian, di mana layanan sama turut diberikan kepada banduan lain yang memerlukannya.

Siasatan isu ciapan Twitter

Pagi ini, Jabatan Penjara dalam satu kenyataan mengesahkan khabar angin bahawa Najib telah dihantar ke HRC untuk rawatan, dan berkata ia dilakukan selaras dengan Akta Penjara dan Peraturan Minimum Standard Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Rawatan Penjara (Peraturan Mandela).

Khairy berkata dia bagaimanapun tidak dapat mendedahkan butiran mengenai keadaan kesihatan Najib kerana protokol privasi pesakit KKM.

"Kita melaksanakan ini supaya tidak ada pertikaian daripada mana-mana pihak, daripada pihak keluarga Najib, malah Najib sendiri, bahawa tidak ada rawatan yang diberikan kepada beliau.

"Jadi kita telah menyediakan semua rawatan yang diperlukan dan semua pemeriksaan yang diminta," katanya.

Menurutnya, pakar perubatan akan mengadakan persidangan dengan Najib dan keluarga dalam masa terdekat bagi menjelaskan keadaan dan pelan rawatannya, selepas itu dia akan dihantar semula ke Penjara Kajang.

Sementara itu, mengenai kes ciapan Twitter, Khairy berkata HKL telah melancarkan siasatan berhubung perkara itu untuk menentukan sama ada ia benar-benar dihantar oleh salah seorang pegawai perubatannya.

Kata Khairy, jika terbukti benar, pegawai berkenaan boleh dikenakan tindakan tatatertib mengikut garis panduan KKM.

"Semua di KKM memang kita perlu mematuhi tata etika kerahsiaan pesakit di bawah Akta Perubatan.

"Jadi sebarang maklumat terperinci tentang kesihatan mana-mana pesakit termasuklah banduan yang berada bawah rawatan KKM mestilah disimpan kerahsiaannya.

"Jadi dalam hal tersebut, dalam kes yang dirujuk, saya telah pun minta pengarah HKL untuk siasat kes, dan jika didapati ada pelanggaran tata etika, maka tindakan disiplin boleh diambil terhadap pegawai yang berkenaan.

Kira-kira seminggu yang lalu, satu ciapan Twitter menjadi tular selepas didakwa dihantar oleh doktor yang menafikan dakwaan bahawa Najib mempunyai tekanan darah tinggi.

Najib dirawat, dipantau di HRC Cheras

hmetro.com.my
BERNAMA
FOTO fail menunjukkan Najib ketika sidang media selepas sesi perbicaraan rayuan terakhir membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. FOTO Arkib NSTP/ Mohd Fadli Hamzah

Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang dirawat dan dipantau lanjut di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) di sini.

Jabatan Penjara dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL) merujuk Najib ke HRC pada Isnin lepas.

"Beliau akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara sebaik sahaja pakar perubatan HRC atau HKL memberikan pelepasan perubatan ke atas beliau," menurut kenyataan itu.

Jabatan Penjara memaklumkan pada 12 September lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sudah memerintahkan supaya Najib dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan setelah dimaklumkan keadaan kesihatan beliau yang tidak memuaskan.

Menurut kenyataan itu, ia selaras dengan Seksyen 37 Akta Penjara dan peruntukan di bawah akta itu serta Peraturan Minimum Standard Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Layanan Terhadap Banduan (Peraturan Mandela).

"Sebagai pihak berkuasa yang melaksanakan tanggungjawab di bawah Akta Penjara, pihak Jabatan Penjara selain melaksanakan hukuman yang sudah dijatuhkan juga bertanggungjawab memastikan tahap kesihatan seseorang banduan sentiasa dipantau dan dijaga.

"Ia termasuk penyediaan kemudahan rawatan dan ubat-ubatan sebagaimana yang disyorkan oleh pegawai perubatan kerajaan," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Pegawai Khas Najib Muhamad Mukhlis Maghribi, dilaporkan mendakwa tekanan darah Najib berada pada tahap tinggi dan berbahaya susulan pertukaran ubat yang diberikan untuk merawat masalah ulser di dalam perutnya.

Pada 23 Ogos lepas, Najib dihantar ke Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya kerana menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Najib, 69, juga menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-