Showing posts with label Menteri Kesihatan. Show all posts
Showing posts with label Menteri Kesihatan. Show all posts

Thursday, November 10, 2022

Selepas pemimpin UMNO tak peduli, KJ terpaksa jumpa MIC minta kerusi

agendaily.com
10/11/2022
Menteri Kesihatan kerajaan sementara Khairy Jamaluddin.

Menteri Kesihatan kerajaan sementara Khairy Jamaluddin hari ini (10 November 2022) mengaku meminta sendiri bertanding di Sungai Buloh sebagaimana dikatakan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, semalam.

Bagaimanapun, penyandang kerusi Parlimen Rembau selama tiga penggal itu berkata beliau tidak meminta kepada kepimpinan tertinggi UMNO, sebaliknya menemui Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran, untuk berbuat demikian.

Menurutnya beliau terpaksa mengambil langkah sedemikian kerana tidak dipedulikan oleh kepimpinan tertinggi UMNO dan Barisan Nasional (BN), setelah menyerahkan kerusi Parlimen Rembau untuk ditandingi Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Saya tahu kena keluar dari kawasan Rembau. Ketika itu, saya tiada pilihan. Saya perlu melakukan sesuatu untuk diri saya. Jadi, saya mengambil inisiatif untuk (berjumpa) dengan Tan Sri Noh Omar (Pengerusi BN Selangor) dan Vicky (Vigneswaran).

“Tiada banyak kerusi (Parlimen), hanya dua tiga yang tinggal ketika itu. Jadi saya kata, tak apalah saya pilih Sungai Buloh. Bukannya dari awal saya pilih (untuk bertanding di Parlimen Sungai Buloh).

“Saya memang menunggu isyarat daripada pucuk pimpinan tetapi tidak ada apa-apa. Selepas satu per satu kerusi tidak lagi ‘available’, maka akhirnya saya ke sini (Parlimen Sungai Buloh).

“Saya tak nak panjangkan polemik dengan Presiden UMNO, sebab tidak elok bercakap melalui media… tetapi hakikatnya, saya tiada pilihan sebab pucuk pimpinan parti pun tidak memberi sebarang isyarat kepada saya untuk pergi ke mana-mana kawasan.

“Saya ditinggalkan begitu sahaja,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di SME Aerospace, di Sungai Buloh hari ini, menurut BH.

Semalam Zahid yang juga Pengerusi BN, mendedahkan Khairy yang meminta untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh.

Zahid yberkata, tiada siapa yang memaksa atau mendesak Menteri Kesihatan itu untuk bertanding di kawasan berkenaan.

Wednesday, September 21, 2022

KJ: Najib perlu fisioterapi, akan dihantar semula ke penjara

malaysiakini.com
Hariz Mohd
Diterbitkan: Sep 21, 2022 5:24 PM
Najib Razak dipindahkan ke Hospital Rehabilitasi Cheras di Kuala Lumpur kerana memerlukan fisioterapi, menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Khairy menegaskan bekas perdana menteri itu, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana rasuah, tidak diberikan layanan istimewa.

Bagaimanapun, menteri itu tidak memberikan butiran mengenai penyakit Najib.

Khairy turut mendedahkan bahawa dia telah mengarahkan Hospital Kuala Lumpur (HKL) menjalankan siasatan terhadap ciapan Twitter yang didakwa dibuat oleh salah seorang doktor yang merawat Najib dan mendedahkan maklumat mengenainya.

"Tiada layanan istimewa. Terdapat permintaan oleh timbalan pendakwa raya supaya prosiding ditangguhkan supaya Najib boleh menerima rawatan perubatan yang diperlukan.

“Berikutan itu, dia dirujuk ke HKL di mana dia dirawat untuk keadaan kesihatannya dan dia menjalani beberapa ujian.

“Sekarang susulan itu, dia dirujuk ke Hospital Rehabilitasi Cheras kerana rawatan susulan yang memerlukan fisioterapi.

"Dan sebahagian daripada itu sudah tentu untuk mengajarnya bagaimana untuk melakukannya sendiri, kerana dia akan dibenarkan keluar sebaik sahaja pakar berpuas hati bahawa dia tidak lagi perlu masuk wad," katanya pada sidang media petang ini.

Khairy berkata Najib akan dihantar pulang ke Penjara Kajang sebaik saja pakar berpuas hati dengan keadaannya.

“Saya tidak boleh menjawab bila, kerana itu akan mengganggu proses. Terpulang kepada pakar,” tambahnya.

Khairy berkata akses Najib kepada kemudahan perubatan adalah selaras dengan prosedur operasi standard kementerian, di mana layanan sama turut diberikan kepada banduan lain yang memerlukannya.

Siasatan isu ciapan Twitter

Pagi ini, Jabatan Penjara dalam satu kenyataan mengesahkan khabar angin bahawa Najib telah dihantar ke HRC untuk rawatan, dan berkata ia dilakukan selaras dengan Akta Penjara dan Peraturan Minimum Standard Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Rawatan Penjara (Peraturan Mandela).

Khairy berkata dia bagaimanapun tidak dapat mendedahkan butiran mengenai keadaan kesihatan Najib kerana protokol privasi pesakit KKM.

"Kita melaksanakan ini supaya tidak ada pertikaian daripada mana-mana pihak, daripada pihak keluarga Najib, malah Najib sendiri, bahawa tidak ada rawatan yang diberikan kepada beliau.

"Jadi kita telah menyediakan semua rawatan yang diperlukan dan semua pemeriksaan yang diminta," katanya.

Menurutnya, pakar perubatan akan mengadakan persidangan dengan Najib dan keluarga dalam masa terdekat bagi menjelaskan keadaan dan pelan rawatannya, selepas itu dia akan dihantar semula ke Penjara Kajang.

Sementara itu, mengenai kes ciapan Twitter, Khairy berkata HKL telah melancarkan siasatan berhubung perkara itu untuk menentukan sama ada ia benar-benar dihantar oleh salah seorang pegawai perubatannya.

Kata Khairy, jika terbukti benar, pegawai berkenaan boleh dikenakan tindakan tatatertib mengikut garis panduan KKM.

"Semua di KKM memang kita perlu mematuhi tata etika kerahsiaan pesakit di bawah Akta Perubatan.

"Jadi sebarang maklumat terperinci tentang kesihatan mana-mana pesakit termasuklah banduan yang berada bawah rawatan KKM mestilah disimpan kerahsiaannya.

"Jadi dalam hal tersebut, dalam kes yang dirujuk, saya telah pun minta pengarah HKL untuk siasat kes, dan jika didapati ada pelanggaran tata etika, maka tindakan disiplin boleh diambil terhadap pegawai yang berkenaan.

Kira-kira seminggu yang lalu, satu ciapan Twitter menjadi tular selepas didakwa dihantar oleh doktor yang menafikan dakwaan bahawa Najib mempunyai tekanan darah tinggi.

Wednesday, September 7, 2022

“Rampasan Rembau” simptom budaya rakus Umno

bebasnews.my
By Editor
-07/09/2022
Khairy Jamaluddin - Foto via Blogspot com
Oleh Shahril Abdul Ghani

MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin telah mengesahkan akan mengosongkan kerusi Parlimen Rembau yang disandangnya bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan pada pilihan raya umum akan datang.

Perkara ini tidak mengejutkan kerana khabar angin itu telah tersebar sejak sekian lama. Timbalan presiden Umno dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan telah lama mengidamkan platform Parlimen. Oleh sebab, beliau juga ketua bahagian Umno Rembau, maka Mohamad Hasan, seperti “warlord” Umno lain, pun “merampas” kerusi Parlimen tersebut.

Sepatutnya, pembahagian kerusi Umno adalah urusan dalaman parti dan tidak melibatkan kepentingan orang ramai. Namun, “Rampasan Rembau” jelas menunjukkan pemimpin Umno masih mabuk kuasa, bukan mahu berkuasa untuk membela rakyat.

Realitinya, Khairy, atau lebih dikenali sebagai KJ, telah menghembuskan nafas baharu ke dalam parti yang lebih dikenali dengan unsur-unsur rasuah, kronisme dan nepotisme.

Apabila Khairy, seorang lepasan Universiti Oxford, menceburkan diri dalam politik, beliau telah memberikan harapan besar kepada rakyat Malaysia yang dahagakan peremajaan Umno, sebuah parti yang paling berpengaruh di negara ini.

Setakat ini, Khairy tidak mengecewakan. Daripada kejayaan besar Sukan SEA 2017 sebagai Menteri Belia dan Sukan kepada pelaksanaan Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19 sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi kepada cadangan undang-undang Generational End Game sebagai Menteri Kesihatan, KJ telah menangkap imaginasi orang ramai.

Bintangnya yang bersinar itu juga dilihat sebagai ancaman oleh sesetengah puak dalam Umno. Dengan pilihan raya umum ke-15 dijangka dalam beberapa minggu sahaja lagi, Khairy pula sekarang terkial-kial mencari kerusi baharu untuk ditandingi, walaupun telah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Rembau sejak 2008.

Dalam erti kata lain, Khairy, yang pernah menerima latihan payung terjun tentera pada masa lalu, kini akan menjadi “ahli politik payung terjun” di kerusi di mana beliau terpaksa bergelut dengan “warlord” tempatan Umno dan membina semula rangkaian akar umbi untuk tujuan pilihanraya dalam beberapa bulan sahaja lagi.

Dengan keadaan politik negara yang tidak menentu sekarang dan kerusi selamat Umno dipaut erat oleh penyandang atau “warlord” setempat, ada kemungkinan KJ tidak akan menjadi Ahli Parlimen selepas pilihan raya akan datang, sama ada kerana tiada pemimpin itu mahu memberi laluan atau dia kalah di kerusi berisiko.

Maka Malaysia akan kehilangan seorang pemimpin yang berkebolehan yang boleh mengangkat partinya dan negara keluar dari kemelut semasa. Soalnya adakah pucuk pimpinan Umno kisah?


Kenyataan Mohamad Hasan beliau akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dan turut bertanding kerusi Parlimen dikatakan jelas memperlihatkan cita-cita pemimpin Umno nombor 2 menjadi PM ke-10, ketika Presiden Parti Datuk Seri Zahid Hamidi berdepan pelbagai pertuduhan rasuah .

Sebagai timbalan presiden, bukankah Mohamad Hasan yang sepatutnya menjadi calon payung terjun dan bukannya mengorbankan KJ?

Tetapi begitulah cara Umno. Penyingkiran KJ dari Rembau jelas menunjukkan bahawa Umno, walaupun mengalami kekalahannya yang teruk pada tahun 2018, sukar untuk membuang tabiatnya yang lama.

(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)

BebasNews

Tuesday, July 26, 2022

Lebih 400 mati setiap minggu kerana rokok

ismaweb.net
Athirah Huda Zalhe

Tiada kuantiti, jumlah tembakau selamat untuk perokok

BANGI, 26 Zulhijjah 1443H, Selasa – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan bahawa tiada kuantiti atau jumlah tembakau yang selamat untuk golongan perokok.

Malah, produk tembakau hanya menyebabkan ketagihan nikotin yang menyukarkan perokok berhenti merokok untuk sepanjang hayat.

Beliau berkata, pengambilan tembakau adalah antara faktor pencetus kanser iaitu penyakit utama yang menyebabkan kematian di hospital di Malaysia.

“Di Malaysia, lebih 400 orang mati disebabkan rokok setiap minggu.

Friday, June 3, 2022

KJ: M'sia perlu pertimbang 3 faktor sebelum adakan PRU

malaysiakini.com
Massita Ahmad
Diterbitkan: Jun 3, 2022 8:21 AM
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberitahu pemberita di Singapura, Malaysia perlu menimbang tiga faktor utama sebelum melaksanakan pilihan raya umum, sambil menegaskan tarikh pembubaran parlimen, terletak sepenuhnya pada budi bicara perdana menteri.

Tiga faktor yang digariskannya adalah, kesediaan negara berhubung kesihatan umum, momentum pemulihan ekonomi serta pertimbangan politik.

Khairy yang berada di Singapura selama empat hari sejak 31 Mei 2022 menerusi program pertukaran Felow Lee Kwan Yew berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu bahawa beliau tidak akan melengahkan, walau sedetik, pembubaran parlimen sebaik saja Barisan Nasional (BN) sudah benar-benar bersedia.
“Kita perlu meneliti varian baru...untuk mengetahui gelombang jangkitan.

“Buat masa ini keadaan okey tetapi saya yakin bahawa ia boleh dikawal,” katanya ketika menjelaskan mengenai faktor kesihatan.

Mengenai pemulihan ekonomi, beliau berkata, Malaysia agak bernasib baik kerana ia adalah negara pengeluar meskipun ketika ini berdepan dengan beberapa tekanan inflasi.

“Kami mempunyai minyak sawit… kami mempunyai beberapa enjin pertumbuhan yang dapat memacu ekonomi.. jadi kami mahu memastikan momentum ekonomi itu,” kata Khairy.

Berhubung faktor pertimbangan politik, ahli parlimen Rembau itu berkata, BN sendiri seharusnya bersedia untuk menghadapi pilihan raya.

“Kami mahu memastikan BN sudah sedia. Bukan setakat negara sudah sedia kerana perlu ada persekitaran yang kondusif untuk berdepan pilihan raya,” katanya sambil menambah, dalam keadaan itu kita perlu melihat keseluruhan konteks pemulihan ketika membuat persiapan menghadapi pilihan raya.

Mesej pada pihak gesa PRU segera

Ditanya mengenai bila pilihan raya boleh diadakan, Khairy mengulangi pendiriannya bahawa apa yang penting adalah pemulihan dalam ekonomi serta kesihatan umum.

“Perlu ada momentum. Kita baru saja melihat permulaan pemulihan.

“Dan keduanya, adakah benar-benar ada keperluan besar untuk mengadakan pilihan raya segera. Saya tidak fikir begitu.

"Tapi sudah pasti ramai yang menyatakan mengenai kestabilan politik. Kemenangan mutlak. Ya, tapi apa bezanya antara pilihan raya pada tahun ini atau tahun depan?"

Khairy turut menghantar mesej tegas kepada mereka yang menyatakan ‘mari kita adakan pilihan raya sekarang.’

“Saya tidak fikir mereka yang mahukan pilihan raya adalah orang yang memikirkan aspek membuat persiapan jentera pilihan raya dan sumber … dengan orang yang betul… dengan barisan calon yang betul untuk bertanding dalam pilihan raya.

“Ini bukan pilihan raya negeri. Ini pilihan raya umum.

“Ia perkara serius dan saya fikir PM (perdana menteri) arif bahawa kita perlu masa untuk mempersiapkan diri kita demi negara serta parti.

“Mesej saya kepada rakyat yang juga pemimpin parti kita, yang menyatakan kita perlu mengadakan pilihan raya sekarang iaitu kami hormati pandangan anda… membubarkan parlimen adalah budi bicara perdana menteri…,” katanya.

- Bernama

Friday, May 13, 2022

Thailand agih sejuta pokok ganja percuma kepada isi rumah

malaysiakini.com

Diterbitkan: May 13, 2022 8:00 AM

GLOBAL | Kerajaan Thailand akan mengagihkan satu juta pokok ganja percuma kepada isi rumah di seluruh negara pada bulan Jun ini.

Ia menandakan peraturan baru yang membenarkan orang ramai menanam ganja gred perubatan di rumah, maklum Menteri Kesihatan Anutin Charnvirakul.

Dia mengumumkan langkah itu melalui catatan Facebook pada 8 Mei apabila menteri itu menyatakan hasratnya supaya tanaman ganja ditanam seperti "tanaman isi rumah" lain.

Peraturan baru itu, lapor CNN bakal berkuat kuasa pada 9 Jun, akan membenarkan orang ramai menanam tanaman ganja di rumah selepas memaklumkan kerajaan tempatan mereka, tetapi tumbuhan itu mestilah digunakan secara eksklusif untuk tujuan perubatan.

Selain itu, ganja tidak boleh digunakan untuk tujuan komersial tanpa lesen lanjut.

Langkah itu merupakan rancangan terbaru Thailand untuk mempromosikan ganja sebagai tanaman kontan bernilai tinggi. Kira-kira satu pertiga daripada sumber tenaga manusia Thailand bekerja dalam bidang pertanian, menurut Bank Dunia.

Thailand menjadi negara Asia Tenggara pertama yang menghalalkan ganja pada 2018 untuk kegunaan perubatan dan penyelidikan.
Menteri Kesihatan Thailand Anutin Charnvirakul.
Kerajaan negara jiran itu juga telah melonggarkan undang-undang tempatan mengenai ganja.

Syarikat minuman dan kosmetik Thai tahun lepas bergegas melancarkan produk dengan hem dan CBD, kompaun yang tidak memberikan pengguna kesan ‘khayal’, selepas penggunaannya diluluskan untuk produk konsumer.

Dalam catatan Facebook selanjutnya pada 10 Mei, Anutin menyatakan syarikat Thai yang mendaftar boleh menjual produk kanabis yang mengandungi bahan psikoaktif kurang daripada 0.2 tetrahydrocannabinol, atau THC.

‘PM maklum balas positif’

"Ini akan membolehkan orang ramai dan kerajaan menjana lebih daripada 10 bilion baht setahun dalam bentuk hasil daripada (ganja jenis) marijuana dan hem," tulis Anutin.

Pada 6 April lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kajian klinikal terhadap penggunaan ganja dalam perubatan boleh dilakukan di Malaysia.

Khairy berkata, setiap dasar perlu berasaskan bukti dan setakat ini belum ada kajian klinikal yang lengkap diterima Kementerian Kesihatan (KKM).
Dalam perkembangan berkaitan Kaukus Ganja dan Ketum Perubatan Parlimen pula telah mengadakan pertemuan rasmi bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 16 April.

Menurut kaukus ahli parlimen rentas parti itu, Ismail Sabri dalam perjumpaan di Pejabat Perdana Menteri (PMO) memberikan maklum balas positif terhadap cadangan mereka.

Kaukus itu terdiri daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar), Azalina Othman Said (BN-Pengerang), Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam), Dr Xavier Jayakumar (Bebas-Kuala Langat), Ignatius Darell Leiking (Warisan- Penampang), Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) dan Dr Azman Ismail (PH-Kuala Kedah).

Kaukus itu berkata industri ganja perubatan bernilai RM60 bilion setahun dan lebih 40 negara telah menghalalkan penanaman, penjualan dan penggunaan ganja perubatan.

Sementara itu, beberapa mufti negeri pula berkata tiada masalah untuk Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam bermuzakarah mengenai isu ganja perubatan.
Gambar fail, pertemuan kaukus parlimen bersama PM.
Mufti Pahang Dr Abdul Rahman Osman, Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamed dan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berpendapat dengan muzakarah majlis fatwa kebangsaan maka perkara tersebut dapat dibincangkan dari segenap sudut.

Penyalahgunaan ganja dikawal ketat bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan mengedar 200 gram bahan itu boleh dikenakan hukuman mati. Sementara itu, tumbuhan ketum pula dikawal bawah Akta Racun Negara 1952.

Pun begitu, Suruhanjaya Dadah Narkotik (CND) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah mengklasifikasikan semula ganja sebagai "dadah yang kurang berbahaya" dan mengeluarkannya daripada senarai dadah yang boleh membunuh dan mewujudkan ketagihan.

Sidang yang ke-63 di Austria, pada 2 Disember 2020 bersetuju menerima usul untuk menggugurkan kanabis dan resin kanabis daripada Jadual IV Konvensyen Tunggal Mengenai Dadah Narkotik 1961 pindaan Protokol 1972 (Konvensyen 1961).

Saturday, February 12, 2022

SOP PRN Johor dilonggar

agendaily.com
12/2/2022

PRN Johor boleh diteruskan dengan Kementerian Kesihatan mencadangkan prosedur operasi standard dilonggarkan.

Prosedur operasi standard bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan lebih longgar berbanding PRN Sarawak dan Melaka, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Menurutnya kelonggaran itu berdasarkan kepada kajian daripada Kementerian Kesihatan (KKM) yang mengambil kira kesan varian Omicron terhadap kesihatan awam dan liputan vaksinasi negara yang tinggi pada masa ini membolehkan SOP PRN Johor dilonggarkan sedikit.

“KKM sudah muktamadkan (SOP PRN Johor). SOP masih lagi ketat, tapi ada perkara yang KKM tidak benarkan ada yang dibenarkan tapi lebih banyak kita benarkan. Kita tidak boleh jelaskan lagi, tunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nanti.

“Kita tengok dari PRN Melaka dan Sarawak sebelum ini, tiada lonjakan tidak ada kluster… dari segi kesihatan awam kita dah berjaya. Kita masih lagi yakin bahawa PRN boleh dilangsungkan sekali lagi,” katanya memetik laporan Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani pemeteraian kerjasama promosi kesihatan antara Wellness Hub KKM dan rakan strategik yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan Datuk Dr Harlina Abdul Rashid di Port Dickson, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata kepatuhan SOP dalam kalangan masyarakat termasuk pemimpin politik berdepan PRN Johor itu nanti amat penting bagi mengawal penularan Covid-19.

SPR menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor manakala tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Februari dan pengundian awal pada 8 Mac.

Dalam pada itu, Khairy berkata sela masa lapan minggu antara dos pertama dan kedua bagi pemberian vaksin kanak-kanak masih dikekalkan susulan keberkesanan dan perlindungannya dalam tempoh berkenaan selain mendapati kesan sampingan lebih rendah sekiranya dijarakkan masa kedua-duanya.

“Saya dah rujuk perkara ini dengan jawatankuasa kerja teknikal dan kita masih kekalkan lapan minggu walaupun ada gelombang Omicron, namun apa-apa kedudukan dan pendirian jawatankuasa ini boleh disemak dari masa ke masa,” katanya.

Mengulas permintaan doktor kontrak berhubung perjawatan tetap disertakan dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khairy berkata pihaknya ketika ini menawarkan skim berpencen kepada mereka.

“Ia melibatkan 4,186 jawatan tetap tambahan yang akan diwujudkan di KKM menjelang Jun ini, mungkin pengambilan baharu (kakitangan) pada masa akan datang kita tawarkan KWSP,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata KKM akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan larangan merokok di tempat awam terutama di premis makanan dengan kerjasama agensi dan orang ramai.

Sunday, October 17, 2021

Anti-vaksin tuduh KJ dajal, guna 4 jenis jin untuk lindung diri

suaramerdeka.com
Home/Politik
Khairy Jamaluddin

MACAM-macam hal golongan anti-vaksin ini untuk merendah-rendahkan usaha Kementerian Kesihatan dalam melindungi rakyat daripada jangkitan virus maut Covid-19.

Terbaharu kumpulan tersebut menggunakan media sosial untuk menyerang Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin secara peribadi melalui Telegram.

Malah ada yang membuat doa qunut khas kepada Khairy Jamaluddin dan pihak yang menyokong vaksin Covid-19 supaya Allah membalas ‘kezaliman’ yang dilakukan terhadap kumpulan anti vaksin berkenaan.

Pengikut-pengikut anti vaksin diminta supaya membacakan doa itu selepas solat fardu setiap hari dan ketika melakukan tahajud pada waktu malam.

Antara doa tersebut berbunyi:

“Ya Allah, kami letakkan Kamu di batang leher musuh-musuh kami Khairy Jamaluddin serta sekutunya.

“Dan kami berlindung denganMu dari kejahatan Khairy Jamaluddin serta sekutunya.

“Ya Allah hancurkan kumpulan Khairy Jamaluddin serta sekutunya.

“Cengkamkan anjing-anjingMU kepada Khairy Jamaluddin serta sekutunya”
Khairy Jamaluddin yang berkongsi doa kumpulan anti-vaksin tersebut secara sinis berkata, golongan itu tampaknya telah memperingkatkan ‘corak permainan’.

Mungkin apa yang dimaksudkan oleh Khairy Jamaluddin adalah, golongan anti-vaksin itu mula menggunakan nama Allah dan menunggang agama semata-mata untuk menimbulkan kegerunan kepada pihak pro-vaksin.

Menteri Kesihatan itu turut memberikan reaksi terdapat tuduhan seorang anti-vaksin, kononnya beliau memakai tangkal pada tangan kiri untuk mendapatkan pertolongan daripada syaitan bagi melindungi diri.

“KJ ade guna tangkal dekat tangan kiri. Ada 4 jenis setan yang dia guna untuk melindungi diri dia,” kata anti-vaksin itu.

“Salah. Saya guna 4 jenis jin vaccine untuk lindungi Malaysia. Jin Pfizer, AstraZeneca, Sinovac dan CanSino,” jawab Khairy Jamaluddin yang menyebut nama-nama vaksin yang digunakan di Malaysia.
Serangan meningkat terhadap Khairy Jamaluddin dipercayai selepas Menteri Kesihatan itu meminta Kementerian Kesihatan untuk membuat laporan terhadap kumpulan anti-vaksin yang menyebarkan berita palsu mengenai kesan vaksin kepada orang ramai.

Khairy Jamaluddin mahu tindakan undang-undang diambil ke atas golongan berkenaan kerana menyebarkan berita yang tidak benar dan menatangkan keresahan dalam masyarakat.

Kumpulan tersebut dipercayai turut terhimpit selepas kerajaan menguatkuasakan undang-undang tidak membenarkan mereka yang tidak lengkap divaksin untuk merentas negeri dan makan di dalam kedai makan serta beberapa larangan lain.

 -SM

Thursday, July 29, 2021

Ivermectin: Pembangkang akan salah guna kuasa menteri jika jadi kerajaan

agendadaily.com
29/7/2021

Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim

Cadangan supaya Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menggunakan kuasanya untuk meluluskan penggunaan ubat antiparasit haiwan, Ivermectin, bagi merawat pesakit Covid-19 memperlihatkan seolah-olah pembangkang akan ‘menggunakan kuasa’ sewenang-wenangnya jika mereka memerintah.

Malah, tindakan blok pembangkang dan beberapa pemimpin UMNO yang menjadi sekutu mereka mendesak kerajaan menggunakan ubat itu juga ternyata mengetepikan keselamatan dan nyawa rakyat, kerana tidak membuat penilaian dari segi saintifik.

Desakan supaya penggunaan ubat antiparasit haiwan itu digunakan untuk merawat pesakit Covid-19 itu dibangkitkan Ahli Parlimen (MP) PH Kota Raja, Mohamad Sabu, ketika Sidang Khas Dewan Rakyat kelmarin, tanpa pengemukakan fakta kajian berasaskan saintifik, sebaliknya beliau hanya bercakap menggunakan akal.

Kemudian satu demi satu MP pambangkang dan sekutu mereka seperti MP Bagan Lim Guan Eng, MP Sungai Buloh R Sivarasah, MP Shah Alam Khalid Samad dan MP Tanjung Karang Noh Omar, bangun memberi hujah kosong tanpa bukti kajian.

Sehingga satu tahap, Mat Sabu mencadangkan Dr Adham menggunakan kuasanya sebagai menteri untuk mengetepikan peraturan Badan Regulatori Farmasi Kebangsaan (NPRA) dalam meluluskan penggunaan ubat haiwan itu.

Mengulas perkara itu, Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN), khususnya menteri, tidak akan mengeluarkan arahan sembarangan sebelum siasatan dan kajian teliti dilakukan.

“Sebagai kerajaan, dalam soal yang berkaitan nyawa rakyat, pemimpin tidak boleh main arahkan sahaja agensi yang dipertanggungjawabkan khusus untuk kawal selia ubatan supaya luluskan sesuatu ubat kerana mereka ada piawaian yang perlu dipatuhi.

“Siap ada yang dakwa negara-negara lain sudah luluskan. Tetapi mana data kajiannya? Menteri Kesihatan memaklumkan tidak boleh diluluskan selagi kajian tidak selesai. Yang akan luluskan adalah NPRA sebagai pihak berkuasa yang mengawal selia ubat ubatan.

“Dalam kelulusan penggunaan vaksin pun sebagai misalannya, sekali pun kerajaan mahukan kelulusan yang cepat, kerajaan tidak semudah itu mengarahkan kelulusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Amzad memberi contoh vaksin Sputnik V di mana terdapat dalam portfolio vaksin yang menjadi pilihan kerajaan dan mempunyai data klinikal diterbitkan dalam jurnal perubatan Lancet yang menjadi rujukan di seluruh dunia, sampai sekarang ia belum diluluskan kerana NPRA mempunyai senarai pematuhan yang perlu diikuti.

Sehubungan itu, beliau menyenaraikan pula beberapa persoalan berkaitan Ivermectin yang patut dijawab oleh blok pembangkang.

Katanya:

1) Adakah rakyat boleh menerima jika kerajaan meluluskan sesuatu ubat-ubatan tanpa penelitian yang mengikut kaedah saintifik yang sepatutnya?

2) Sekiranya berbangkit masalah kemudian hari yang mungkin melibatkan kematian, kesan sampingan jangka panjang bagaimanakah bentuk keterangan yang boleh diberikan oleh kerajaan dalam sebarang kes mahkamah tanpa adanya bukti jelas mengenai kesesuaian penggunaan Ivermectin untuk rawatan Covid-19?

3) Bagaimana pula kerajaan jika meluluskan Ivermectin tanpa pembuktian saintifik yang jelas mahu berhadapan dengan keterangan saintifik yang bertentangan hasil kajian dilengkapkan oleh agensi kawal selia pelbagai negara lain, pendirian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan yang terbaru kajian saintifik oleh Universiti Oxford?

4) Bagaimana jika ia melibatkan tuntutan di mahkamah misalnya pertikaian insurans atau sivil yang lain?

5) Bagaimana pendirian syarikat pengeluar Ivermectin itu sendiri? Adakah mereka sendiri mencadangkan Ivermectin untuk perawatan Covid-19?

6) Mengapa biarkan ia digunakan secara ‘off-label’? Setakat mana kajian yang mereka (pengeluar) ada? Adakah mereka pun buat kajian?

7) Tidakkah sepatutnya pengeluar Ivermectin lagi beruntung jika ia dibuktikan secara saintifik berkesan dan selamat untuk rawatan Covid-19. Malah sebelum diluluskan pun mereka sudah ada ‘diehard’ supporter yang mendesak ia diluluskan.

8) Mengapa tak keluarkan laporan kajian?

Sebelum ini, desakan MP pembangkang supaya Ivermectin diluluskan mendapat tentangan dan kritikan daripada pengamal perubatan dan pakar farmasi, malah sesetengahnya menggesa MP terbabit supaya diam kerana mereka bukan profesional dalam bidang perubatan.

Antaranya, bekas perunding farmasi @ BeeLengMY1 berkata, “pelik” melihat ramai Ahli Parlimen PH mendorong penggunaan ubat berkenaan.

“Adakah mereka doktor?” soalnya.

Dia meminta bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang juga Ketua Pasukan Petugas Covid-19 PH, untuk menghentikan perbincangan seperti itu oleh MP PH yang bukan profesional perubatan.

Monday, April 20, 2020

Itu tanda iman ada di hati, kata ulama PAS

BERITA

Seorang ulama terkenal PAS memuji sikap beberapa orang kenamaan Perikatan Nasional (PN) yang tampil meminta maaf semalam dan menganggapnya sebagai petanda mereka memiliki iman di hati.

Ahli Jawatankuasa Ulama PAS Pusat, Ahmad Dusuki Abd Rani, berkata beliau berasa bangga dengan cara jawaban yang diberikan Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba.

Menyatakan rasa itu melalui hantaran di media sosial, Ahmad Dusuki berkata, beliau juga bangga dengan cara permohonan maaf yang ditunjukkan beberapa menteri dan exco yang didakwanya menjalankan tugas masing-masing.

"Demikianlah tanda adanya iman yang tersemat di hati setiap hamba, walaupun ia berstatus menteri," katanya.

Walaupun tidak menyebut selain nama Adham, Ahmad Dusuki dipercayai merujuk kepada Pesuruhjaya PAS Perak merangkap exco kanan negeri itu, Razman Zakaria, serta Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali, yang menjadi sasaran kritikan orang ramai sejak kelmarin.

Mereka dikecam kerana dilihat melanggar peraturan kawalan pergerakan (PKP) kerana mengadakan majlis makan-makan. Polis Perak kemudian mendakwa VIP terbabit serta rombongan mereka menjaga jarak masing-masing.

Ia terus menimbulkan kemarahan orang ramai yang membandingkan apa yang berlaku itu dengan tindakan tegas yang dikenakan ke atas orang awam, sama ada dikompaun atau dipenjara atas kesalahan melanggar PKP.

Makin dikeji makin darjat tinggi

Mereka bukan saja dikritik oleh orang awam, beberapa pemimpin kanan Umno turut melontarkan kecaman. Antaranya Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin, yang berkata jika kejadian seumpama itu berlaku di luar negara, VIP berkenaan akan meletakkan jawatan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Bung Moktar Radin pula menggunakan perkataan "bangang" untuk menyatakan rasa berangnya.

“Tak faham aku, kalau kata tak bijak tak patut, kalau orang kata bangang mungkin ya.

“Hari-hari kita berkata jangan buat perkumpulan jangan makan ramai-ramai, jangan keluar rumah, dia buat juga.

“Confirm bangang,” ciapnya di Twitter semalam.

Baca 500 negara: Saya salah sebut, kata Adham

Turut dikaitkan dengan perbuatan melanggar PKP itu ialah Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; bekas menteri besar negeri terbabit, Ahmad Said; dan Ahli Parlimen Lipis merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Abdul Rahman Mohamad.

Bercakap kepada The Star, Abdul Rahman berkata, gambar yang ditularkan di media sosial telah disalah tafsir oleh warganet dan menafikan ia adalah majlis meraikan sambutan hari lahir.

"Ia tidak dirancang, ia bukan majlis hari lahir," katanya.
"Demikianlah tanda adanya iman yang tersemat di hati setiap hamba, walaupun ia berstatus menteri," kata Ahmad Dusuki.

Beliau yang juga terkenal sebagai penceramah berharap menteri dan exco terbabit meneruskan tugas mereka seperti biasa dan ianya akan dipertontonkan di akhirat nanti.

"Usah peduli cacian mereka yang pengeji!! Selama mana kalian dikeji, semakin tinggi darjat kalian di sisi Rabbul Izzati," katanya lagi.

Wednesday, March 18, 2020

Bagaimana gerakan tabligh di Malaysia jadi titik utama Covid-19

Reuters
-March 18, 2020 8:15 AM
Seorang speaker menyampaikan syarahan dalam bahasa Tamil di salah satu daripada banyak kumpulan kecil di konvensyen tabligh di Masjid Sri Petaling pada awal Mac.
 (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Para jemaah tidur dalam khemah-khemah yang sesak di luar masjid berkubah emas, bangun sebelum fajar menyinsing untuk duduk dalam barisan sejadah yang dibentangkan di dewan utama. Pada masa itu, koronavirus berjangkit tanpa disedari.

Perhimpunan orang Islam itu yang diadakan pada penghujung bulan lepas di sebuah kompleks masjid yang luas di Sri Petaling, Kuala Lumpur muncul sebagai sumber ratusan jangkitan koronavirus baru di serata Asia Tenggara.

Seorang rakyat Malaysia berusia 34 tahun yang menghadiri acara itu meninggal dunia semalam, kematian pertama yang dikaitkan dengan acara yang berlangsung 27 Feb – 1 Mac di kawasan masjid.

Ia dihadiri 16,000 orang, termasuk 1,500 warga asing.

Daripada 673 kes koronavirus yang disahkan di Malaysia, hampir 2/3 dikaitkan dengan pertemuan 4 hari itu, menurut Menteri Kesihatan Dr Adham Baba. Pertama-tamanya belum jelas siapa yang bawa virus itu ke sana.

Reuters bercakap dengan 6 peserta dan melihat gambar dan catatan di media sosial, dan keterangan menunjukkan beberapa cara wabak itu boleh tersebar.

Penganjurnya, gerakan dakwah Islam Jemaah Tabligh, yang asal usulnya boleh dikesan di India sekurun lalu, sudah menggantung kegiatan dakwahnya tetapi tidak mengulas secara langsung tentang acara itu.

Kumpulan itu juga tidak respon kepada permintaan untuk komen lanjut.

Masjid di mana acara itu diadakan ditutup dan seorang tetamu berkata dia salah seorang daripada puluhan ahli jemaah di situ bawah kuarantin. Panggilan ke masjid tidak terjawab.

“Saya sebenarnya amat terkejut ia diteruskan,” kata Surachet Wae-asae, seorang bekas wakil rakyat Thailand yang menghadiri acara itu tetapi selepas pulang didapati negatif jangkitan virus.

“Tetapi di Malaysia, Tuhan amat penting. Kepercayaan kuat.”

Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Kesihatan enggan mengulas lanjut tentang acara itu.

Berpegang tangan, berkongsi talam

Perhimpunan yang sesak itu, di mana tetamu terpaksa menaiki bas perantara untuk tidur di tempat-tempat lain, dihadiri warga puluhan negara, termasuk Kanada, Nigeria, India, dan Australia, menurut senarai hadirin yang dimuat naik di media sosial.

Juga terdapat warga China dan Korea Selatan – negara yang ada kadar jangkitan koronavirus yang tinggi.
Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur menjadi pangkalan utama Tablighi Jamaat di Malaysia.

Catatan media sosial memaparkan ratusan ahli jemaah bersolat dalam saf di masjid itu, dan ada beberapa tetamu memuatnaik swafoto berkongsi makanan.

Belum jelas berapa ramai tetamu pemastautin di Malaysia, tetapi kes kes yang dikaitkan dengan perhimpunan itu muncul setiap hari di serata Asia Tenggara.

“Kami duduk rapat-rapat,” kata seorang lelaki Kemboja berusia 30 tahun yang menghadiri acara itu kepada Reuters di sebuah hospital di wilayah Battambang, Kemboja di mana dia dirawat selepas didapati positif koronavirus pada Isnin.

“Orang dari banyak negara berpegang tangan di majlis keagamaan itu. Apabila saya saya bertemu orang, saya pegang tangan, ia normal. Saya tak tahu saya berjangkit dari siapa,” katanya, yang tidak mahu dinamakan kerana bimbang akan didiskriminasikan di masjidnya.

Tiada orang pimpinan acara itu bercakap tentang berpegang tangan, koronavirus atau peringatan kesihatan semasa acara itu, tetapi kebanyakan tetamu membasuh tangan dengan kerap, kata 2 tetamu. Membasuh tangan dan anggota tubuh yang lain sebahagian daripada ibadat orang Islam.

Seorang lagi peserta dari Kemboja berkata tetamu daripada negara berbeza berkongsi talam di mana makanan disajikan.

Hanya separuh daripada peserta warga Malaysia yang menghadiri acara itu tampil untuk ujian, menimbulkan kebimbangan wabak dari masjid itu mungkin lebih luas.

Brunei mengesahkan 50 kes yang dikaitkan dengan perhimpunan di masjid itu, daripada 56 kes. Singapura mengumumkan 5 yang dikaitkan dengan acara itu, Kemboja 13 dan Thailand sekurang-kurangnya 2.

Vietnam, Filipina, dan Indonesia, yang hampir 700 warganya menghadiri acara itu, sedang menyiasat.
Orang digalakkan makan bersama daripada talam sebagai tanda persaudaraan seagama. (Gambar Facebook)

Bahawa suatu acara ziarah keagamaan diteruskan, pada ketika epidemik sudah meragut 2,700 nyawa dan merebak dari Itali ke Iran, mengundang kritikan.

Bukan acara keagamaan itu sahaja yang menyebarkan virus pada skala yang besar. Ribuan kes di Korea Selatan dikaitkan dengan acara di Gereja Jesus Shincheonji di bandar Daegu.

Beberapa peserta mempertahankan acara di masjid Sri Petaling, mengatakan pada ketika itu situasi di Malaysia – yang mengumumkan 25 kes yang diketahui setakat 28 Feb – tidak teruk.

“Kami ketika itu tak bimbang kerana situasi Covid-19 pada ketika itu nampak terkawal,” kata Khuzaifah Kamazlan, seorang guru agama berusia 34 tahun di Kuala Lumpur yang menghadiri acara itu dan didapati negatif koronavirus.

Khuzaifah berkata beberapa ahli jemaah yang menghadiri acara itu enggan diuji bagi mengesan koronavirus, lebih suka bergantung pada Tuhan untuk melindungi mereka.

Karim, seorang warga Malaysia berusia 44 tahun yang menghadiri perhimpunan itu dan didapati positif koronavirus, berkata kerajaan patut membatalkan acara itu.

“Kami kecewa kami dipersalahkan sepenuhnya atas wabak ini. Pandangan itu tidak adil. Tiada larangan dikenakan ke atas perhimpunan itu,” katanya yang hanya mahu dinamakan sebagai Karim.

“Sekarang saya bimbang kerana saya positif. Tolong doakan saya.”

Lebih 182,000 orang di seluruh dunia dijangkiti koronavirus dan 7,165 meninggal dunia.

Monday, January 27, 2020

Kajian: Malaysia ke-3 di Asia dalam kesiapsiagaan hadapi wabak

BERITA

Kajian kesihatan global meletakkan Malaysia di kedudukan ke-18 di kalangan 195 negara, dari segi kesiapsiagaan menghadapi wabak penyakit.

Keputusan kaji selidik Indeks Keselamatan Kesihatan Global - untuk menjelaskan kesiapsiagaan negara dan keupayaan menangani penyakit berjangkit -dilancarkan Oktober lalu, beberapa bulan sebelum wabak koronavirus baru dikesan.

Di Asia, Malaysia berada di kedudukan ketiga di belakang Thailand dan Korea Selatan - dua negara antara "paling bersedia" dalam senarai, yang masing-masing berada di tempat keenam dan kesembilan daripada 195 negara yang dikaji.

Negara-negara Asia dengan skor purata lebih rendah daripada Malaysia termasuk Jepun, serta negara jiran Singapura dan Indonesia.

Negara-negara ini dinilai dan skor antara 0 hingga 100 markah berdasarkan maklumat umum keupayaan untuk mencegah, mengesan dan bertindak balas kepada wabak, dan juga sistem kesihatan menyeluruh, pematuhan norma antarabangsa dan pengurusan risiko.

Secara keseluruhan, Malaysia mendapat skor melebihi purata di semua enam kategori, dengan skor yang tinggi terutamanya untuk kategori pengesanan (73.2) dan pengurusan risiko (72).

Dalam enam kategori, negara-negara ini dinilai untuk seksyen tertentu.

Malaysia mendapat markah penuh dalam beberapa bidang termasuk komunikasi dengan pekerja penjagaan kesihatan semasa berlaku kecemasan kesihatan awam, berbanding skor purata 15.1 di kalangan semua 195 negara.

Indeks itu dihasilkan bersama oleh Johns Hopkins Center yang berpangkalan di AS untuk Keselamatan Kesihatan dan Inisiatif Ancaman Nuklear, bersama-sama dengan Unit Perisikan Economi.

" (Indeks) ini adalah penilaian yang komprehensif yang pertama dan menjadi penanda aras keselamatan kesihatan dan keupayaan yang berkaitan di seluruh 195 negara yang tetakluk kepada Peraturan-Peraturan Kesihatan Antarabangsa 2005," kata GHS.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad hari ini berkata kementeriannya akan meminta peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan untuk menghadapi wabak koronavirus yang baru, dengan empat kes yang disahkan di Malaysia setakat ini, dan lima lagi kes yang disyaki.

Thursday, June 27, 2019

Syor cukai import rokok, arak dinaikkan

MyMetro
Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my

GAMBAR hiasan

CUKAI import rokok dan arak mungkin akan dinaikkan pada pembentangan Bajet 2020.

Cukai import berkenaan tidak dinaikkan dalam tempoh 15 tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, syor berkenaan adalah antara inti pati penting yang sedang diteliti pihaknya untuk dicadangkan kepada Kementerian Kewangan.

“Itu juga antara cadangan Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Kesedaran Persekitaran Bebas Amalan Merokok di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UPM Prof Datin Paduka Datuk Dr Aini Ideris, Presiden MCTC Prof Datuk Dr Lekhraj Rampal dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur dan Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM Prof Dr Zamberi Sekawi.
DR Dzulkefly (dua dari kanan) ketika merasmikan Konvensyen Kesedaran Persekitaran Bebas Amalan Merokok sambil disaksikan Dr Aini (dua dari kiri), Dr Lekhraj (kanan) dan Dr Zamberi (kiri). FOTO Bernama

Konvensyen itu diadakan sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2019.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan hanya menerima sebanyak 304 aduan berkaitan perokok yang merokok di restoran dan premis makanan selepas kerajaan menangguhkan penguatkuasaan larangan itu.

Beliau berkata, sebaliknya pihaknya menerima sebanyak 15,828 aduan sepanjang tempoh 31 Disember 2018 hingga 29 Mei 2019.

“Trend penurunan amat drastik iaitu hanya 304 aduan mulai 20 Mei hingga 2 Jun lalu.

“Mungkin orang ramai melihat tiada apa-apa kesan kerana itu semakin sedikit aduan yang diterima atau pun kesedaran perokok sudah semakin baik,” katanya.

Dzulkefly berkata, sebanyak 28,765 notis amaran dikeluarkan sejak 31 Disember 2018 hingga 2 Jun lalu.

Katanya, sebanyak 108, 504 premis diperiksa dalam tempoh yang sama.

“Saya ingin tegaskan bahawa penguatkuasaan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan tetap akan dikuatkuasakan serta merta pada 1 Januari 2020.

“Tiada lagi penangguhan,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan melanjutkan tempoh penguatkuasaan pendidikan di tempat makan yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok selama enam bulan lagi hingga Disember ini.

Tempoh mendidik sebelum menguatkuasa larangan merokok di kedai makan dan restoran sebelum ini ditetapkan berakhir bulan depan selepas pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok bermula pada 1 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 9:36 PM

Wednesday, June 27, 2018

Klinik 1Malaysia Ditukar Klinik Komuniti

Foto fail: Bernama

PUTRAJAYA: Nama Klinik 1Malaysia akan ditukar kepada Klinik Komuniti menjelang hujung tahun ini.

Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, klinik itu juga bakal dinaiktaraf menerusi perkhidmatan farmasi, menambah jumlah keluasan dan memperbanyakkan khidmat rawatan lain.

Menurut beliau, pihak kementerian akan melakukan kajian audit mengenai bilangan klinik berkenaan sama ada perlu dikurangkan atau sebaliknya.

"Bagi klinik yang tidak memenuhi kriteria ditetapkan iaitu tidak meraih bilangan pesakit iaitu 50 pesakit orang sehari, ia akan ditutup.

"Sebagai rumusan, kementerian akan mengkaji semula operasi klinik itu mengikut lokasi dan keberkesanan perkhidmatannya," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada masa sama, Dzulkefly berkata, pihaknya akan memasukkan peruntukkan tambahan berhubung cadangan penjenamaan semula Klinik 1Malaysia dalam bajet baharu yang dijangka dibentangkan Julai ini.

- UTUSAN ONLINE

Saturday, June 16, 2018

Bangunan baru Hospital Tanjung Karang mula dibina selepas tertangguh sedekad

Bernama


Penduduk Tanjong Karang kini mampu menarik nafas lega apabila projek pembinaan bangunan baharu Hospital Tanjong Karang dijangka disiap sepenuhnya menjelang November 2020.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata kerja-kerja menanam cerucuk sudahpun bermula pada tapak projek pembinaan yang tertangguh sejak sedekad lepas.

"Dalam usaha memastikan rakyat mendapat perkhidmatan penjagaan kesihatan terbaik, Kementerian Kesihatan komited menaik taraf hospital ini sebagai sebuah hospital yang memiliki pakar (perubatan), selain menambah kapasiti katil pesakit.

"Hospital baharu ini bakal menjadi 'hospital pakar minor' dengan kapasiti 150 katil dan menawarkan sembilan kepakaran selain kecemasan dan perubatan am, iaitu pembedahan am, ortopedik, pediatrik, obstetrik dan ginekologi, anestesiologi dan rawatan kritikal, radiologi dan psikiatri," katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 40 pesakit di Hospital Tanjong Karang sempena sambutan Aidilfitri hari ini yang turut dihadiri Pengarah Hospital Tanjong Karong Dr Mohd Zamri Wagiman.

Dr Dzulkefly berkata ketika ini kapasiti bangunan hospital asal yang dibina pada 1966 itu amat terhadberbanding keperluan perubatan dan kesihatan penduduk di kawasan sekitar.

Hospital baharu itu terletak di kawasan seluas 16.1 hektar berdekatan hospital sedia, akan menjadi pusatperubatan utama yangbakal memanfaatkan lebih 20,000 penduduk sekitar.

Anggota Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar sebelum ini berkata kelewatan pembinaan hospital berharga RM269 juta itu disebabkan masalah teknikal antara pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor.

- Bernama

Friday, June 3, 2016

Siasatan kematian menantu TPM sedang dijalankan

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis (dua,kanan) melihat anak mereka Datuk Nurulhidayah menjirus air mawar ke pusara suaminya Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal Luar hari ini. Syed Alman Zain, 44, meninggal dunia susulan rawatan di sebuah klinik pergigian di Bangsar semalam. Turut kelihatan dua anaknya Zaheed Alwi (tiga, kiri) dan Khadeeja Sofea (empat, kiri). - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Siasatan terhadap kes menantu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi yang meninggal dunia susulan rawatan di sebuah klinik pergigian di Bangsar semalam, sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata masih terlalu awal untuk mengenal pasti punca kematian dan beliau berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi.

"Siasatan sudah bermula semalam, buat masa ini masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan," katanya selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Malaysia 2016 di sini, hari ini.

Syed Alman Zain, 44, suami kepada anak sulung Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurulhidayah, meninggal dunia susulan rawatan gigi di Bangsar semalam.

Allahyarham dilaporkan pergi ke klinik pada kira-kira pukul 6 petang semalam untuk mendapatkan rawatan gigi bersama seorang rakannya sebelum tidak sedarkan diri.

Menurut seorang anggota keluarga, Allahyarham kemudian dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan disahkan meninggal dunia.

Sementara itu, Dr Subramaniam berkata kementeriannya sedang mencari formula ke arah memperbaiki perkhidmatan kesihatan di hospital swasta di seluruh negara, termasuk dalam soal memantau dan mengawal kadar caj kepada pesakit.

Beliau berkata kementerian sedang mengkaji pelaksanaan sistem audit yang sama seperti dilakukan di hospital kerajaan.

Katanya ini penting supaya hanya kadar caj yang munasabah yang bersesuaian dengan penyakit sahaja yang dikenakan kepada pesakit.

"Ada sesetengah hospital swasta yang menggunakan imbasan MRI kepada pesakit sedangkan masalah itu boleh diselesaikan dengan hanya menggunakan CT Scan yang lebih murah," katanya. –Bernama

Tuesday, September 15, 2015

Menteri Kesihatan nasihat orang ramai jangan sertai himpunan

Adam Abu Bakar

IPU melebih bacaan 150 membahayakan kesihatan dan orang ramai dinasihat tidak melakukan aktiviti di luar rumah.
SUBANG: Orang dinasihat supaya tidak mengambil risiko dengan menyertai Himpunan Rakyat Bersatu.

Nasihat itu diberikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam yang khuatir jerebu teruk akan menjejaskan kesihatan.

“Pada masa sekarang, IPU melebih bacaan 150. Lebih baik kurangkan aktiviti luar, termasuk perhimpunan, kalau jerebu tinggi lebih baik jangan ada, kerana ini akan beri kesan kepada kesihatan

“Kurangkan aktiviti luar seperti jangan joging diwaktu jerebu dan sila berhati-hati,” ujarnya dalam satu sidang media selepas merasmikan pembukaan Kampus Megatech Subang Jaya pada Selasa.

Mengulas mengenai perhimpunan itu, beliau berkata, MIC tidak pernah bersetuju dengan sebarang perhimpunan yang melibatkan kaum.

“Pendirian kita jelas, kita tidak sokong perhimpunan merah atau aman atau apa nama yang digunakan.

“Kita tak berapa sokong atas beberapa aspek antaranya secara prinsip kita tidak sokong apa-apa demonstrasi di jalan raya. Kalau orang India buat kita juga tidak akan sokong,” katanya.

Pada masa sama, Subramaniam turut menjelaskan himpunan seperti itu tidak akan membantu mengeratkan hubungan kaum di negara ini.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-