Showing posts with label Jabatan Hal Ehwal Agama Islam. Show all posts
Showing posts with label Jabatan Hal Ehwal Agama Islam. Show all posts

Wednesday, September 30, 2015

Larangan bacaan Al-Quran di Masjid P Pinang.....?

Pembesar suara di P.Pinang hanya untuk azan iqamat

MOHD ISKANDAR OTHMAN
30 SEPTEMBER 2015

Gambar hiasan
GEORGETOWN - Selepas ini pembesar suara di bahagian luar masjid dan surau di Pulau Pinang hanya boleh digunakan untuk azan dan iqamat.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa negeri pada 1 dan 2 Julai lalu dan disahkan sekali lagi menerusi mesyuarat sama pada 23 dan 24 Ogos lalu.

Difahamkan, keputusan itu dibuat selari dengan hasil mesyuarat sama pada 7 April 2011 berhubung larangan membaca al-Quran sebelum waktu subuh menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau.

Bagaimanapun, keputusan itu ditambah baik dengan memasukkan larangan bagi semua program di masjid dan surau seperti qiamullail, solat tahajud, kuliah, mesyuarat dan sebagainya yang hanya dibenarkan menggunakan pembesar suara di bahagian dalam.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Mohd Noor berkata, keputusan itu dibuat selepas dipertimbangkan dari pelbagai sudut.

Menurutnya, isu berkenaan dibangkitkan selepas pihaknya menerima beberapa aduan dari masyarakat Islam sendiri yang tidak tahan dengan pembesar suara di luar masjid serta surau yang dipasang terlalu kuat.

"Persekitaran hidup umat Islam hari ini juga sudah berubah dengan ramai yang tinggal di kawasan perumahan dengan jarak sangat hampir dengan masjid.

“Jika kita ingin beribadat, tidaklah sewajarnya kita mengganggu orang lain,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, surat perkeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti neger ikepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAINPP) bertarikh 1 September lalu menjadi viral di laman sosial.

Kebanyakan pengguna laman sosial tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan selain mendakwa keputusan itu dipengaruhi desakan politik.

Wan Salim berkata, JHEAINPP akan memanggil ahli jawatankuasa dan pegawai masjid di seluruh negeri ini untuk sesi penerangan mengenai larangan tersebut.

Menurutnya, usaha itu perlu bagi membolehkan mereka menjelaskan kepada masyarakat Islam di kariah masing-masing.

“Semoga dengan cara ini, isu itu tidak disalahfaham oleh orang ramai dan tidak menimbulkan kekecohan yang berpanjangan,” katanya.

Wednesday, January 7, 2015

Panduan melupus Al-Quran yang rosak akibat banjir

Sekumpulan petugas Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) melakukan kerja pelupusan al-Quran pada 2012, dengan membuang abu naskah yang telah dibakar di perairan Kuala Terengganu, kira-kira sembilan batu nautika dari jeti Jabatan Laut Malaysia Wilayah Timur. - Foto Facebook Magnetic Aura

KUALA LUMPUR, 7 Januari:

Pihak berwajib diminta mengeluarkan panduan atau langkah-langkah untuk orang ramai melupuskan naskah-naskah al-Quran atau buku-buku agama mengandungi ayat suci al-Quran yang telah rosak, akibat bencana banjir, baru-baru ini.

Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sukarelawan PPIM dalam misi bantuan banjir baru-baru ini, menjumpai sejumlah besar naskah al-Quran yang telah musnah dan diselaputi lumpur serta tidak boleh digunakan lagi.

Menurutnya, naskah al-Quran itu dipercayai ditinggalkan begitu sahaja oleh mangsa banjir, kerana tidak boleh digunakan lagi dan PPIM bimbang ia akan menjadi isu pada masa akan datang.

“Oleh itu, PPIM meminta agar satu garis panduan dikeluarkan, bagi membolehkan orang ramai melupuskan atau terdapat pihak ketiga yang boleh membuat kerja-kerja pelupusan tersebut.


“Naskah al-Quran dan buku-buku agama itu juga boleh dikumpul dan dihantar ke masjid atau surau-surau berhampiran, supaya dapat dilupuskan mengikut tatacara yang betul oleh pihak bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post, hari ini.

Nadzim juga meminta pihak bertanggungjawab, seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan daerah, mewar-warkan prosedur yang boleh diguna pakai oleh orang awam berhubung perkara itu.

“Tidak semua orang di luar sana mengetahui cara untuk mengendalikan al-Quran yang telah rosak dan ia tidak boleh dilupuskan sewenang-wenangnya.

“Jadi, PPIM memohon kerjasama semua, untuk memberitahu langkah atau kaedah yang betul kepada orang awam, bagi melaksanakan garis panduan pelupusan naskah al-Quran dan buku-buku agama dengan cara betul.

“Dengan ini, orang ramai diharapkan dapat mematuhi adab-adab umum dalam menguruskan al-Quran seperti yang disyariatkan oleh agama Islam,” ujarnya.

Sementara itu, hasil pemeriksaan The Rakyat Post di Internet mendapati, ada beberapa pautan mengenai kaedah pelupusan al-Quran yang sebenarnya boleh dirujuk orang ramai.

Antaranya ialah keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang disiarkan di portal rasmi Fatwa Malaysia, e-Fatwa.

Menurut portal e-Fatwa, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-30 yang bersidang pada 22 Ogos 1992, bagi membincangkan kaedah pelupusan al-Quran memutuskan, al-Quran yang rosak, koyak, tidak boleh dibaca lagi dan juga yang bukan resam Uthmani, hendaklah dilupuskan.

“Kaedah pelupusan ialah dengan dibakar dan ditanam di tempat yang dikawal.

“Kerja-kerja pelupusan hendaklah dipertanggungjawabkan kepada urusetia atau Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri dan dilakukan dengan cara tersembunyi, demi mengelakkan salah faham orang ramai,” menurut kenyataan portal berkenaan yang boleh dirujuk di pautan http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/pelupusan-al-quran.

Manakala bagi buku agama yang terdapat ayat al-Quran dan Hadis, mesyuarat Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 21 Disember 2006 memutuskan, ia dibakar dan ditanam di tempat yang dikawal.

Kerja-kerja pelupusan juga perlu dipertanggungjawabkan kepada urusetia atau Majlis dan Jabatan Agama Islam, dan dilakukan dengan cara tersembunyi, demi mengelakkan salah faham orang ramai.

Berhubung cara pembakaran, bahan yang mengandungi ayat al-Quran mesti dibakar secara menyeluruh, tanpa tertinggal mana-mana bahagian tidak terbakar.

“Bahan-bahan atau debu yang mengandungi ayat suci al-Quran yang telah dibakar, hendaklah dipastikan dikumpul, supaya tidak ditiup angin atau bersepah.

“Bahan yang telah dibakar, hendaklah ditanam di tempat bersih yang tidak dilalui orang, atau dibuang ke laut atau sungai yang mengalir airnya,” demikian menurut keputusan Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang dipetik daripada pautan http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/pembakaran-buku-buku-agama-yang-terdapat-ayat-ayat-al-quran-dan-hadith.

Selain itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut menyiarkan “Panduan Pengurusan Pelupusan Bahan-bahan Penerbitan dan Perhiasan Yang Mengandungi Ayat-ayat Suci Al-Quran” yang boleh diakses secara terbuka di Internet, melalui alamat pautan http://www.jawi.gov.my/Pdf_doc/Penyelidikan/PANDUAN%20PENGURUSAN%20%20PELUPUSAN%20%20BAHAN.pdf.

Portal rasmi Kementerian Dalam Negeri (KDN), www.moha.gov.my pula memaklumkan, sebuah syarikat swasta bernama Percetakan Sufi ada mengendalikan Pusat Pelupusan Ayat Suci Al-Quran dan khidmatnya boleh digunakan orang ramai.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-