Showing posts with label Jabatan Penjara Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Jabatan Penjara Malaysia. Show all posts

Friday, March 29, 2024

Najib tidak terima sebarang layanan istimewa – Jabatan Penjara

utusantv.com
Oleh UtusanTV
-March 29, 2024
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak GAMBAR: Abd Razak Aid

JABATAN Penjara Malaysia menyangkal dakwaan kononnya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima layanan ‘sangat’ istimewa di Penjara Kajang ketika ini.

Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Nordin Muhammad menegaskan tiada sebarang layanan istimewa diberikan kepada mana-mana individu termasuk untuk Najib.

Beliau menjelaskan, semua banduan diuruskan mengikut peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sesiapa sahaja yang menerima hukuman dilayan sama mengikut peraturan ditetapkan.

“Ini termasuklah kepada Najib yang sedang menerima hukuman di Penjara Kajang, beliau tetap tertakluk kepada peraturan dan Akta Penjara 1995,” katanya.

Mengulas lanjut, Nordin berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya ada pegawai penjara yang memberi layanan istimewa kepada seseorang banduan.

“Melanggar peraturan ditetapkan adalah perkara yang sama sekali tidak dapat diterima, sekiranya dikesan wujud perbuatan sedemikian, maka tindakan segera diambil.

“Soal ini kami di pihak penjara sama sekali tidak akan berkompromi, asas undang-undang kami sentiasa junjung tinggi,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin yang baru sahaja menghabiskan hukuman penjara di Penjara Kajang mengakui bahawa bekas Ahli Parlimen Pekan itu sememangnya ditempatkan di situ.

Bagaimanapun, dia mendakwa Najib menerima layanan yang sangat istimewa, berbeza dengan banduan-banduan lain.

Wan Ji dipenjara selama sembilan bulan sejak tahun lalu selepas gagal dalam rayuannya berhubung sabitan kes menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor, 11 tahun lalu.

Dia bebas sepenuhnya pada 22 Mac lalu namun telah keluar penjara sejak 1 Januari lalu melalui Program Pembebasan Banduan secara Berlesen (PBSL).

Pada 23 Ogos 2022, media melaporkan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Wednesday, December 18, 2019

Azilah tidak pernah tinggalkan penjara sejak 2015

BERITA

Jabatan Penjara Malaysia hari ini mempertikaikan kenyataan seorang peguam yang mendakwa bahawa bekas anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) polis, Azilah Hadri pernah dibawa keluar dari penjara Kajang untuk berjumpa dengan seorang "VVIP" pada bulan Februari lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, jabatan itu berkata Azilah tidak pernah dibawa keluar dari penjara kecuali pada 15 April 2015 apabila banduan yang menunggu hukuman gantung itu terpaksa menghadiri prosiding mahkamah di Sepang.

"Oleh itu, sebarang kenyataan oleh mana-mana pihak yang mengatakan bahawa Azilah telah dibawa keluar dari penjara Kajang pada tahun ini untuk menemui VVIP adalah tidak benar sama sekali," kata jabatan itu.
Menurut kenyataan itu, pengiringan bagi menghadiri perbicaraan berkenaan dilaksanakan setelah Penjara Kajang menerima Perintah Mengemukakan Orang Dalam Jagaan dari Mahkamah Sepang.

Ini, katanya, selaras dengan Seksyen 30 Akta Penjara yang mengkehendaki banduan menghadirkan diri di mahkamah seperti mana masa dan tempat yang dinyatakan.

Menurut jabatan itu lagi, berdasarkan rekod, Azilah telah dilawati sebanyak 34 kali oleh keluarga dan 15 kali oleh peguam beliau di Penjara Kajang sejak setahun yang lalu.

"Lawatan ini dijalankan seperti mana Peraturan 179 Peraturan Penjara 2000 berkenaan lawatan kepada mana-mana banduan akhir," kata kenyataan itu.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah semalam membuat kenyataan bahawa berdasarkan "maklumat yang sangat dipercayai” tetapi tidak boleh didahkan dirinya bahawa banduan itu pernah dibawa keluar pada Februari tahun ini.

Peguam yang mewakili bekas perdana menteri Najib Razak itu walau bagaimanapun, tidak mendedahkan identiti VVIP berkenaan.

"Di luar penjara, bukan di dalam penjara. Ini apabila dia sedang menunggu hukuman mati. Ini benar-benar langgar protokol, tetapi seperti yang saya katakan, saya tidak boleh mengesahkannya, saya sedang cuba untuk mendapatkan kepastian,” katanya.

Shafee membuat dakwaan berkenaan susulan tindakan Azilah yang memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan mahkamah persekutuan yang mendapati dirinya bersalah kerana membunuh warga Mongolia Altantuya Shariibuu pada 2006 dan hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya.

Dengan berbuat demikian, Azilah mengemukakan akuan berkanun (SD) yang mendakwa bahawa dirinya telah diarahkan oleh Najib untuk membunuh Altantuya, yang dituduh oleh bekas perdana menteri itu sebagai seorang perisik asing.
Pada tahun 2015, Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Azilah dan seorang lagi bekas anggota UTK polis, Sirul Azhar Umar.

Walau bagaimanapun, Sirul berjaya melarikan diri ke Australia selepas pembebasan itu dan kini berada di pusat tahanan imigresen di Sydney.

Razak Baginda sekutu rapat Najib didakwa bersubahat dengan kedua-dua mereka itu tetapi dia juga kemudiannya dibebaskan.

Keputusan untuk tidak merayu pembebasan Razak Baginda dan proses mahkamah yang gagal mengketengahkan motif pembunuhan serta kegagalan pendakwaan untuk memanggil bekas ketua pengiring Najib, Musa Safri, yang didakwa oleh Azilah memainkan peranan penting, sebagai saksi menimbulkan spekulasi terdapat cubaan untuk menutup kes.

Najib menafikan dakwaan Azilah, dan menuduh semua itu semata-mata rekaan dan plot politik untuk membungkamnya.

[Baca berita penuh]

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-