Oleh UtusanTV
-March 29, 2024
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak GAMBAR: Abd Razak Aid
JABATAN Penjara Malaysia menyangkal dakwaan kononnya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima layanan ‘sangat’ istimewa di Penjara Kajang ketika ini.
Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Nordin Muhammad menegaskan tiada sebarang layanan istimewa diberikan kepada mana-mana individu termasuk untuk Najib.
Beliau menjelaskan, semua banduan diuruskan mengikut peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Sesiapa sahaja yang menerima hukuman dilayan sama mengikut peraturan ditetapkan.
“Ini termasuklah kepada Najib yang sedang menerima hukuman di Penjara Kajang, beliau tetap tertakluk kepada peraturan dan Akta Penjara 1995,” katanya.
Mengulas lanjut, Nordin berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya ada pegawai penjara yang memberi layanan istimewa kepada seseorang banduan.
“Melanggar peraturan ditetapkan adalah perkara yang sama sekali tidak dapat diterima, sekiranya dikesan wujud perbuatan sedemikian, maka tindakan segera diambil.
“Soal ini kami di pihak penjara sama sekali tidak akan berkompromi, asas undang-undang kami sentiasa junjung tinggi,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin yang baru sahaja menghabiskan hukuman penjara di Penjara Kajang mengakui bahawa bekas Ahli Parlimen Pekan itu sememangnya ditempatkan di situ.
Bagaimanapun, dia mendakwa Najib menerima layanan yang sangat istimewa, berbeza dengan banduan-banduan lain.
Wan Ji dipenjara selama sembilan bulan sejak tahun lalu selepas gagal dalam rayuannya berhubung sabitan kes menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor, 11 tahun lalu.
Dia bebas sepenuhnya pada 22 Mac lalu namun telah keluar penjara sejak 1 Januari lalu melalui Program Pembebasan Banduan secara Berlesen (PBSL).
Pada 23 Ogos 2022, media melaporkan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.