Showing posts with label Majlis Bandaraya Shah Alam (MSBA). Show all posts
Showing posts with label Majlis Bandaraya Shah Alam (MSBA). Show all posts

Sunday, November 27, 2016

Hukuman kasari penguatkuasa MBSA terlalu ringan

Mohamed Apandi Ali
KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara telah memfailkan rayuan terhadap hukuman mahkamah yang dijatuhkan ke atas suami isteri yang mengasari anggota penguatkuasa wanita Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata ini kerana ia berpandangan hukuman ke atas Lor Ka Hoo dan Tan Sit Fun iaitu penjara 14 hari dan denda RM3,000, dan jika gagal membayar denda dipenjara tujuh hari, adalah terlampau ringan berbanding kesalahan yang dilakukan.

Rayuan terhadap hukuman itu difailkan pada hari sama hukuman dijatuhkan iaitu Jumaat lalu, katanya dalam kenyataan hari ini.

"Walaupun kedua-dua tertuduh telah mengaku bersalah, namun hukuman yang setimpal hendaklah dikenakan demi memberi pengajaran kepada mereka di samping menjadi teladan kepada yang lain agar tidak melakukan perbuatan sama," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: MBSA nafi terima arahan tarik balik laporan polis]

Mohamed Apandi menegaskan Jabatan Peguam Negara amat memandang serius perbuatan menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipan yang sah di sisi undang-undang.

Perbuatan sedemikian, katanya, merupakan kesalahan jenayah yang diperuntukkan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Lor, 35, dan Tan, 30, mengaku salah menggunakan kekerasan jenayah terhadap Nurul Ain Isa, 23, ketika pegawai itu mengeluarkan saman ke atas sebuah kenderaan di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, Khamis lalu.

Bagaimanapun, tindakan itu mengundang kemarahan tertuduh dan pergaduhan antara kedua-dua pihak menjadi viral selepas video berdurasi dua minit 10 saat tersebar di laman sosial.

 - Bernama

Thursday, October 6, 2016

Fitnah Majlis Shah Alam roboh menara azan, Utusan dituntut mohon maaf

     Laporan portal berita Utusan Online kononnya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merobohkan menara azan Surau Ar-Raudhah di Setia Alam adalah fitnah dan berniat jahat untuk memperlekehkan kakitangan awam badan itu.

Ahli Majlis MBSA, Muhammad Shakir Ameer berkata pihaknya tidak merobohkan menara azan, sebaliknya merobohkan menara telekomunikasi haram berdekatan surau berkenaan.

“Saya amat terkejut apabila pihak Utusan Online tergamak memaparkan tajuk sedemikian rupa dengan niat mempolitikkan dan memburukkan perkhidmatan awam.

“Kami hanya menjalankan tugas yang diamanahkan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Semalam, Utusan Online melaporkan kononnya sebuah menara azan setinggi 30 meter di Surau Ar-Raudhah dirobohkan oleh MBSA atas alasan tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.

Menurut Shakir yang juga Setiausaha Eksekutif Publisiti Sosialis Muda DAP (DAPSY), MBSA mengutuk fitnah portal milik UMNO berkenaan serta menuntut pihak Utusan Online menarik balik laporan mereka.

“Kami juga mahu mereka meminta maaf kepada pihak MBSA serta kakitangan awam secara serta-merta.

“MBSA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika mereka (Utusan Online) gagal berbuat demikian,” tegasnya.

 – Roketkini.com

Saturday, September 5, 2015

Itu antara saya dengan Allah, orang luar jangan campur - Khalid Samad

Khalid menjelaskan bahawa apa juga yang dilaksanakan pada majlis kafarah itu adalah berdasarkan nasihat dan juga cadangan yang disarankan oleh mereka yang arif berkenaan perkara bai'ah ini.

SHAH ALAM, 5 Sept:

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad meminta pihak luar untuk tidak menilai tindakan beliau dan rakan-rakannya berhubung Majlis Kafarah yang diadakannya.

Tegas beliau, urusan menebus dosa ekoran melanggar bai’ah dengan Pas sebelum ini melibatkan diri mereka dan juga Allah.

“Saya juga ada baca apa yang Datuk Haron Din (Mursyidul Am PAS) yang dia kata ini sumpah dengan Allah. Jadi seperti yang saya katakan, terpulang pada Allah.

“Ianya sumpah dengan Allah, kita buat dengan Allah, antara kami dengan Allah, kita serah pada Allah, orang lain jangan campurlah,” katanya di dalam Majlis Kafarah yang diadakan di Dewan Merbau Seksyen 17 di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Mahfodz Mohamed berkata bahawa majlis kafarah yang dianjurkan bekas ahli-ahli Pas tidak terpakai bagi tujuan menebus pelanggaran bai’ah.

Mahfodz berkata demikian kerana menurutnya bai’ah ataupun sumpah taat setia itu tidak boleh ditebus dengan kafarah.

Susulan daripada itu, Khalid menjelaskan bahawa apa juga yang dilaksanakan pada majlis itu adalah berdasarkan nasihat dan juga cadangan yang disarankan oleh mereka yang arif berkenaan perkara bai’ah ini.

“Itu hak dia untuk berpandangan sedemikian dan kami dah rujuk pada alim ulama lain dan beri cadangan kami buat begini.

“Tak ada salahnya kami keluar dari Pas. Soal tanggungjawab sebagai MP (ahli parlimen) terus kami penuhi, (malah) ada juga yang tak penuhi tanggungjawab dengan baik walau tak keluar parti. Kami tak khianat pengundi kami yang mengundi kami,” tegasnya menjawab kepada ulasan-ulasan ulama’ Pas berhubung pelanggaran bai’ah mereka.

Majlis Kafarah tersebut dihadiri oleh lebib 40 orang penduduk di sekitar Shah Alam bagi memenuhi jemputan oleh Khalid sendiri, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud dan dua ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MSBA).

Dua ahli MBSA itu ialah Azli Yusof dan Mohd Jamil Abd Rahim. Azli sebelum ini merupakan Yang Di Pertua Pas kawasan Shah Alam dan kemudiannya meletakkan jawatan untuk turut serta bersama Parti Amanah Negara.

Mariah tidak hadir sama di dalam majlis tersebut dan difahamkan beliau kini di dalam perjalanan ke Kelantan untuk program berkaitan Parti Amanah Negara.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/09/05/itu-antara-saya-dengan-allah-orang-luar-jangan-campur-khalid-samad/#ixzz3knAihJS3

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-