Showing posts with label Menteri Hal Ehwal Agama Bukan-Islam. Show all posts
Showing posts with label Menteri Hal Ehwal Agama Bukan-Islam. Show all posts

Friday, February 14, 2025

Kerajaan tolak cadangan wujudkan menteri agama bukan Islam

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 14, 2025
Kerajaan tidak bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi bukan Islam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata cadangan itu tidak diterima oleh Jemaah Menteri, dan melihatnya sebagai pandangan peribadi seorang Ahli Parlimen.

“Kita ada Menteri Agama, Menteri Perpaduan, ada jawatankuasa harmoni yang mewakili semua kaum, semua agama di Malaysia, jadi saluran itu memadai.

“Soal pelantikan itu (jawatan Menteri) pun budi bicara Perdana Menteri, dan ia tiada dalam perkiraan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Salam di Puchong Perdana di Puchong hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Rabu, mencadangkan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.

Yu Hui dilapor berkata langkah itu penting bagi memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini dan memastikan tiada pihak yang terpinggir.

-Bernama

DAP diingat tidak cabar kesabaran, toleransi Muslim

harakahdaily.net
February 14, 2025

KUALA LANGAT: Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dengan tegas menuntut maksud sebenar cadangan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui untuk mewujudkan portfolio Menteri Hal Ehwal Agama Bukan-Islam!

Beliau berkata, cadangan itu bukan sahaja tidak selari dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan, malah ia boleh membuka ruang kepada tuntutan lebih melampau sehingga menggugat keharmonian negara.

“Malaysia sebagai sebuah negara yang berpegang kepada prinsip Islam sebagai agama rasmi telah lama mengamalkan toleransi beragama.

“Namun, cubaan untuk meletakkan agama-agama lain dalam kedudukan yang setaraf dengan Islam dalam struktur pentadbiran kerajaan adalah satu tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan dan menjejaskan perpaduan.

“Kami sudah lama bertolak ansur dengan pelbagai tuntutan yang cuba mencabar kedudukan Islam!” tegasnya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan agar garis merah telah lama dipertahankan tidak sesekali dilangkaui dan menjelaskan bahawa Islam tidak pernah menindas penganut agama lain, malah kebajikan mereka sudahpun dijamin tanpa perlu mewujudkan kementerian khusus.

“Saya menyeru semua pihak agar tidak mencetuskan polemik yang boleh merosakkan perpaduan negara.

“Fokus utama kerajaan seharusnya adalah memperkukuhkan keharmonian, bukan mengusulkan cadangan yang boleh mencetuskan perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Terdahulu media tempatan melaporkan Chow Yu Hui mencadangkan pemisahan portfolio Menteri Hal Ehwal Agama kepada dua, iaitu khusus untuk Islam dan bukan-Islam, bagi memastikan keadilan dalam pengurusan agama serta memperkukuh perpaduan.

Beliau dilaporkan menegaskan bahawa pemisahan itu akan membolehkan perbincangan lebih mendalam dan mengelakkan kontroversi yang tidak diingini, seperti isu garis panduan kehadiran umat Islam dalam perayaan bukan-Islam.

Cadangan itu timbul selepas kontroversi berkaitan garis panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), yang akhirnya diputuskan oleh Kabinet untuk tidak diteruskan. 

– HARAKAHDAILY 14/2/2025

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-