Showing posts with label Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak. Show all posts
Showing posts with label Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak. Show all posts

Wednesday, September 13, 2017

Luar biasa bagi Najib, Trump bertemu ketika siasatan 1MDB, kata pegawai AS

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengalu-alukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Rumah Putih pada hari Selasa, dengan memuji Malaysia mengenai pelaburannya di Amerika Syarikat sambil mengelak menyentuh satu siasatan Amerika terhadap satu dakwaan skandal utama rasuah.

Lawatan itu penting bagi Najib, menjelang pilihan raya umum, dan mahu memberi isyarat bahawa beliau masih dialu-alukan di Rumah Putih, walaupun ada siasatan jenayah oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) terhadap 1MDB.

Seorang pegawai kanan AS mengakui bahawa ia adalah luar biasa untuk bertemu dengan Najib ketika 1MDB berada di bawah pengawasan pengawalseliaan.

"Ini satu situasi yang pelik," kata pegawai itu merujuk kepada siasatan DOJ, sambil menjelaskan bahawa pihak pentadbiran telah memberi keutamaan kepada hubungan dengan negara-negara Asia Tenggara untuk menangani "keuntungan besar" yang diperolehi oleh negara China di rantau itu dalam dekad yang lalu.

Katanya, pihak pentadbiran berpandangan bahawa ia tidak boleh terus menerus melepaskan hubungannya dengan semua negara berkenaan, atas apa jua isu semasa.

Diiringi para penasihat utama di Bilik Kabinet, Najib memberitahu Trump bahawa Malaysia Airlines akan membeli 25 jet Boeing 737 dan lapan pesawat Dreamliner 787, dan mungkin akan menambah lagi 25 pesawat 737s dalam masa terdekat - yang menurutnya bernilai lebih AS$10 bilion dalam tempoh lima tahun.

Najib berkata, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Malaysia mahu membelanjakan AS$3 bilion hingga AS$4 bilion untuk pembangunan infrastruktur AS.

Rumah Putih pada asalnya merancang untuk membenarkan wartawan ke Oval Office di mana berlangsung pertemuan Najib dengan Trump, tetapi menukarnya pada saat-saat terakhir.

[Baca berita penuh/asal]

- Reuters

Trump, Najib bertemu di Rumah Putih

Najib disambut Trump setibanya di Rumah Putih, Washington, pagi ini (waktu tempatan). Foto AFP

BERNAMA

PERBINCANGAN Presiden Donald Trump dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak berlangsung di Rumah Putih dalam satu pertemuan yang bakal membuka lembaran baharu selepas 60 tahun Amerika Syarikat menjalinkan hubungan dua hala dengan satu daripada rakan strategiknya di Asia Tenggara itu.

Trump menyambut mesra Najib sejurus beliau tiba pagi ini (waktu tempatan) untuk menghadiri pertemuan empat mata di Rumah Putih yang terletak di Pennsylvania Avenue, yang juga lawatan pertama pemimpin Malaysia itu ke pejabat dan kediaman rasmi Presiden Amerika Syarikat itu.

Perbincangan dengan Trump adalah kemuncak lawatan kerja Najib ke Amerika Syarikat atas jemputan Presiden Ke-45 negara itu yang mula berkhidmat pada 20 Januari tahun ini.

Program di Rumah Putih turut merangkumi mesyuarat delegasi melibatkan anggota dan penasihat pentadbiran Trump serta para menteri dan pegawai kanan kerajaan Malaysia.

Kedua-dua pemimpin itu dijangka mengeluarkan kenyataan bersama selepas mengakhiri pertemuan mereka di Rumah Putih, yang menyaksikan Washington dan Kuala Lumpur meraikan hubungan dua hala selama enam dekad tahun ini.

Pada mesyuarat itu, delegasi Amerika Syarikat terdiri daripada Naib Presiden Mike Pence, Setiausaha Negara Rex Tillerson, Setiausaha Pertahanan James Mattis, Ketua Turus John Kelly, Penasihat Keselamatan Negara Lt Jen H.R McMaster dan Penasihat Kanan Jared Kushner.

Pemerhati mendapati barisan delegasi Amerika Syarikat mencerminkan keutamaan yang diberikan Washington di bawah pentadbiran Trump terhadap mesyuarat itu khususnya dalam membuka lembaran baharu dalam hubungannya dengan Malaysia, sebuah negara yang mempunyai 30 juta penduduk pelbagai kaum dan agama di Asia Tenggara yang berdaya maju.

Delegasi Malaysia pula terdiri daripada Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat Tan Sri Zulhasnan Rafique, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Jeneral (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 12:30 AM

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-