Showing posts with label Presiden Indonesia. Show all posts
Showing posts with label Presiden Indonesia. Show all posts

Monday, January 27, 2025

Presiden Indonesia Prabowo diberi sambutan negara di Istana Negara

bharian.com.my
Oleh BERNAMA 
- Januari 27, 2025 @ 12:02pm
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Presiden Indonesia Prabowo Subianto ketika berangkat ke Istiadat Sambutan Negara dan Jamuan Negara sempena Lawatan Negara Presiden Republik Indonesia Prabowo Subianto ke Malaysia di Istana Negara hari ini.

KUALA LUMPUR: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto diberikan sambutan negara penuh istiadat di Istana Negara hari ini bersempena lawatan negara atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Ketibaan Prabowo pada 10 pagi, disambut Seri Paduka Baginda.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, serta menteri Kabinet.

Istiadat sambutan negara yang berlangsung di Dataran Kawad Istana Negara dimulakan dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara yang dimainkan oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), disusuli tembakan meriam 21 das daripada 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja.

Presiden Indonesia itu kemudian memeriksa Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama RAMD diketuai Mejar Azham Mohamad.

Selepas istiadat rasmi, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Prabowo di Dewan Seri Maharaja dan beliau dikurniakan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati I, disusuli dengan persembahan cenderakenangan.

Seri Paduka Baginda turut berkenan menjadi tuan rumah Majlis Santapan Negara bagi meraikan Presiden Indonesia itu dan delegasinya.

Wisma Putra dalam kenyataan semalam memaklumkan lawatan ini adalah lawatan negara pertama oleh seorang ketua negara asing ke Malaysia, selepas pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima lawatan negara oleh Presiden Indonesia Prabowo Subianto atas jemputan Seri Paduka Baginda di Istana Negara hari ini. Turut sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. - BERNAMA
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto melakukan pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Mejar Azham Mohamad ketika menghadiri lawatan negara atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara hari ini. - BERNAMA

Ia juga lawatan negara pertama oleh Prabowo ke negara Asia Tenggara sejak pelantikannya sebagai Presiden Indonesia pada 20 Okt 2024.

Dalam lawatan ini, beliau dijadualkan bertemu Perdana Menteri untuk saling bertukar pandangan mengenai kerjasama dua hala, di samping membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, di Menara Berkembar Petronas di ibu negara.

Sebagai jiran rapat yang mempunyai hubungan kukuh dan ahli pengasas ASEAN, lawatan negara ini mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan strategik demi kemakmuran bersama. Hubungan itu merentasi pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, pertahanan, kesalinghubungan, pendidikan dan sosiobudaya.

Dari Januari hingga November 2024, jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencatat RM106.06 bilion (AS$23.2 bilion), meningkat daripada RM101.99 bilion (AS$22.41 bilion) yang direkodkan dalam tempoh sama pada 2023.

Pada 2023, Indonesia merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia pada peringkat global dan ketiga terbesar dalam ASEAN, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM111.21 bilion (AS$24.39 bilion).

Friday, February 6, 2015

Saya orang kampung, ngak pandai main golf - Jokowi

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Lawatan presiden ke-7 Indonesia Joko Widodo aka Jokowi sangat besar ertinya dalam sejarah hubungan kedua-dua-dua negara berjiran Malaysia – Indonesia.

Malah hubungan kedua-dua negara bukan sekadar hubungan diplomatik, malah mempunyai pertalian darah, agama dan sejarah yang panjang.

“Lawatan Presiden Joko Widodo aka Jokowi ke negara kita sangat penting. Pertalian darah dan sejarah diperkukuh dan teladan dipelajari,” ulas Datuk A Kadir Jasin dalam blognya kadirjasin.blogspot.com.

Selain itu ada sesuatu yang amat menarik telah dicatatkan oleh Datuk Kadir tentang sosok yang begitu popular di Indonesia sebagai presiden yang berjiwa rakyat.

“Kata Presiden Jokowi: Saya ini wong ndeso, wong kampung, nggak ngerti golf. Saya bisanya nyangkul. Saya itu tidak bisa main golf. Belum pernah pegang stik golf. Belum pernah lihat dalamnya golf gimana.’

“Kata saya, ngak perlu risau Pak Presiden. Apa hebatnya golf?

“Ular tedung tidak hilang bisanya kalau menyusur akar. Ular lidi panjatlah pohon paling tinggi tetap tidak berbisa.” Tulis Datuk Kadir lagi menggambarkan keperibadian presiden ini.

Presiden Jokowi, yang dilantik sebagai Presiden Indonesia pada 20 Oktober tahun lepas, kini dalam rangka lawatan negara pertama tiga hari ke Malaysia, atas undangan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Beliau diiringi menteri-menteri utama kabinet dalam delegasinya termasuk Menteri Hal Ehwal Luar, Retno Marsudi; Menteri Penyelaras bagi Hal Ehwal Ekonomi Sofyan Djalil; Menteri Perdagangan Rachmat Gobel dan Menteri Tenaga Kerja M. Hanif Dhakiri, Ketua Agensi Kebangsaan bagi Penempatan dan Perlindungan Pekerja Indonesia Luar Negara, Nusron Wahid, Ketua Sekretariat Presiden Djarot Sri Sulistyo dan Setiausaha Tentera kepada Presiden Indonesia Tri Wahyudi Sukarno. – HARAKAHDAILY

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-