Showing posts with label counter setting. Show all posts
Showing posts with label counter setting. Show all posts

Wednesday, September 18, 2024

2 pegawai Imigresen simpan RM800,000 dalam bilik tidur

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 18, 2024 3:33 PM
SPRM merampas wang tunai hampir RM800,000 yang disimpan di dalam bilik tidur ketika serbuan terhadap dua pegawai Jabatan Imigresen (JIM) berkaitan sindiket membawa masuk warga asing melalui modus operandi “counter setting”.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata seramai 60 individu, termasuk 50 pegawai agensi penguatkuasaan, didapati bersekongkol dalam kegiatan itu.

Sebanyak 37 kertas siasatan telah dibuka dengan 95 individu telah diambil keterangan, katanya lagi.

"Sejumlah wang tunai RM518,250 dijumpai (di rumah) pegawai Imigresen kanan wanita Gred KP22 di Pahang. Wang diletakkan di dalam bagasi di bilik tidur.
"Selain itu, sejumlah wang tunai RM248,443 (dirampas) daripada pegawai Imigresen lelaki Gred KP19 di Melaka. Wang dijumpai di bawah katil bilik tidur utama,” katanya ketika sidang media di Putrajaya, hari ini.

Azam berkata pihaknya turut merampas wang tunai dalam mata wang asing, iaitu AS$9,900 dan 5,470 Baht.

Selain dua pegawai tersebut, katanya lagi, serbuan turut dijalankan terhadap seorang pegawai Imigresen kanan wanita Gred KP22 di Negeri Sembilan.

Daripada serbuan itu, dia berkata SPRM merampas 27 keping dinar emas seberat 575.75 gram dengan anggaran nilai lebih RM200,000; 75 utas barang kemas seperti cincin, gelang, rantai, loket dan subang; lebih 12 jam tangan pelbagai jenama dan lebih 30 telefon pintar pelbagai jenama serta komputer riba.
Selain itu, Azam berkata bagi operasi ini, SPRM turut menyita sembilan buah kenderaan dan 13 buah motosikal yang dipercayai dibeli daripada wang hasil kegiatan itu.

Mengulas lanjut, Azam berkata dalang utama adalah seorang pegawai kanan Imigresen yang “berpengaruh” dalam sindiket dan dia akan dihadapkan ke mahkamah awal bulan depan.

Katanya, suspek yang berusia awal 40-an dan telah berkhidmat di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selama 20 tahun pernah meloloskan diri ketika operasi sebelum ini namun berjaya ditahan pada 5 September lalu.

"Suspek yang kita tangkap ini adalah dalang utama. Dia mengawal lebih kurang 50 pegawai (imigresen) sebab dia yang berpengaruh.

"Dia menjadi 'focal person' (individu utama) sebagai perantara kepada hampir semua pegawai imigresen, supaya melaksanakan arahan yang diberikan olehnya," kata Azam lagi.

Katanya lagi, empat ejen lain yang terlibat juga akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.

Friday, September 13, 2024

SPRM tahan 37 penguat kuasa terbabit sindiket 'counter setting'

bharian.com.my
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim 
bhnews@bh.com.my
- September 13, 2024 @ 5:50pm
Antara penguatkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) dan Terminal 2 (KLIA2) yang ditahan reman SPRM semalam. - Foto ihsan SPRM

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 37 pegawai agensi penguat kuasa kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket yang membawa masuk warga asing menerusi pintu masuk negara menerusi modus operandi 'counter setting'.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata semua suspek ditahan menerusi Op Pump 2.0 yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor semalam.

Katanya, mereka yang ditahan membabitkan 27 lelaki dan 10 wanita berusia lingkungan 20 hingga 40-an dan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Penguatkuasa yang di tahan di Negeri Sembilan. - Foto ihsan SPRM

Penguatkuasa yang ditahan di Kuala Lumpur. - Foto ihsan SPRM

"Menerusi operasi ini, SPRM menemui wang tunai keseluruhannya berjumlah lebih RM1 juta iaitu lebih RM500,000 daripada seorang suspek di Pahang, lebih RM200,000 daripada suspek di Selangor, lebih RM170,000 daripada suspek di Johor serta lebih RM100,000 daripada suspek di Negeri Sembilan.

"Wang tunai ini dipercayai diperoleh hasil daripada rasuah yang diterima daripada sindiket yang membawa masuk warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 dan Terminal 2," katanya ketika dihubungi hari ini.

Azam berkata, SPRM turut menyita barangan kemas termasuk jongkong emas dan dinar emas, pelbagai jam tangan berjenama, kereta, motorsikal serta telefon bimbit pelbagai jenama.

Sementara itu, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan sembilan pegawai penguat kuasa membabitkan lima lelaki dan empat wanita direman selama lima hari sehingga 17 September ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Di Selangor, Majistret Nur Syuhada Abdullah membenarkan lapan pegawai penguat kuasa lelaki dan tiga pegawai penguat kuasa wanita direman selama lima hari sehingga 17 September ini selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Di Negeri Sembilan pula, seramai tujuh pegawai penguat kuasa lelaki direman selama tujuh hari sehingga 19 September ini selepas permohononan dibuat SPRM di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali di Mahkamah Majistret Seremban.

Di Melaka, tiga pegawai penguat kuasa lelaki dan seorang pegawai penguat kuasa wanita direman turut selama lima hari sehingga 17 September ini selepas permohonan dibenarkan oleh Majistret Nabila Nizam di Mahkamah Majistret Ayer Keroh.

Selain itu, di Kuala Lumpur, Majistret Haneefa Ariffin membenarkan empat penguat kuasa lelaki direman selama enam hari sehingga 18 September ini.

Penguatkuasa yang ditahan di Melaka. - Foto ihsan SPRM

Tiga lagi pegawai penguat kuasa membabitkan dua wanita dan seorang lelaki dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan mereka selesai dirakamkan.

Tan Sri Azam Baki

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-