Showing posts with label gaji penjawat awam. Show all posts
Showing posts with label gaji penjawat awam. Show all posts

Monday, December 4, 2023

Gaji penjawat awam, elaun pesara naik tahun depan?

hmetro.com.my
Saadiah Ismail
am@hmetro.com.my
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP

Kuala Lumpur: Kerajaan memberi bayangan akan mengumumkan peningkatan gaji penjawat awam dan elaun pesara bermula 2024 selari dengan usaha kerajaan untuk merancakkan ekonomi negara.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar sudah menyemak dan menjelang tahun depan, ia dijangka akan direalisasikan.

"Memang sebelum ini ada beberapa keputusan sudah diambil dan saya serahkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali atau Perdana Menteri sendiri untuk mengumumkannya nanti.

"Tetapi dalam masa yang sama kerajaan juga sudah meluluskan kertas putih cadangan Dasar Gaji Progresif sebagai usaha meningkatkan pendapatan pekerja di sektor swasta," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Forum Alumni Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD), di sini, hari ini.

Fahmi berkata, dua perkara ini penting memandangkan tahun hadapan adalah tahun yang penting yang mana ekonomi mula rancak dengan pelbagai pelaburan diperoleh pada tahun ini.

"Jadi banyak kerja-kerja yang akan bermula dan cabarannya pasti ada untuk memastikan pelaksanaan tidak terencat atau tergendala akibat proses," katanya.

Menyentuh mengenai dakwaan kecekapan penjawat awam semakin berkurangan, beliau menafikan perkara itu memandangkan pelbagai isu boleh timbul antaranya beberapa sistem tertentu perlu dinaik taraf bagi mengelakkan perkara itu berlaku.

"Dalam masa yang sama, kadang-kadang isu bajet dan masa juga boleh berlaku, jadi individu yang bertanggungjawab perlu meluangkan sedikit masa untuk memahami yang mana kecekapan dan intervensi boleh diperbaiki.

"Sebagai contoh di kementerian saya juga pernah berlaku yang mana projek tidak berjalan dengan lancar hingga menimbulkan persepsi buruk, tetapi sebenarnya sistem pemantauan perlu dipertingkatkan," katanya.

Disiarkan pada: Disember 4, 2023 @ 2:09pm

Saturday, August 11, 2018

Belum masa naik gaji penjawat awam - Dr Mahathir

Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my
MyMetro
Utama

TUN Dr Mahathir pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Anggota Tertinggi PPBM di Menara Yayasan Selangor. -Foto BERNAMA

TUN Dr Mahathir Mohamad menegaskan masih belum tiba masanya untuk kerajaan menaikkan gaji penjawat awam di negara ini.

Perdana Menteri berkata, ini kerana jumlah kakitangan awam yang ada ketika ini adalah ramai iaitu 1.6 juta orang selain faktor kekangan kewangan.

“Sekarang bukan masa tepat untuk kita memberi gaji lebih tinggi kepada penjawat awam.

“Kami mempunyai prinsip dan tidak dapat melakukan dengan segera. Kami majikan yang besar,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kepemimpinan Tertinggi BERSATU di Yayasan Selangor, malam tadi.

Dr Mahathir berkata, peningkatan gaji perlu seiring dengan peningkatan produktiviti.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan hari ini perlu menyelesaikan hutang yang ada terlebih dahulu sebelum memikirkan mengenai kenaikan gaji.

“Apa yang boleh saya katakan, prinsipal (mengenai kenaikan gaji) sudah ada, tetapi belum masanya untuk ia dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dr Mahathir berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu kini dalam keadaan baik.

“Beliau bagaimanapun masih memerlukan rawatan lanjut termasuk menjalani kimoterapi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Ogos 2018 @ 1:25 AM

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-