Showing posts with label merogol. Show all posts
Showing posts with label merogol. Show all posts

Friday, August 23, 2019

Paul Yong didakwa atas tuduhan rogol

Ng Xiang Yi 
Dikemaskini Hari ini 11:08 tengahari


Exco Perak Paul Yong hari ini didakwa atas tuduhan merogol seorang warga Indonesia yang menjadi pembantu rumahnya.

Yong yang merupakan adun Tronoh dari DAP mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

"Saya faham (pertuduhan yang dibacakan) tetapi saya tidak pernah melakukannya," kata Yong, setelah juru bahasa membacakan kertas pendakwaan.

Menurut kertas pertuduhan, Yong didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya pada 7 Julai, antara pukul 8.15 malam hingga 9.15 malam.

Mangsa membuat laporan polis berkenaan dakwaan dirogol keesokannya.

Kes tersebut didengar hakim mahkamah sesyen Norashima Khalid di Mahkamah Sesyen Ipoh.

Yong diwakili peguam Leong Cheok Keng yang juga adun Malim Nawar. Anggota Parlimen Jelutong RSN Rayer dan Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh juga sebahagian daripada pasukan pembelaan.

Timbalan Pendakwa Raya memohon Yong dikenakan ikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin, namun hakim menetapkan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Pengurusan kes ditetapkan pada 24 September ini.

Terdahulu, sejumlah sembilan anggota DAP Tronoh berkumpul di Kompleks Mahkamah Ipoh untuk memberi sokongan kepadanya.

Turut hadir ialah Speaker DUN Perak Ngeh Koo Ham, Exco kerajaan negeri dan Ketua Pemuda DAP Howard Lee, Anggota Parlimen Taiping Teh Kok Lim, dan empat adun DAP Perak iaitu Teoh Yee Chern (Astaka), Chong Zhemin (Keranji), A Sivasubramaniam (Buntong) dan Leow Thye Yih (Pokok Asam).

[Berita lanjut menyusul]

Thursday, August 22, 2019

MB Perak minta Paul Yong bercuti

News | Diterbitkan Hari ini 9:33 malam


Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu menasihatkan Exco kerajaan negeri Paul Yong Choo Kiong bercuti daripada tugas rasmi kerana berdepan tuduhan merogol amah.

Beliau berkata kerajaan negeri mengambil maklum keputusan peguam negara untuk mendakwa Paul Yong mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

"Bagi menghormati proses undang-undang, saya menasihatkan Paul Yong untuk bercuti daripada tugas-tugas rasmi beliau, termasuk tidak mengambil bahagian dalam apa juga mesyuarat yang melibatkan proses membuat keputusan, sehingga proses perbicaraan selesai," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

[Berita lanjut menyusul]

Saturday, August 3, 2019

Pemuda UMNO Perak desak dedah status kertas pendakwaan exco

Sayed Hesham Idris
03 Ogos 2019 8:39 AM


KETUA Pemuda UMNO Perak, Mohd. Ariff Abdul Majid. 
- UTUSAN ONLINE

IPOH 3 Ogos - Pemuda UMNO Perak meminta status terkini kertas pendakwaan kes seorang ahli exco kerajaan negeri yang dituduh merogol segera didedahkan.

Ketuanya, Mohd. Ariff Abdul Majid berkata, Peguam Negara dan Ketua Polis Perak tidak seharusnya tunduk kepada desakan atau tekanan mana-mana pihak termasuk daripada parti politik dalam kes tersebut.

Menurutnya, rakyat memerlukan sistem perundangan dan penguatkuasaan yang adil, non-partisan dan telus yang memberi jaminan keselamatan kehidupan mereka.

“Pergerakan Pemuda UMNO Perak menyahut seruan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang mendesak Peguam Negara dan Ketua Polis Perak untuk segera memuktamadkan Kertas Pendakwaan ke atas ahli exco kerajaan negeri, Paul Yong.

“Kelembapan menguruskan pendakwaan bagi sebuah kes yang sudah terang lagi bersuluh ini adalah amat mengecewakan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd. Ariff turut mempersoalkan kes tersebut dilengahkan adakah kerana mangsa adalah warganegara asing.

“Mengapakah pimpinan wanita DAP membisu daripada perjuangan hak asasi manusia yang dicanang-canangkan?.” katanya. 

- UTUSAN ONLINE

Tuesday, July 23, 2019

Hadir Sidang Dun: Sikap Adun Tronoh memalukan

AKIF DANISYA 
23 JULY 2019


IPOH:  Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad berkata, tindakan Adun Tronoh DAP hadir ke Sidang Dun Negeri Perak hari ini merupakan satu tindakan yang memalukan.

Beliau yang kini masih dalam tempoh siasatan pihak berkuasa atas tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia seharusnya direhatkan dari sebarang tugasan Exco Kerajaan atau pun Adun.

"Tindakan beliau yang hadir ke Sidang Dun Negeri Perak hari ini menzahirkan bahawa beliau tidak mempunyai sensitiviti atas nasihat ramai dan juga Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ahmad Faizal Azumu agar beliau direhatkan.

"PH khususnya sayap wanita mereka seharusnya terkehadapan dalam memperjuangkan isu ini dalam menjamin hak-hak wanita dipelihara sebaiknya termasuklah keselamatan bukan warganegara yang bekerja di Malaysia.

''Sepanjang isu ini timbul, saya melihat pimpinan wanita PH hanya diam dan tidak menyuarakan ketegasan dalam menyelesaikan isu rogol ini kerana ia juga membabitkan maruah pemimpin dan negara kita Malaysia," gesanya.

Dr Najihah mendesak agar kerajaan khususnya parti DAP menggantung tugas dan jawatan yang digalas beliau selaku Exco Kerajaan Negeri sehingga tamatnya siasatan ke atas beliau.

"Rombakan Exco juga boleh dilakukan bagi membuktikan mereka benar-benar mempunyai barisan kepimpinan yang berwibawa untuk memerintah negeri ini," tambahnya.

Menurutnya, dasar integriti dan kredibiliti seseorang pemimpin yang selama ini dilaungkan hanyalah seperti berbalik pada diri sendiri dan mengundang pandangan negatif masyarakat luar terhadap pimpinan kerajaan negeri dan PH.

 - HARAKAHDAILY
   23/7/2019

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-