Showing posts with label tarif air. Show all posts
Showing posts with label tarif air. Show all posts

Thursday, April 18, 2024

Tarif air Perak 75 sen semeter padu mulai 1 Mei

bharian.com.my
Oleh Muhammd Zulsyamini Sufian Suri
bhnews@bh.com.my
 - April 18, 2024 @ 10:42am
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. - Foto NSTP/L Manimaran

IPOH: Tarif baharu air bagi kategori domestik di negeri ini akan dinaikkan pada kadar 5 sen bagi setiap meter padu bermula 1 Mei ini.

Penetapan itu yang pertama selepas 18 tahun, jauh lebih rendah berbanding kadar purata 22 sen yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebelum ini.

Pejabat Menteri Besar Perak dalam satu kenyataan berkata menerusi kenaikan itu, tarif baharu air kini 75 sen per meter padu bagi penggunaan sehingga 20 meter padu sebulan.

Katanya, bagi penggunaan 21 hingga 35 meter padu sebulan, ia ditetapkan pada kadar RM1.08 berbanding RM1.03 sebelumnya.

"Bagi mengurangkan kesan perubahan tarif kepada pengguna domestik, Lembaga Air Perak (LAP) turut memberikan rebat pada kadar 40 sen setiap meter padu bagi penggunaan sehingga 10 meter padu pertama sebulan iaitu bersamaan RM4.00 sebulan.

"Dengan rebat berkenaan, kadar purata tarif bagi penggunaan sehingga 20 meter padu dapat dikurangkan kepada hanya 55 sen bagi setiap meter padu berbanding 75 sen sekiranya tanpa rebat.

"Caj minimum bagi penggunaan domestik pula adalah RM7.50 sebelum mengambil kira pemberian rebat. Selepas rebat, caj minimum adalah RM3.50 berbanding sekarang iaitu RM3," kata kenyataan berkenaan hari ini.

Pejabat Menteri Besar Perak berkata penetapan tarif baharu berkenaan tidak menjejaskan program air percuma 25 meter padu sebulan untuk golongan sasar dan program air percuma 20 meter padu kepada rumah ibadat.

Katanya, bagi pengguna bukan domestik pula, kenaikan juga adalah sebanyak 5 sen bagi setiap meter padu penggunaan.

"Pun begitu, kerajaan negeri sudah memutuskan supaya LAP memanfaatkan sebaiknya penetapan tarif baharu itu untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan termasuk menggantikan paip-paip lama dan menambah baik aspek penyelenggaraan.

"Dalam hubungan itu, LAP memerlukan dana mencukupi bagi membiayai program-program penambahbaikan termasuk membina loji-loji rawatan air khususnya di kawasan-kawasan pembangunan baharu," katanya.

Semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi LAP dalam satu majlis di pejabatnya, di sini melahirkan keyakinan kadar tarif baharu itu masih boleh diterima oleh rakyat.

"Saya yakin ia (kenaikan) boleh diterima rakyat. Pertama, sebab ia sudah melepasi puluhan tahun kita tak pernah menaikkan tarif itu.

"Keduanya, ada keperluan khusus bagi LAP mempunyai wang mencukupi untuk memperbaiki perkidmatannya.

"Jadi kita perlukan sedikit tambahan wang dan kos untuk membolehkan LAP seperti untuk nak ganti paip baharu, nak perbaiki mana-mana paip lama serta pelbagai sistem-sistem baharu termasuk meter dan sebagainya.

"Kenaikan itu bukan untuk keuntungan LAP tetapi akan dipulangkan semula dalam bentuk perkhidmatan kepada pengguna.

"Saya harap pengguna tak akan terlampau melenting disebabkan kenaikan ini yang tidak pun terlampau besar hingga menyusahkan pengguna. Kenaikannya masih munasabah," katanya.

Saarani turut mengumumkan pelantikan Lokman Abd Rahim sebagai Pengurus Besar LAP baharu berkuatkuasa hari ini, menggantikan Datuk Ishak Abd Rahman yang bersara wajib pada 10 April lalu.

Friday, April 26, 2019

Kenaikan tarif air bukan berkadar kecil

By admin
- 26 April 2019

Kenaian tarif air bagaimanapun tidak melibatkan B40.

PETALING JAYA – Kenaikan tarif air tidak dapat dielakkan, dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago turut membayangkan bahawa kenaikan itu bukan pada kadar kecil-kecilan.

Beliau bagaimanapun memberitahu bahawa kenaikan itu tidak akan membebankan isi rumah B40.

Charles berkata, selari dengan usaha penyusunan semula perkhidmatan air, pengguna dapat menikmati kualiti air yang lebih baik sementara masalah pembaziran dan ketirisan dapat dikurangkan.

“Penentuan tarif air akan mengambil kira sama ada kadar itu boleh diterima pengguna, terutamanya apabila kos sara hidup meningkat,” katanya kepada Oriental Daily.

Beliau berkata, banyak negeri tidak menaikkan tarif air walaupun perbelanjaan untuk membekal air telah meningkat.

“Jika tarif air tidak dinaikkan, negeri-negeri akan berdepan kekangan untuk menggunakan sumber yang terhad untuk memperbaiki mutu perkhidmatan.

“Kadar kenaikan itu tidak adalah terlalu kecil kerana sesetengah negeri sudah lama tidak menyelaraskan kadar mereka,” katanya sambil menambah bahawa kali terakhir Pahang menyelaraskan tarifnya ialah 38 tahun lalu.

Beliau berkata, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Perlis mempunyai masalah air tidak berhasil yang tinggi.

Tambahnya, keadaan di Melaka pula tidak serius manakala hasil dan perbelanjaan negeri ini juga lebih seimbang menyebabkan kadar kenaikan tidak tinggi. 

MalaysiaGazette

Wednesday, January 9, 2019

Tarif air dijangka naik tahun ini

MyMetro

DR Xavier Jayakumar. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

KADAR tarif air mungkin akan dinaikkan secara berperingkat tahun ini selaras dengan usaha kerajaan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar berkata, kenaikan tarif sumber asli itu perlu dilaksanakan bagi menjaga kepentingan pengguna untuk mendapatkan air berkualiti serta menjamin industri berkenaan daripada sudut perkhidmatan.

“Bagaimanapun, saya boleh katakan bahawa kenaikan ini tidak akan membebankan rakyat dan kami akan berunding dengan semua (kerajaan) negeri,” katanya semasa menjadi tetamu jemputan bagi program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel di Kuala Lumpur, malam tadi.

Beliau berkata, kementeriannya bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sedang berunding dengan beberapa kerajaan negeri untuk mendapatkan persetujuan semua pihak sebelum dilaksanakan.

“Kita telah mengemukakan ‘business plan’ kepada mereka (kerajaan negeri). Sekarang kerajaan negeri berbincang antara mereka...ada tanda menunjukkan mereka (kerajaan negeri) setuju untuk menaikkan tarif air,” katanya.

Beliau berkata, kenaikan kadar tarif air masih belum ditetapkan kerana setiap negeri mempunyai kadar tarif yang berbeza.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 12:42 AM

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-