Showing posts with label ugutan. Show all posts
Showing posts with label ugutan. Show all posts

Wednesday, July 3, 2024

‘Jumpa di mahkamah, saya tidak takut pertahankan hak rakyat’

kosmo.com.my
Oleh KOSMO!
3 Julai 2024
Dr. Akmal.

PETALING JAYA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh mendedahkan beliau menerima ‘ugutan’ daripada tauke sebuah kilang semalam.

Beliau yang mesra disapa Dr. Akmal berkata, ugutan tersebut diterima melalui sepucuk surat daripada sebuah firma guaman yang mewakili tauke kilang tersebut.


Jelasnya, ‘ugutan’ itu ekoran tindakannya sebelum ini yang mempertahankan 15 penduduk kampung yang diarahkan untuk bercuti tanpa gaji selama empat bulan oleh tauke kilang terbabit.

“Semalam (kelmarin) saya dapat satu surat dari lawyer (peguam) daripada syarikat sebelum ini yang mengarahkan pekerjanya cuti tanpa gaji tanpa ada apa-apa pampasan.

“Dalam surat itu (surat peguam) syarikat berkenaan minta saya turunkan posting (hantaran), minta maaf dan jika tidak dia nak bawa kes itu ke mahkamah,” katanya dalam satu klip video semalam.

Bagaimanapun, Dr. Akmal berkata, dia langsung tidak takut dengan ugutan berkenaan dan sedia ‘berlawan’ di mahkamah.

“Saya nak bagitahu kepada tauke kilang tersebut, nak suruh saya minta maaf, nak tuduh saya fitnah, saya tidak takut.

“In your dream, kita jumpa di mahkamah. Hari ini (semalam) peguam saya akan hantar surat balas untuk lawan di mahkamah.Saya tidak pernah takut untuk melawan hak rakyat dan orang-orang di bawah ini,”tegasnya.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, Dr. Akmal memberi amaran kepada semua majikan serta ‘tauke’ syarikat supaya tidak menindas orang kampung.

Amaran tersebut diberikan selepas dia menerima aduan daripada 15 individu di kawasannya yang diarahkan oleh majikan mereka supaya mengambil cuti tanpa gaji selama empat bulan bermula 1 Julai ini.

Jelas Ketua Pemuda UMNO itu, perbuatan majikan tersebut seolah-olah menindas hak pekerja dan beliau akan membantu pekerja yang ditindas itu untuk mendapatkan pembelaan yang sewajarnya di mahkamah.

-KOSMO! ONLINE

Tuesday, May 21, 2019

Pemimpin DAP minta maaf hantar mesej ugut OCPD


Pemimpin DAP bahagian Jerantut, Loo Why Leong yang ditangkap kerana menghantar mesej berbau ugutan kepada ketua polis daerah pada Ahad lalu tampil untuk menjernihkan keadaan.

Loo dalam suatu kenyataan hari ini mengakui menghantar mesej kontroversi tersebut kepada OCPD Jerantut Mazlan Hassan pada 17 Mei lalu.

Katanya, mesej tersebut dihantar kerana dirinya dan rakan ahli DAP telah "ditangkap secara salah" sehari sebelum itu kerana dituduh terlibat dalam penyeludupan rokok yang ditemui dalam sebuah kereta.

Loo berkata episod itu berlaku pada Khamis lalu apabila dia pergi ke kedai rakannya, selepas menerima panggilan telefon daripada isteri kawannya itu mengenai penemuan rokok seludup berkenaan.

Jelasnya, dia cuba membantu rakannya yang menafikan bukan pemilik kereta yang ditemukan rokok seludup itu. Kereta berkenaan, kata Loo lagi diletakkan di belakang jalan di kedai rakannya itu.

Namun, menurutnya, bantahan mereka tidak diendahkan polis dan kedua-dua mereka ditangkap.

Loo juga mendakwa polis melayan rakannya secara kasar ketika soal siasat dan bertindak seolah-olah mereka penjahat.

Selepas itu kedua-dua mereka ditahan selama 24 jam sebelum dibebaskan.

Loo berkata dia kemudiannya menghubungi Mazlan untuk meminta bertemu dengannya pada pagi 17 Mei, tetapi pegawai itu tidak hadir.

Pada petang hari yang sama, katanya, pegawai polis yang dihantar oleh mahkamah muncul dan memberitahu mahu menahan reman mereka selama empat hari.

'Tak akan aman'

Bagaimanapun, Loo berkata kedua-dua mereka dibebaskan sekitar 3 petang pada hari itu selepas menjelaskan hal tersebut kepada pegawai mahkamah.

Selanjutnya, pada petang itu, jelas Loo lagi, dia menjadi marah dan mengunakan kata-kata yang tidak sewajarnya ketika menghantar mesej teks kepada Mazlan, berkata: "Sesiapa nak lawan PH, masa akan datang dia akan tak aman."

"Saya menghantar mesej teks melalui WhatsApp berharap moga-moga beliau (Mazlan) dan pegawai polis akan bertindak berdasarkan apa yang dikatakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, supaya setia kepada kerajaan baru.

"Bagaimanapun, pada pagi hari berikutnya 18 Mei, saya risau Mazlan mungkin salah faham maksud saya kerana pemilihan kata-kata saya yang tidak wajar," katanya.

Loo berkata kenyataannya bukan bersifat peribadi kepada OCPD itu.

"Saya kemudian menghantar satu lagi mesej memohon maaf dan menarik semula kenyataan saya yang tidak wajar itu. Saya harap beliau akan memaafkan saya.

"Saya, Loo Why Leong, seorang ahli perniagaan yang sah. Saya akan bertegas apabila rakyat memerlukan bantuan saya," jelasnya lagi.

[Baca berita penuh]

Thursday, November 12, 2015

Husam: Saya tak gentar biar nyawa jadi taruhan

Bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa yakin ugutan bunuh yang diterima oleh isterinya pada Isnin lalu sebenarnya ditujukan kepada dirinya.

Husam berkata ugutan yang dibuat melalui panggilan telefon dan sistem pesanan mesej (SMS) daripada pihak tidak dikenali itu mungkin berkaitan dengan tegurannya terhadap kerajaan negeri.

Katanya, beliau sebelum ini telah membuat enam teguran kepada kerajaan negeri dan tiga daripadanya berkaitan isu pembalakan dan perladangan.

"Ugutan dari seorang lelaki yang tidak dikenali telah diterima melalui panggilan telefon dan SMS menerusi telefon isteri saya pada petang Isnin lalu, 9 November.

"Ugutan itu ditujukan kepada saya. Pada hari yang sama saya dan isteri buat laporan polis. Masing-masing di balai Jalan Tun Razak dan IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Kota Bharu.

"Berdasarkan kandungan pesanan SMS, saya berat mengagak teguran kepada kerajaan negeri adalah punca ugutan itu diterbitkan. Dari enam teguran utama saya, tiga adalah berkaitan pembalakan dan ladang khususnya kelulusan hutan simpan kekal untuk tujuan perladangan," katanya.

Walaupun menerima ugutan, ADUN Salor itu berkata beliau tidak akan berganjak dan akan terus memberi teguran walaupun nyawanya menjadi taruhan.

"Jika saya ditanya suspek utama, saya katakan perlukan siasatan pembalak yang ada kepentingan dengan kelulusan tebang habis.

"Sungguh pun saya merasa gentar akan keselamatan saya dan keluarga, insya Allah saya tidak akan berganjak dari tugas saya membuat teguran yang benar mengikut hemat dan pegangan perjuangan saya, hatta jika nyawa saya menjadi taruhan," kata Husam lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap agar kerajaan negeri mempertimbangkan tegurannya mengenai isu yang dibangkitkan bagi mengelak pertikaian berlanjutan khususnya kelulusan kawasan hutan simpan yang baru.

"Saya berharap kerajaan negeri menimbangkan teguran saya dengan saksama bagi mengelakkan pertikaian yang berlanjutan, khusus bagi kelulusan kawasan hutan simpan yang baru, sekalipun atas alasan sambungan kepada kelulusan dasar yang lama.

"Saya juga berharap pihak keselamatan menjalankan siasatan dengan bersungguh-sungguh demi mengelakkan provokasi dan kejadian yang lebih buruk," katanya.

Semalam dilaporkan isteri Husam menerima ugutan bunuh.

Selain keluarga Husam, bekas rakan seperjuangannya dalam PAS Salahuddin Ayub turut mengalami "cabaran" apabila tayar kenderaan pacuan empat rodanya ditoreh semasa berada di Kelantan.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-