Showing posts with label Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh. Show all posts
Showing posts with label Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh. Show all posts

Sunday, July 14, 2024

Umno milik ahli bukan pemimpin, kata Akmal

freemalaysiatoday.com
Predeep Nambiar
14 Jul 2024, 07:43 PM

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata survival politik parti itu kini bergantung pada akar umbi.
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata dengan menyuarakan pendapat untuk didengar pemimpin tertinggi, akar umbi dalam menyelamatkan parti daripada terus karam.

BUTTERWORTH: Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata Umno bukan milik mana-mana pemimpin, sama ahli majlis tertinggi atau ketua bahagian, sebaliknya ia milik semua ahli.

Mengulas mengenai prestasi buruk parti dalam beberapa pilihan raya baru-baru ini, exco Melaka itu berkata survival Umno kini bergantung pada tekanan akar umbi yang mahukan perubahan.

Katanya, dengan menyuarakan apa yang dalam fikiran hingga didengar pemimpin tertinggi, akar umbi boleh menyelamatkan parti daripada terus tenggelam.

Akmal berkata, pada PRU15 Umno hanya menang 26 kerusi parlimen berbanding 109 kira-kira 20 tahun lalu, menunjukkan sudah sampai masanya akar umbi bangkit untuk mengembalikan kegemilangan Umno.

“Jangan jadikan parti ini sebagai perisai untuk mempertahankan individu…

“Hari ini rakyat nak tengok pemimpin yang mesti ada prinsip. Kalau salah katakan salah, kalau betul katakan betul.

Kita ini bukan lembu yang dicucuk hidung. Sebab Umno ini diajar ada prinsip dan yang paling penting, kita ada maruah. Umno ini ada maruah, katanya dalam ucapan perasmian persidangan perwakilan Pemuda Umno Tasek Gelugor.

Akmal menjawab kritikan Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Adam terhadap beliau kerana mengkritik kepimpinan parti dengan berkata mempunyai perbezaan pendapat tidak bermakna beliau menentang parti.
Rephrase with Ginger (Ctrl+Alt+E)

Friday, July 12, 2024

Dr Akmal bidas Pemuda PH - Hormat dulu hak rakyat

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 12, 2024 12:28 PM
Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh hari ini membidas Pemuda Pakatan Harapan (PH) yang mahu semua pihak menghormati keputusan speaker Dewan Rakyat yang tidak mengosongkan kerusi bekas enam ahli Parlimen Bersatu yang menyokong kerajaan.

Dalam satu hantaran di Facebook, Dr Muhamad Akmal yang juga adalah exco kerajaan negeri Melaka berkata, sebagai pemimpin apa yang lebih penting adalah hormat hak rakyat untuk menolak katak-katak politik daripada terus menjahanamkan negara.

“Adakah ia terpakai kepada satu pihak?

“Jika lepas ini ada pihak lain yang nak menyatakan sokongan kepada yang lain adakah kita nak benarkan?

“Akhirnya yang untung katak politik,yang terus jahanam negara dan rakyat yang menanggungnya!” katanya.
Hasbie Muda
Adun Merlimau itu mengulas kenyataan Timbalan Ketua Pemuda PH Mohd Hasbie Muda yang menasihatkannya supaya menghormati keputusan Speaker, Johari Abdul untuk tidak mengosongkan kerus enam wakil rakyat Bersatu yang berpaling tadah dengan menyokong kerajaan.

Mereka adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Menurut Hasbie yang juga ketua Pemuda Amanah, keputusan itu tiada kaitan akta antilompat parti kerana enam wakil rakyat terbabit masih ingin kekal sebagai ahli Bersatu namun seolah-olah ditekan dan dipaksa sehingga terlucut keahlian.
Dia berkata, tindakan keenam-enam mereka menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak bermakna lompat parti sama seperti PH yang sebelum ini pernah menandatangi Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

Sebelum ini, dalam hantaran berasingan, pemimpin Umno itu secara sinis mengucapkan “selamat menjahanamkan negara kepada katak-katak politik”.

Menurut dengan keputusan speaker itu, akta antilompat parti yang diminta oleh rakyat selama ini, menjadi sia-sia.

Dr Muhammad Akmal juga mengingatkan pemimpin kerajaan supaya jangan marah jika rakyat membenci orang politik.
Rephrase with Ginger (Ctrl+Alt+E)

Selamat jahanamkan negara wahai katak politik, kata Pemuda Umno

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 12, 2024 11:34 AM
Akta antilompat parti yang diluluskan di Parlimen menjadi sia-sia selepas wakil rakyat yang berpaling tadah tidak hilang kerusi, kata Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Mengulas keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul yang tidak mengosongkan kerusi bekas ahli Parlimen Bersatu yang menyokong kerajaan, secara sinis dia mengucapkan selamat menjahanamkan negara kepada “katak-katak politik”.
“Maka sia-sialah akta antilompat parti yang diminta oleh rakyat selama ini. Kestabilan politik hanya untuk kepentingan diri.

“Jangan marah jika rakyat benci pada orang politik. Selamat menjahanamkan negara wahai katak-katak politik,” kata exco Melaka yang juga Adun Merlimau itu dalam satu hantaran di Facebook.

Sebelum ini, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengesahkan bahawa Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul membuat keputusan itu pada Selasa lalu.

Johari memutuskan tidak berlaku kekosongan kerusi disandang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Menerusi surat pemberitahuan, Johari memaklumkan tiada kekosongan kerusi berdasarkan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang dibuat untuk memastikan kestabilan politik.
Semalam, ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) bertindak keluar Dewan Rakyat sebagai tanda membantah keputusan tersebut.

Protes itu diketuai Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin yang memberi ucapan Panjang mengkritik keputusan Johari, yang disifatkannya sebagai "salah" dan "menjahamkan" Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Hamzah, selaku setiausaha agung dia ada kuasa untuk menentukan sama ada keanggotaan mana-mana ahli parti terlucut atau tidak.

Katanya, Johari sepatutnya mengikut langkah yang diambil Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Abdullah, yang mengisytiharkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim tidak lagi menjadi ahli Bersatu.

Keputusan Johari turut dikritik ahli Parlimen Pasir Gudang daripada PKR, Hassan Karim, menyatakan speaker memutuskan berdasarkan kepentingan politik kepartian yang gagal menghormati asas kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan.
Hassan Karim
Semalam, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Lau Weng San turut mengumumkan tidak berlaku kekosongan luar jangka bagi kerusi Selat Klang yang disandang Abdul Rashid Asari yang mengisytiharkan sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Pindaan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, dikenali akta anti lompat parti berkuat kuasa pada Oktober 2022.

Wednesday, July 3, 2024

‘Jumpa di mahkamah, saya tidak takut pertahankan hak rakyat’

kosmo.com.my
Oleh KOSMO!
3 Julai 2024
Dr. Akmal.

PETALING JAYA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh mendedahkan beliau menerima ‘ugutan’ daripada tauke sebuah kilang semalam.

Beliau yang mesra disapa Dr. Akmal berkata, ugutan tersebut diterima melalui sepucuk surat daripada sebuah firma guaman yang mewakili tauke kilang tersebut.


Jelasnya, ‘ugutan’ itu ekoran tindakannya sebelum ini yang mempertahankan 15 penduduk kampung yang diarahkan untuk bercuti tanpa gaji selama empat bulan oleh tauke kilang terbabit.

“Semalam (kelmarin) saya dapat satu surat dari lawyer (peguam) daripada syarikat sebelum ini yang mengarahkan pekerjanya cuti tanpa gaji tanpa ada apa-apa pampasan.

“Dalam surat itu (surat peguam) syarikat berkenaan minta saya turunkan posting (hantaran), minta maaf dan jika tidak dia nak bawa kes itu ke mahkamah,” katanya dalam satu klip video semalam.

Bagaimanapun, Dr. Akmal berkata, dia langsung tidak takut dengan ugutan berkenaan dan sedia ‘berlawan’ di mahkamah.

“Saya nak bagitahu kepada tauke kilang tersebut, nak suruh saya minta maaf, nak tuduh saya fitnah, saya tidak takut.

“In your dream, kita jumpa di mahkamah. Hari ini (semalam) peguam saya akan hantar surat balas untuk lawan di mahkamah.Saya tidak pernah takut untuk melawan hak rakyat dan orang-orang di bawah ini,”tegasnya.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, Dr. Akmal memberi amaran kepada semua majikan serta ‘tauke’ syarikat supaya tidak menindas orang kampung.

Amaran tersebut diberikan selepas dia menerima aduan daripada 15 individu di kawasannya yang diarahkan oleh majikan mereka supaya mengambil cuti tanpa gaji selama empat bulan bermula 1 Julai ini.

Jelas Ketua Pemuda UMNO itu, perbuatan majikan tersebut seolah-olah menindas hak pekerja dan beliau akan membantu pekerja yang ditindas itu untuk mendapatkan pembelaan yang sewajarnya di mahkamah.

-KOSMO! ONLINE

Thursday, April 4, 2024

Aktivis tuntut Akmal, empat lain diharamkan ke Sarawak, Sabah

malaysiakini.com
Diterbitkan: Apr 4, 2024 12:42 PM
Aktivis politik dari Sarawak dan Sabah mahu Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh dan empat yang lain yang didakwa mereka sebagai "dalang peningkatan ketegangan kaum dan agama, serta perselisihan sosial di negara ini", dilarang daripada memasuki kedua-dua negeri di Borneo itu.

Dalam satu kenyataan bersama, Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (Sapa) dan Sabah Defenders of Ancestral Lands’ (Mopot) menggesa Sarawak melarang beberapa individu daripada wilayah tersebut.

Mereka termasuk penceramah dan pendakwah bebas, Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Firdaus Wong, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu, Syakir Nasoha dan juga Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh.
Atama Katama, Mapot
“Senarai hitam imigresen yang dicadangkan mesti termasuk individu yang mencetuskan protes dan boikot yang didorong oleh sikap tidak bertolak ansur antara kaum dan agama, sehingga menimbulkan ketakutan dan rasa tidak selamat, serta menggalakkan sikap berpecah belah.

“Gesaan ini bertujuan untuk melindungi Sarawak dan Sabah daripada potensi gangguan dan risiko kepada perpaduan sosial,” kata Ketua Publisiti dan Penerangan Sapa Peter John Jaban (foto, atas) dan wakil Mopot, Atama Katama.

Sehubungan itu, kedua-dua mereka menekankan bahawa Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa autonomi untuk mengawal hal ehwal imigresen sendiri seperti yang ditetapkan di bawah terma Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sarawak, khususnya, sering menggunakan kuasa autonominya untuk menghalang rakyat Malaysia daripada semenanjung yang dianggap tidak diingini.

Mengulas lanjut, mereka berkata Premier Sarawak Abang Johari Openg perlu mengemas kini senarai hitam itu dengan menambah nama-mana individu yang tidak dialu-alukan di Sarawak.

Ini kerana individu-individu berkenaan boleh menjejaskan "persekitaran yang aman, dan nilai eksklusif, toleransi dan keharmonian sosial" kedua-dua negeri itu.

[Baca berita penuh]

Thursday, March 28, 2024

ULASAN l Kalau boleh, kita kembali kepada asal

malaysiakini.com
A Kadir Jasin
Diterbitkan: Mar 28, 2024 4:08 PM
ULASAN l Saya alu-alukan tindakan Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh, mengembalikan peranan pergerakan itu sebagai kumpulan pendesak.

Untuk sekian lama, ketua-ketua Pemuda Umno gagal menampilkan diri sebagai pendesak. Mereka lebih mengutamakan keserasian dengan pucuk pimpinan dan jawatan.
Dr Muhamad Akmal Saleh
Muhamad Akmal, seorang doktor perubatan, sudah pun mempunyai kedudukan yang cukup baik apabila menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada tahun 2021 dan dilantik menjadi Exco Kerajaan Negeri. Beliau kini Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Sejak dua minggu lalu, apabila tercetus isu penjualan stoking dengan nama "Allah" oleh rangkaian kedai KK Mart, beliau muncul sebagai pendesak utama mewakili orang Melayu dan Islam.

Kalau boleh saya guna ungkapan bahasa Inggeris, "he had made his point loud and clear". Beliau sudah menyatakan pendiriannya dengan kuat dan jelas.


Atas desakan beliau dan banyak pihak lain serta perjalanan biasa undang-undang, tindakan telah dan sedang diambil ke atas pemilik KK Mart serta pihak-pihak berkaitan.

Buat permulaan, mereka telah disiasat dan didakwa di mahkamah. Sebelum itu, mereka telah memohon maaf.
Saya rasa hanya orang paling bodoh, bangang dan sengaja cari penyakit saja yang tidak faham atau sengaja tidak mahu faham sentimen dan sensitiviti orang Melayu dalam hal-hal berkaitan kalimah Allah, al-Quran dan Rasulullah (SAW).

Jadi, mana-mana pihak yang hendak bekerjasama dengan orang Melayu, termasuk menjadikan mereka pelanggan, hendaklah sensitif dan berusaha seboleh-bolehnya menyaring agar barang dagangan yang boleh menimbulkan bantahan tidak ada di kedai mereka.

Lagi elok kalau rangkaian pasar besar macam KK Mart mewujudkan panel terdiri daripada pakar dari semua agama bagi menasihati mereka.

Rasanya tidaklah susah sangat bagi pasar-pasar raya mendapatkan nasihat luar, memasang papan tanda yang jelas bagi setiap kategori barang dan mematuhi peraturan memisahkan barang-barang tidak halal dengan barang-barang halal.

Kalau boleh, kita kembalilah kepada yang asal. Kita hentikan kempen boikot (kecuali yang berkaitan isu Palestin).

Kalau tidak mahu berlanggan dengan KK Mart atau mana-mana perniagaan, itu hak kita. Sebagai pengguna ada hak kita memilih.

Lagipun, melainkan masyarakat perniagaan kita bodoh, bangang dan rasis, mereka tentu mengiktiraf peranan dan kuasa membeli (purchasing power) pengguna Melayu-Islam.

Berbalik kepada Dr Muhamad Akmal, saya tidak kenal beliau secara peribadi. Malah hanya sejak kempen boikot KK Mart ini barulah beliau muncul dalam kesedaran (consciousness) saya.
Saya tertarik dengan keberanian, komitmen dan kepetahan beliau berhujah. Umno memerlukan orang muda berkeluasan profesional macam beliau kalau tidak mahu terus menjadi rumput di tengah jalan dan melukut di tepi gantang.

A KADIR JASIN ialah bekas ketua pengarang kumpulan NSTP (M) Bhd dan pernah menjadi penasihat media kepada perdana menteri.

Tulisan ini asalnya disiarkan di media sosial dengan tajuk “Berlanggan Hak Asasi Pengguna”. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-