Wednesday, July 29, 2015

Batal mesyuarat elak perbahasan hangat, kata ahli MT Umno

OLEH MD IZWAN

Published: 29 July 2015 10:11 PM

Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin berkata mesyuarat Majlis Tertinggi Umno dibatalkan untuk mengelak ketengangan di kalangan pemimpin parti. – Gambar The Malaysian Insider, July 29, 2015.

Langkah membatalkan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno pada Jumaat ini ialah bagi mengelak terjadinya perbahasan hangat susulan pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri dalam rombakan Kabinet semalam.

Salah seorang anggota MT, Datuk Bung Moktar Radin berkata, langkah tersebut perlu diambil Umno untuk meredakan keadaan dengan mengambilkira situasi semasa senario politik parti utama kaum Melayu tersebut.

"Apabila ada pembatalan, bermakna ada sedikit yang perlu diperbetulkan.

"Mungkin mengelak ada ketegangan di kalangan pemimpin Umno itu sendiri, jadi kita perlu redakan keadaan dengan bagi semua tenang dahulu," katanya kepada The Malaysian Insider.

Kemelut dalaman Umno dijangka meletup sebaik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan rombakan Kabinet semalam di mana Muhyiddin, yang juga timbalan presiden parti, dan Datuk Seri Shafie Apdal, naib presiden, dipecat.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mengumumkan pembatalan mesyuarat itu pada ketika Najib menjadi tumpuan selepas tindakan drastik memecat dua pemimpin kanan Umno itu.

Muhyiddin dan Shafie difahamkan akan menggunakan saluran parti tertinggi parti itu untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap Najib.

Namun, langkah itu terhalang dengan pengumuman terbaru ini.

Malah, Muhyiddin dan Shafie kini tidak lagi diundang ke majlis perasmian mesyuarat bahagian susulan keputusan mereka membatalkan jemputan.

Bagi Bung, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, hanya dalam keadaan tenang sesuatu perbincangan dapat berjalan dengan baik dan mudah diselesaikan.

"Apabila tenang, banyak perkara yang boleh kita bincang. Tapi kalau suasana tegang dan hangat, perbincangan yang baik pun jadi tidak baik," katanya.

Sementara itu, sumber dalam parti menjangkakan Najib mempunyai rancangan lebih besar ke atas kedua-dua pemimpin kanan Umno itu selepas membuat keputusan berani tersebut.

"Beliau (Najib) ada perancangan tersendiri, seperti ada sesuatu yang besar yang dirancang oleh Najib," katanya kepada The Malaysian Insider.

Sumber itu juga tidak menolak kemungkinan Najib menunggu hingga situasi reda sebelum mengambil satu lagi keputusan, iaitu memecat Muhyiddin dan Shafie dari Umno.

"Mungkin beliau mahu redakan satu persatu. Bila sudah reda yang ini, mungkin baharu Najib akan buat langkahnya pecat kedua-dua mereka," katanya.

Terdahulu hari ini, Muhyiddin memberitahu pemberita, beliau yakin kedudukannya sebagai timbalan presiden Umno selamat.

Mengikut konvensyen, timbalan presiden Umno juga merupakan timbalan pengerusi Barisan Nasional dan timbalan perdana menteri.

Katanya, beliau tidak bimbang mengenai mesyuarat MT Jumaat ini dan menjangkakannya hanya sebagai satu lagi mesyuarat "rutin".

"Saya tidak rasa terhalang dan tidak bimbang untuk hadir. Mereka yang duduk dalam MT orang lama, terbuka dan akan beri peluang kepada semua untuk suarakan pandangan," katanya.

Sementara itu, pemimpin veteran Umno, Tan Sri Zainuddin Maidin melihat rombakan Kabinet Najib dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.

"Najib dilihat membuat persediaan rapi dalam rombakan Kabinetnya, cuma langkah beliau dilihat dengan tergesa-gesa," katanya.

Zainuddin berkata langkah rombakan Kabinet dan memecat Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail seolah-olah untuk menyelamatkan karier politiknya yang terpalit dengan skandal syarikat sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Langkah itu dibuat sehingga mengenepikan keperluan untuk menyiapkan laporan 1MDB dengan segera dan sekaligus menunjukkan beliau hanya mahu menyelamatkan karier politiknya," katanya.

Muhyiddin dan Shafie tersingkir daripada Kabinet Najib kerana tidak bersetuju dalam pengendalian isu membabitkan 1MDB.

Malah, pertikaian timbul apabila langkah Najib merombak Kabinet dan menggantikan Peguam Negara dibuat pada ketika pasukan khas melibatkan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Bank Negara Malaysia sedang menyiasat 1MDB. – 29 Julai, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/batal-mesyuarat-untuk-elak-perbahasan-hangat-kata-ahli-mt-umno#sthash.ZONZvXN3.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-