Tuesday, July 28, 2015

Tetap pendirian isu 1MDB walaupun disingkirkan, kata Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir ke program Persidangan Antarabangsa Matrix Global School di Bandar Baru Sendayan, Seremban, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan keredaannya menerima keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menggugurkan beliau daripada jawatan nombor 2 negara dalam rombakan Kabinet hari ini.

Bagaimanapun, menerusi kenyataan yang dibuat melalui laman Facebook rasminya, bekas timbalan perdana menteri itu berkata beliau akan tetap mempertahankan prinsip dan pendiriannya dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Saya menerima keputusan perdana menteri menggugurkan saya daripada Kabinet dengan hati yang terbuka.

"Saya menghormati kuasa prerogatif perdana menteri melantik dan menggugurkan mana-mana anggota Kabinet," katanya dalam kenyataan itu.

Katanya, sebagai timbalan perdana menteri, beliau terlibat secara langsung dalam pembuatan dasar kerajaan dan melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan kepadanya dengan penuh amanah.

"Selama saya berkhidmat, saya sentiasa mendokong semua dasar kerajaan dan menyokong kepimpinan perdana menteri.

"Kecuali dalam isu 1MDB, saya mempunyai prinsip dan pendirian saya sendiri dalam mempertahankan hak rakyat, nama baik parti dan kepentingan negara.

"Jika kerana pendirian saya dalam isu ini menyebabkan saya digugurkan daripada Kabinet maka saya reda," kata Muhyiddin yang juga ahli Parlimen Pagoh.

Timbalan presiden Umno itu juga berkata, walaupun disingkirkan daripada Kabinet, beliau tetap akan setia kepada perjuangan parti.

"Saya akan terus melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada saya dan mencurahkan khidmat bakti saya demi memperkukuhkan parti serta mengembalikan keyakinan orang Melayu dan rakyat kepada Umno,” katanya.

Beliau dalam kenyataannya turut mengucapkan terima kasih kepada Najib yang memberikannya peluang berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan persekutuan sebagai timbalan perdana menteri sejak 10 April, 2009.

Pengumuman Najib merombak Kabinetnya mengesahkan berita yang disiarkan The Malaysian Insider hari ini.

Jawatan timbalan perdana menteri kini dipegang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang pada masa sama turut memegang portfolio menteri dalam negeri.

Muhyiddin sebelum ini antara yang lantang mengkritik 1MDB, syarikat milik Kementerian Kewangan yang mengumpul hutang mencecah RM42 bilion dalam masa 6 tahun beroperasi.

Terbaru, beliau membuat kejutan di mesyuarat Umno bahagian Cheras pada Ahad, apabila secara terbuka mengkritik cara perdana menteri, yang juga pengerusi lembaga penasihat 1MDB dan menteri kewangan mengendalikan syarikat itu.

Beliau turut mendedahkan ada meminta Najib melepaskan jawatan sebagai pengerusi lembaga penasihat 1MDB itu tetapi ia tidak diendahkan.

Beliau juga mengakui mengambil serius laporan The Wall Street Journal (WSJ) mengenai sejumlah wang yang didakwa disalurkan ke dalam akuan peribadi Najib, mengatakan presiden Umno itu perlu menjelaskannya sendiri, bukan hanya melalui kenyataan Jabatan Perdana Menteri.

Muhyiddin juga mendedahkan beliau membangkitkan perkara tersebut beberapa kali dalam mesyuarat majlis tertinggi Umno dan mesyuarat Kabinet.

Beliau juga berkata, Barisan Nasional akan kalah sekiranya Pilihan Raya Umum ke-14 diadakan dalam tempoh terdekat ini.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/tetap-pendirian-isu-1mdb-walaupun-disingkirkan-kata-muhyiddin#sthash.ubYz4Glv.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-