Monday, July 13, 2015

Utusan puji Hadi bela Najib, tuduh "konspirasi" pembangkang


BATU PAHAT, 13 JULAI: Suara UMNO, Utusan Malaysia, telah memuji Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana mempertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dikatakan telah menjadi “mangsa konspirasi”.

Terpulang kepada Hadi untuk mengulas pujian itu serta perkembangan terbaru dalam PAS dan UMNO yang nampaknya telah menyokong pendirian beliau (Hadi), kata Lim Kit Siang.

Ketua Parlimen DAP itu mengulas tulisan “Awang Selamat” dalam Mingguan Malaysia semalam yang mengemukakan teori kononnya ada konspirasi mahu menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional oleh pembangkang dan media asing, serta menjadikan teori karut tersebut sebagai alasan Hadi enggan bekerjasama dengan DAP lagi.

Dalam tulisan yang tidak mengemukakan sebarang bukti, “Awang Selamat” mendakwa:

“Awang dapat tahu konspirasi untuk menjatuhkan Perdana Menteri melibatkan beberapa pemimpin pembangkang, yang turut bertemu di dua negara jiran bagi mengatur gerakan dengan disertai sama media asing.

“Awang percaya sebab itulah Presiden PAS, Hadi Awang tidak ikut rentak DAP. Sebaliknya beliau mempertahankan Najib yang dikhuatirinya menjadi mangsa konspirasi.”

Setakat ini, Hadi atau mana-mana pemimpin tertinggi serta ulamak PAS belum mengulas teori konspirasi Utusan tersebut.

Kit Siang berkata, sejak kebelakangan ini, beberapa pemimpin tertinggi PAS telah menjadi tokoh kesukaan media UMNO, khususnya Utusan Malaysia yang kini menjadi jurucakap kepada pimpinan PAS tersebut.

Beliau juga menjelaskan, keputusan Majlis Syura Ulamak PAS meluluskan resolusi Muktamar PAS untuk memutuskan hubungan dan kerjasama dengan DAP sudah tidak lagi menjadi berita kerana semua orang tahu kepimpinan baru PAS telah pun mematikan Pakatan Rakyat melalui ketetapan muktamar tersebut pada 3 Jun lalu.

“Keputusan Majlis Syura Ulamak PAS bukan lagi berita kerana ia telah menjadi basi berikutan perkembangan terbaru kepimpinan baru PAS di mana dua pemimpin utamanya kini dilihat sebagai pembela Najib di saat kepimpinan Perdana Menteri dipertikaikan, termasuk daripada kalangan UMNO sendiri kerana kegagalan Najib membuktikan diri tidak bersalah serta berintegriti apabila berdepan dengan skandal 1MDB,” katanya dalam satu majlis di sini semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berpendapat bahawa Pakatan Rakyat akan kekal hidup sekiranya mantan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat masih ada; kerana allahyarham adalah satu-satunya suara tegas membantah “kerajaan perpaduan – unity government (UG)” yang ditaja oleh konspirator UMNO.

Namun, beliau yakin, walaupun Pakatan sudah tiada lagi, usaha mewujudkan Malaysia yang lebih bersatu dan baik perlu dilaksanakan dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke-14 yang mungkin diadakan dalam masa 24 bulan lagi.

“Walaupun kepimpinan PAS baru yang diketuai Hadi telah melanggar Dasar Bersama Pakatan Rakyat (dan memutuskan hubungan dengan DAP), DAP akan tetap bekerjasama dengan parti-parti politik serta gerakan politik yang berpemikiran sama untuk mencapai matlamat asas Dasar Bersama tersebut,” tambah beliau. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-