Showing posts with label Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Show all posts
Showing posts with label Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Show all posts

Tuesday, August 8, 2017

Mahkamah London sahkan tiada bukti Najib korup

AIDCNEWS
Malaysian Digest – Sewaktu prosiding saman PAS terhadap Clare Rewcastle Brown di London, mahkamah mendapati tiada bukti untuk menyokong dakwaan pengendali blog Sarawak Report itu bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membayar rasuah RM90 juta kepada parti teraju Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mahkamah juga menolak hujah Clare meminta Hadi mendepositkan wang RM4.5 juta (£800,000) sebagai jaminan untuk membayar kos guaman sekiranya PAS kalah didalam prosiding saman berkenaan.

Ekoran itu, mahkamah bersetuju dengan peruntukan deposit keselamatan RM80,000 oleh Presiden PAS diatas dasar Clare gagal menunjukkan bukti bahawa badan kehakiman, kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri Malaysia mengamalkan rasuah dan bersekongkol dengan Abdul Hadi.

“Mahkamah London juga mendapati tuduhan serius itu tidak disokong bukti oleh Clare walaupun beliau mempunyai masa berbulan-bulan untuk berbuat demikian,” kata Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Mahkamah juga tidak menerima hujah Clare tanpa membawa bukti bahawa sebuah negara luar berdaulat yang mempunyai hubungan diplomatik baik dengan United Kingdom telah mengamalkan rasuah.”

Sehubungan itu kata Ahmad Samsuri, Clare diarahkan membayar dua pertiga daripada kos guaman Abdul Hadi iaitu £15,000 (RM84,000).

“Mahkamah London juga mengarahkan Clare untuk membuat pembelaan beliau dalam tempoh 21 hari supaya kes ini dapat diteruskan dan beliau tidak lagi berlarutan untuk berdolak dalih. Permohonan rayuan Clare terhadap keputusan itu juga telah tidak dbenarkan oleh Mahkamah London,” katanya.

Presiden PAS diwakili oleh peguam dari firma Carter Ruck dan Barrster Jacob Dewan.

Ahmad Samsuri melihat keputusan mahkamah sebagai perkembangan positif untuk membersihkan nama Presiden PAS daripada fitnah Sarawak Report.

“Presiden PAS juga sebenarnya dimaklumkan oleh firma Carter-Ruck bahawa Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London juga menghantar wakil dalam prosiding ini, dan telah memaklumkan bahawa kehadiran mereka adalah sebagai pemerhati prosiding kerana banyak tuduhan politik yang dibuat terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia serta Badan Kehakiman di Malaysia oleh Clare dalam dokumen beliau yang dikemukakan ke mahkamah,” tulis Ahmad Samsuri didalam satu kenyataan.

Sarawak Report yang dikendalikan oleh Clare sebelum ini menerbitkan artikel menuduh PAS menerima rasuah RM90 juta daripada Najib.

Ironinya atrikel itu diterbitkan sejurus PAS menolak pelawaan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bekerjasama.

Tuduhan Sarawak Report itu kemudian dicanang oleh pemimpin dan penyokong PKR, DAP serta Parti Amanah Negara (PAN) di media sosial bagi memburuk-burukkan PAS dan Najib.

Sunday, August 6, 2017

PAS: Mahkamah arah editor Sarawak Report bayar Hadi RM84,000

PAS menyifatkan parti itu memperoleh perkembangan positif dalam kes saman yang difailkan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Menurut Setiausaha Politik Abdul Hadi, Ahmad Samsuri Mokhtar, Rewcastle-Brown diperintahkan oleh mahkamah London untuk membayar presiden PAS itu sekurang-kurangnya GB£15,000 (hampir RM84,000).

Mahkamah pada 2 Ogos dilaporkan memihak kepada Hadi selepas editor Sarawak Report itu meminta deposit wang di mahkamah sebagai jaminan keselamatan, sekiranya presiden PAS itu kalah dalam kes berkenaan.

Ahmad Samsuri berkata mahkamah telah menolak hujah Rewcastle-Brown bahawa beliau akan gagal membawa kes saman terhadap Hadi di Malaysia kerana badan kehakiman, kerajaan Malaysia dan perdana menteri mengamalkan rasuah.

"Mahkamah juga tidak menerima hujahan Rewcastle-Brown tanpa membawa bukti, bahawa sebuah negara luar berdaulat yang mempunyai hubungan diplomatik yang baik dengan United Kingdom telah mengamalkan rasuah.

"Hasil dari hujah kosong dalam permohonan Rewcastle-Brown, mahkamah juga telah mengarahkan beliau membayar dua pertiga dari kos yang terlibat.

"Rewcastle-Brown mesti membayar £15,000 ( hampir RM84,000) terhadap kos prosiding oleh Tuan Guru Hadi Awang, di mana kuantum pembayarannya akan di pantau oleh mahkamah," kata Ahmad Samsuri dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook Abdul Hadi.

Setiausaha politik kepada presiden PAS itu berkata mahkamah telah menerima tawaran Abdul Hadi untuk membayar RM80,000 sebagai deposit keselamatan.

Selain itu, mahkamah juga mengarahkan Rewcastle-Brown mengemukakan pembelaan dalam tempoh 21 hari.

Permohonan rayuan Brown terhadap keputusan itu juga tidak dibenarkan oleh mahkamah, katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Rewcastle-Brown untuk mendapatkan maklum balas.

Sebelum ini Abdul Hadi menyaman Rewcastle-Brown atas dakwaan menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Tahun lalu, PAS meminta Rewcastle-Brown menarik semula artikel yang disiarkan di laman webnya dan mengeluarkan permohonan maaf.

Bagaimanapun, editor Sarawak Report itu enggan memohon maaf dan mengatakan dakwaan itu telah tersebar luas.

Sunday, July 23, 2017

Umat Islam perlu bersatu elak diratah kuasa asing, kata Hadi

Bernama
July 23, 2017

Hadi berkata pada masa ini umat Islam "diratah" di seluruh dunia terutamanya melibatkan penduduk di Palestin dan beberapa negara Asia Barat yang lain.
KOTA BHARU: Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengajak umat Islam seluruh dunia supaya bersatu bagi mempertahankan Islam daripada direndah-rendahkan pihak luar.

Beliau berkata pada masa ini umat Islam “diratah” di seluruh dunia terutamanya melibatkan penduduk di Palestin dan beberapa negara Asia Barat yang lain.

“Sekarang umat Islam diratah di seluruh dunia… umat Palestin; mereka adalah penduduk Baitulmaqdis, penjaga Baitulmaqdis. Sekiranya umat bersatu cahaya Islam tidak akan terpadam, ” katanya.

Abdul Hadi yang juga Presiden PAS berkata demikian ketika menyampaikan pidato pimpinan Islam sedunia semalam, sempena malam kemuncak Ijtima Antarabangsa Perpaduan Ummah Rantau Asia ke-4 yang diadakan selama 3 hari bermula Khamis lepas.

Turut hadir Mursyidul Am PAS Hashim Jasin, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Sementara itu, Tuan Ibrahim ketika membacakan resolusi 20 perkara yang dicapai pada ijtima itu, berkata ijtima antarabangsa itu mengecam sekeras-kerasnya tindakan terkutuk rejim Zionis dengan penutupan Masjid Al-Aqsa yang bertujuan untuk meroboh dan memusnahkannya.

Resolusi lain, beliau berkata menangani permasalahan dan isu umat Islam yang ditindas di negara-negara minoriti Muslim, mewujudkan permuafakatan antara negara minoriti dengan negara majoriti Muslim agar kekuatan Islam dapat digarap secara berkesan dan dapat menaungi umat Islam yang lemah.

Mempelopori usaha untuk mengharmonikan isu-isu khilafiyah di kalangan masyarakat supaya tidak memberi ruang kepada musuh untuk memecahbelahkan kesatuan umat Islam, katanya.

Sunday, April 30, 2017

Dalam tenang PAS diuji

N Faizal Ghazali
Sepanjang hari pertama Muktamar PAS ke-63 semalam, tidak banyak berita benar-benar hangat keluar melalui kenyataan pimpinan tertinggi parti itu.

Justeru, selain ucapan-ucapan perbahasan bersemangat perwakilan dan cuaca hangat dan terik, perjalanan perhimpunan tahunan parti itu berlangsung dengan tenang.

Kemudian datanglah ribut.

Tidak ada sesiapa menjangka selepas kehangatan cuaca tiba-tiba angin kencang pun datang menguji semangat anggota PAS dan keutuhan Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut.

Kejadian belaku sekitar waktu Maghrib semalam.

Kejadian yang meranapkan beberapa buah khemah peniaga di pekarangan ‎kompleks itu turut menyebabkan kecederaan melibatkan 17 mangsa.

‎Terdahulu, PAS melalui presidennya dilihat begitu tertib dan mengambil pendekatan berhemah serta ilmiah dalam penyampaian ucapan dasarnya pada majlis perasmian muktamar‎ berkenaan.

Tiada sebarang bidalan, perumpamaan atau peribahasa bersifat keras seperti sebelum ini digunakan dalam tutur bicara Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Perkara belum berlaku

Malah beliau sepatah pun tidak menyebut nama parti-parti politik lawan sama ada dipihak Umno atau Pakatan Harapan.

Anggota Parlimen Marang itu hanya menegaskan betapa PAS mahu terus memperkasakan blok ketiga atau dipanggil sebagai Gagasan Sejahtera bersama Parti Ikatan Malaysia (Ikatan) dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

Malah pada sidang media, Abdul Hadi menegaskan betapa ucapan dasarnya lebih berunsur akademik dan ilmiah.

Antara inti patinya menyentuh mengenai mewajipan menegakkan kerajaan yang adil dengan prinsip asas-asas Islam‎, keperluan memahami dan berpegang pada konsep takwa dalam bernegara, tafsiran salah tentang maqasid syariah, siyasah syariah dan fiqh awlawiyat dan Islam sebagai paksi kesejahteraan negara.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai nasib tahaluf siyasi antara PAS dan PKR yang menjadi usul Dewan Pemuda dan Muslimat, Abdul Hadi memilih untuk tidak memberi komen lanjut.

Tegasnya, Islam melarang‎ untuk bercakap mengenai suatu perkara yang belum berlaku.

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa hasrat PAS untuk menang di 40 kerusi ‎pada pilihan raya umum ke-14 adalah sasaran yang sederhana jika dibandingkan dengan kekuatan parti yang mempunyai 195 kawasan.

Tuesday, April 11, 2017

PAS arah peguam saman Nanyang

PAS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar Nanyang Siang Pau ekoran karikatur yang didakwa menghina presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu, parti itu telah melantik peguam dan turut mengarahkan agar tindakan undang-undang diambil segera.

"PAS tidak boleh berkompromi dalam perkara yang seumpama ini dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab.

"Untuk itu PAS telah pun melantik peguam dan mengarahkan agar tindakan undang-undang diambil dengan kadar segera," kata Takiyuddin dalam kenyataan.

Sunday, April 9, 2017

Nik Abduh puji Pandikar berani, cekal

Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz memuji dan mendoakan Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana "berani" dan "cekal" membenarkan usul presiden PAS dibentangkan di Dewan Rakyat pada Khamis lalu.

Kata Nik Abduh lagi, tindakan Pandikar menangguhkan sidang adalah kesilapan kecil berbanding ketepatan tindakan speaker Dewan Rakyat membenarkan usul persendirian Datuk Seri Abdul Hadi Awang dibentangkan.

"Semoga Allah memberi ganjaran tertinggi kepada Tan Sri Speaker Dewan Rakyat di atas ketulusan, keberanian dan kecekalannya berhadapan kesukaran membenarkan usul persendirian Marang dibentangkan.

Jika tindakan Tan Sri menangguhkan sidang 'dikira' sebagai satu kesilapan, ia hanyalah kurang 10 peratus berbanding 100 peratus ketepatan tindakannya membenarkan usul tersebut dibentangkan," katanya melalui kemas kini Facebook.

Usul rang undang-undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dibawa Abdul Hadi akhirnya dibentangkan di Dewan Rakyat selepas ditangguhkan dua kali sebelum ini.

Melalui usul itu Abdul Hadi mencadangkan had maksimum hukuman kesalahan jenayah ditingkatkan kepada denda RM100,000, penjara 30 tahun dan sebatan rotan 100 kali.

Lupakan kesakitan

Sesetengah pengkritik menganggap usul itu sebagai pembuka jalan kepada pelaksanaan hukuman hudud di negara ini tetapi Abdul Hadi sendiri menegaskan sebaliknya.

Usul Abdul Hadi itu disokong Anggota Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan, yang berucap panjang - termasuk kerana menjawab beberapa pertanyaan wakil rakyat yang berada di situ - sebelum Pandikar menangguhkan sidang.

Tindakan itu menyebabkan usul Abdul Hadi tidak boleh dibahaskan. Ia menimbulkan rasa tidak puas hati hampir semua pembangkang.

Kata Nik Abduh, kemarahan anggota parlimen terbabit sebenarnya bukanlah kerana keputusan Pandikar menangguhkan sidang, sebaliknya kerana speaker terbabit membenarkan usul itu dibentang Abdull Hadi.

"Dengannya, mereka gagal memenangkan tuduhan mereka bahawa PAS ditipu Umno. Hukum tuhan, orang menipu akhirnya mendapati merekalah yang menipu diri sendiri.

"Bersandarlah pada Allah. Dialah pemilik makar dan tipu daya," katanya lagi.

Nik Abduh juga menasihati orang ramai supaya bersabar dan tetap istiqamah kerana dengan itu Allah akan mengurniakan "kegembiraan satu demi satu".

"Lupakan kesakitan. Ketenangan akan sentiasa menemani perjuangan di jalan-Nya. Hujungnya akan sentiasa menjadi milik orang-orang yang bertaqwa," katanya.

Friday, April 7, 2017

DAP tak suka kepada orang Melayu - Ketua Dewan Ulama PAS

PAS mendakwa DAP yang diketuai oleh Penasihatnya, Lim kit Siang tidak pernah suka kepada orang Melayu dan Islam serta selama-lamanya akan bersikap seperti itu walaupun parti tersebut tidak membuat pengakuan terbuka.

Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr.Mahfodz Mohamed berkata, atas prinsip itulah DAP akan mengatur pelbagai strategi demi memecahbelahkan Melayu dan Islam serta tidak akan membenarkan mana-mana parti yang dikuasai kaum majoriti rakyat negara ini mengatasi kekuasaannya dalam apa jua perkara.

Beliau menjelaskan, perkara itu jelas terbukti ketika PAS bersama DAP dalam Pakatan Rakyat apabila parti itu hanya mempergunakan PAS demi kepentingan politiknya untuk memenangi pilihan raya.

“Ketika PAS bergabung dalam Pakatan Rakyat bersama DAP, pada mulanya parti itu hormat segala dasar PAS dan bersikap bersetuju untuk tidak bersetuju berhubung agenda untuk memperkasakan mahkamah syariah, tetapi DAP bertindak sebaliknya selepas dia berjaya memegang Pulau Pinang dan mula mempertikaikan dasar PAS termasuk mencampuri kepemimpinan parti.

“Mereka telah menghasut ahli-ahli PAS supaya tidak memilih Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan akhirnya DAP berjaya memecahbelahkan PAS sehingga mereka yang pro-DAP menubuhkan parti baru dan mereka yang meninggalkan PAS itu kini boleh diarahkan untuk mengikut telunjuk DAP,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Kelmarin, Naib Ketua Pemuda UMNO, Senator Khairul Azwan Harun berpandangan, tindakan Lim Kit Siang ‘memberi laluan’ kepada pemimpin Melayu mengisi jawatan Pengerusi Pakatan Harapan yang diketuai DAP merupakan strategi beliau untuk terus memecahbelahkan kaum majoriti itu demi kepentingan politiknya.

Khairul Azwan berkata, Penasihat DAP itu hanya menggunakan pemimpin pembangkang Melayu sebagai subjek utama untuk beliau mencapai matlamat melemahkan perpaduan orang Melayu.

Dalam pada itu, Mahfodz berkata, beliau percaya sikap tidak hormat DAP terhadap rakan sekutu parti akan tetap berlaku dalam gabungan baharu parti itu dalam Pakatan Harapan yang tetap diketuai DAP ketika ini.

“PASpernah ditendang dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak kerana menganggap PAS menjadi ancaman kepada DAP, jadi kita tunggu sahaja pada pilihan raya umum akan datang apa nasib parti-parti Melayu yang menganggotai Pakatan Harapan diketuai DAP itu,” katanya.

Sunday, February 26, 2017

PAS berjiwa besar jika buat pusingan U terima Amanah, DAP

 ARIF ATAN
Mahfuz Omar
Bimbang dengan penolakan rakyat terhadap Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sekiranya masih mahu bersendirian, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menyeru kepimpinan partinya segera berubah.

Menurutnya, Pas dilihat berjiwa besar jika melakukan pusingan U dengan menghentikan permusuhan terhadap Amanah dan DAP sebaliknya parti yang dikepalai Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu akan menerima padah jika gagal berbuat demikian.

"Kalau Pas buat 'U-turn' terima Amanah, terima DAP, orang akan lihat inilah pengorbanan yang dilakukan oleh Pas. Itulah berjiwa besar. Jika tidak dilakukan, rakyat akan menolak Pas pada pilihan raya umum akan datang," tegasnya pada ceramah perdana anjuran Amanah Pokok Sena semalam.

Mengulas panggilan yang digunakan Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib baru-baru ini kepada golongan wakil rakyat 'kencing tikus' yang tidak menyuarakan masalah rakyat di Parlimen, beliau khuatir pengundi juga mempunyai persepsi sedemikian.

"Saya cukup terkejut apabila seorang pensyarah UUM tolak mana-mana wakil rakyat atau pemimpin politik yang 'kencing tikus', tolak yang tidak bersuara. Saya bimbang ini yang sedang dilihat. Saya bimbang (tanggapan) ini ada dalam pemikiran pengundi," ujar bekas Ketua Whip Pas di Dewan Rakyat itu.

Beliau pada masa sama turut menghargai usaha Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam 'memujuk' Pas untuk tidak bersendirian mendepani Umno-BN pada PRU-14 nanti.

"Saya ucap terima kasih kepada Mukhriz yang masih lagi mengharap iaitu sedia untuk terus berbincang (dengan Pas). Kita nak supaya semua parti bergabung dalam pakatan pembangkang yang kuat pada pilihan raya umum akan datang.

"Saya bukan Allah untuk menentukan kalah menang tetapi dalam politik ini, dalam Pas sendiri dididik untuk cula, mana boleh menang itu yang Pas akan bertanding.

"Tengah-tengah Georgetown, mana pernah Pas bertanding. Bukan kita tidak yakin tapi perkiraan politik dengan akal yang dikurniakan Allah tak munasabah, tak masuk akal untuk bertanding di tengah-tengah Georgetown," ujarnya diikuti ketawa oleh hadirin yang juga termasuk penyokong Bersatu.

Mahfuz adalah antara Ahli Parlimen Pas yang dikenali paling menonjol berhujah di Parlimen berbanding baki 13 wakil rakyat parti itu yang dilihat pasif untuk mengambil bahagian dalam perbahasan termasuk ponteng untuk hadir ke Dewan Rakyat.

Keputusan PRU-13 menyaksikan Pas mulanya mempunyai 21 Ahli Parlimen tetapi akibat kegagalan pengurusan konflik dalaman parti, enam daripadanya menyertai Amanah manakala seorang lagi Ahli Parlimen Pas dari Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar memilih PKR pada 2015.

Saturday, January 28, 2017

Tun M harus jumpa Hadi jika serius mahu kerjasama

SITI FATIHAH AWANG
28 JANUARI 2017
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad

KOTA BHARU - Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad, seharusnya berjumpa sendiri dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, 2 Februari ini, jika benar parti itu serius mahu jalinkan kerjasama politik dengan Pas.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, apabila Bersatu hanya diwakili oleh Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, persepsi yang timbul ialah Bersatu tidak benar-benar serius untuk kerjasama tersebut.

“Dalam ucapannya di Hotel De Palma Ampang pada 21 Januari lalu, Mahathir menyatakan kesal kerana Pas menghantar pemimpin bawahan seperti Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Mustafa Ali dalam rundingan kerjasama politik dengan mereka menyebabkan persetujuan tidak dapat dicapai.

“Pelik jika Mahathir tidak tahu bahawa Presiden dan Timbalan Presiden Bersatu sendiri tidak mempunyai kuasa untuk buat keputusan berbanding dirinya sendiri selaku Pengerusi Bersatu, tetapi bila beliau sendiri tidak turun berunding tentulah tidak wajar Presiden Pas untuk turun sama,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Kamarul Zaman diminta mengulas kenyataan Mahathir selepas berlangsungnya mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di Putrajaya semalam bahawa kerjasama Bersatu dan Pas akan dimuktamadkan dalam satu rundingan antara pemimpin kedua-dua parti politik tersebut pada 2 Februari depan.

Menurutnya, perlembagaan Bersatu memperuntukkan dengan jelas kuasa luas Mahathir selaku Pengerusi di mana badan eksekutif tertinggi Bersatu ialah MPT dan pemimpin yang berkuasa memanggil dan mempengerusikan mesyuaratnya ialah Pengerusi Bersatu.

Ulas Kamarul Zaman lagi, di bawah MPT tersebut barulah wujudnya Majlis Presiden (MP) selaku badan eksekutif yang diberi peranan membantu MPT melaksanakan semua tanggungjawabnya dan melaporkan kepada MPT mengenai hal ehwal pengurusan dan pentadbiran parti, di mana MP itu diketuai oleh Presiden Bersatu.

“Berdasarkan kepada kandungan Perlembagaan Bersatu maka jelas bahawa kuasa sebenar (de facto power) dalam parti itu dipunyai oleh Mahathir selaku Pengerusi Parti bukannya oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin selaku Presiden Parti.

“Walaupun yang terlibat dalam rundingan kerjasama politik Bersatu dan Pas ialah Presiden dan Timbalan Presiden Bersatu, yang berkuasa membuat keputusan mengenainya ialah MPT yang diketuai oleh Mahathir,” katanya.

Kamarul yang juga Felo Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) turut berkata, kuasa luas Mahathir disebut jelas dalam perlembagaannya, di mana beliau diberi tanggungjawab penuh untuk menjamin kelicinan keseluruhan perjalanan pentadbiran dan dasar parti selain kuasa mempersetujui lantikan pemimpin yang dibuat oleh Presiden Bersatu.

“Pemimpin Bersatu yang terlibat dalam rundingan dengan Pas sebelum ini tidak berkuasa buat keputusan mengenainya dan jika Mahathir mahu rundingan diselesaikan dengan cepat beliau sendiri sepatutnya turun berjumpa pemimpin Pas seperti beliau berjumpa pemimpin DAP,” katanya.

Thursday, January 26, 2017

Azmin Ali : PAS parti kukubesi, lupakan PAS parti sombong

Azmin Ali dilaporkan lebih memilih PPBM berbanding dengan PAS dalam isu kerjasama dengan Pakatan Harapan.

Menurut portal Malaysiakini, Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR turut melabel PAS sebagai tidak demokratik dan mengamalkan kepimpinan “kuku besi”.
“Obama pun pernah katakan proses demokrasi adalah satu proses yang riuh. Ada yang setuju ada yang tak setuju. Tapi itu demokrasi.

“Tetapi kalau paksa kamu kena ikut cara aku, rentak aku itu bukan demokrasi, tetapi itu kuku besi,” tegas Azmin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada ada PKR masih mahu bekerjasama selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang telah ‘menasihati’ mana-mana pihak yang berhasrat untuk bekerjasama dengan parti Islam itu perlu mengikut rentak PAS.

Dalam masa sama, Azmin turut memaklumkan bahawa beliau bertemu dengan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi membincangkan strategi pembangkang untuk PRU 14.

“Kita tidak tahu tarikh pilihan raya, strategi tidak boleh beritahu media ini..ini strategi. Kalau saya boleh umum (pilihan raya) saya setuju,” katanya ketika ditanya apa topik perbincangannya dengan wakil PPBM.

Walaupun, berita Azmin mengkritik PAS dan Abdul Hadi sebagai ‘kuku besi’ sudah menjadi tular di media sosial sejak semalam, namun tiada pembetulan dilakukan oleh pihak Azmin sehingga ke hari ini.

Ini seolah-olah mengesahkan bahawa Azmin memang berniat untuk menghina Abdul Hadi dan PAS dan bersedia untuk menolak parti Islam itu dalam PRU 14.

Monday, November 28, 2016

'Pas sekarang lebih kemas berbanding dulu'

ARIF ATAN
Ustaz Hashim Jasin

Dilihat optimis dengan kedudukan partinya pada masa ini, Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin mendakwa parti tersebut semakin mendapat sambutan termasuk daripada golongan profesional.

“Pas sekarang lebih kemas berbanding dulu. Banyak berlaku apa yang saya sendiri tidak sangka. Contohnya, dalam perjumpaan yang kita buat, penganjur pun hairan sebab terlalu ramai, melebihi jangkaan.

“Itu tanda-tanda bahawa kita semakin mendapat sambutan akar umbi. Golongan profesional pun semakin ramai mendekati Pas,” ujarnya dipetik daripada wawancara yang dimuatkan dalam akhbar Sinar Harian hari ini.

Mengulas tuntutan banyak pihak supaya Najib Razak meletakkan jawatan, beliau menganggap usaha itu tidak bermakna sebaliknya lebih baik ia dilakukan melalui pilihan raya.

“Saya nak tanya, katakanlah kempen mereka berjaya, selepas Najib jatuh, apa akan jadi? Bolehkah kita pastikan bahawa tidak akan ada masalah lagi jika Najib dijatuhkan?

“Pada pandangan saya, kalau sistem yang sama masih dipakai, samalah juga. Dengan itu, jatuhnya Najib tidak ada makna pun untuk kita. Lebih baik kita biar dan lawan dia dalam pilihan raya,” ujarnya yang dipilih sebagai Mursyidul Am Pas pada Oktober lalu bagi menggantikan Allahyarham Datuk Dr Haron Din.

Menurut Hashim yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Perlis, keutamaan parti itu adalah menentang kezaliman sekalipun dilakukan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Kalau setakat Najib, nanti Najib jatuh, apa pula? Tetapi kalau kezaliman yang kita tentang, tidak kira siapa. Kalau Najib, Najiblah kita tentang, malah kalau Tok Guru Haji Hadi pun, katakanlah dia zalim, kita akan tentang juga.

“Dalam menentang kezaliman, tidak bolehlah kita benarkan setelah jatuhnya sesuatu kezaliman, nanti naik kezaliman yang lain pula. Itu yang kita tak mahu berlaku. Saya percaya dalam hal ini, tidak timbul masalah bercanggah dengan kehendak rakyat,” tegasnya lagi.

Wednesday, October 26, 2016

Usul pindaan RUU355 tidak muncul, adakah Hadi Awang sudah dipermainkan Perdana Menteri?

KUALA LUMPUR, 26 OKT:   Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen hari ni mempersoalkan sama ada Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah diperalat Perdana Menteri Najib Razak melibatkan ususl pindaan RUU355.

“Boleh kita tau, adakah (ada) udang di sebalik batu atau persetujuan sulit antara Marang dan Pekan (Perdana Menteri Najib Razak) supaya usul ini dinaikkan dan memecahbelahkan pembangkang supaya UMNO boleh terus tadbir negara ini?” soalnya mencelah perbahasan Abdul Hadi di Dewan Rakyat tengah hari tadi.

Beliau menzahirkan rasa hairan kerana Presiden PAS itu seolah-olah merelakan diri diperalat oleh Najib Razak apabila usul tersebut dimasukkan dalam aturan urusan mesyuarat untuk dibahas, namun tidak muncul-muncul.

“Adakah Marang sedar bahawa tindakan itu telah memecahkan perpaduan pembangkang dan juga musnahkan harapan rakyat yang hendak menyelamatkan negara ini daripada genggaman UMNO?

“Ia juga telah menggugat asas pembentukan Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya sambil menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan perlulah didaulatkan kerana ia merupakan asas persetujuan Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Malaysia.

“Saya juga nak tanya Marang adakah YB sedar walaupun sekarang usul (itu) telah diturunkan walaupun ia telah dinaikkan sebelum ini, Ahli-Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak takkan sokong kerana ia melanggar terma persetujuan membentuk Malaysia,” kata Pengerusi DAP Sarawak itu.

Hadi kemudian berkata naik turun usul persendiriannya itu merupakan urusan Speaker.

“Bukan urusan saya. Saya kemukakan usul, terpulang pada mereka nak letak nombor satu, tujuh, 40.

“Ada udang ke, ikan ke, buaya, saya tak tahu. Ini terpulang,” kata Presiden PAS itu.

 – Roketkini.com

Wednesday, October 19, 2016

Giliran usul tidak ditolak ke bawah

WARTAWAN SINAR HARIAN-
19 OKTOBER 2016:
SHAH ALAM - Pas menafikan giliran usul pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Akta 355 yang akan dibentangkan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ditolak ke bawah.

Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen Pas, Syed Ahmad Fadhli berkata, Buku Peraturan Mesyuarat Dewan perlu dirujuk bagi memahami proses perjalanan mesyuarat sidang Dewan Rakyat.

“Menerusi buku tersebut ada dinyatakan dalam perkara 15(1) pada tiap-tiap hari persidangan mesyuarat, urusan kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain.

“Hari ini (semalam), RUU kerajaan yang dibaca semalam (kelmarin) telah disenarai sebagai bacaan kali kedua dan disebabkan itu, giliran usul Ahli Parlimen Marang dianjak dari nombor empat ke tujuh,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, persoalan bilakah usul RUU 355 akan dibahaskan bergantung kepada pihak kerajaan yang memiliki kuasa melalui eksekutif untuk menentukan tarikh yang sesuai menerusi Peraturan Mesyuarat 14(2).

“Jumaat ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membentangkan Bajet 2017 yang mana bermula Isnin depan sehingga 22 November, adalah tempoh perbahasan bajet bagi peringkat dasar dan jawatankuasa.

“Kemungkinan RUU 355 ini boleh dibentangkan sama ada hari yang berbaki sebelum pembentangan Bajet 2017 atau pada penghujung sidang nanti,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan sesetengah pihak yang berusaha gigih untuk menghalang pembentangan RUU 355 oleh Abdul Hadi.

“Apa yang sedang diusahakan oleh beliau (Abdul Hadi) adalah selari dengan peruntukan Perlembagaan Malaysia dan tidak juga bercanggah dengan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan beliau membawa usul tersebut ke institusi Parlimen untuk dibahaskan dan dibuat pengundian. Mengapa perlu takut dan gelabah sangat?

“Pada 1984, Akta 355 ini pernah dipinda bagi menambah bidang kuasanya.

"Setelah 32 tahun, beliau memanfaatkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Marang mencadangkan Akta 355 ini diperluaskan bidang kuasanya agar Mahkamah Syariah yang sudah sedia ada dapat dimartabatkan kedudukannya selari dengan Artikel 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai dalam mana-mana Bahagian Persekutuan,” katanya.

Tuesday, October 18, 2016

Letak jawatan kerana hudud? Tunggulah, kata Subra

Alyaa Azhar  -
Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung kemungkinan beliau akan meletak jawatan jika rang undang-undang persendirian Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi meminda Akta 355 dibentangkang.

Ditanya mengenai sikapnya untuk meletak jawatan Subramaniam berkata: "Itu you tunggulah."

Menteri kesihatan itu ditemui di Shah Alam hari ini. Beliau diminta mengulas cubaan presiden PAS membawa usul persendirian bagi meminda Akta 355 atau juga dikenali sebagai Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

PAS menegaskan anggota parlimen beragama Islam perlu menyokong usul berkenaan walaupun Abdul Hadi sendiri menegaskan ia bukanlah hudud.
Subramaniam sebelum itu menghadiri majlis Anugerah Kantin Bersih, Selamat dan Sihat.

Pada sidang media beliau berkata pendirian MIC berhubung isu itu sudah dinyatakan sebelum ini.

Ditanya pendirian parti itu sekarang Subramaniam berkata mereka sudah membincangkannya dengan parti lain yang menjadi komponen BN.

Katanya "satu langkah" untuk menangani isu berkenaan sudah dipersetujui.

"Justeru kita akan ikut apa yang kita sudah persetujui," katanya.

Subramaniam adalah seorang daripada pemimpin parti dalam BN yang menegaskan akan meletak jawatan jika kabinet menerima pindaan berkenaan yang dilihat membuka jalan kepada pelaksanaan hudud.

Menyertai pendirian itu ialah Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, timbalannya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong.

Malah MCA pada 16 Oktober dilaporkan berkata parti tu akan memastikan rang undang-undang persendirian Abdul Hadi tidak akan dibahaskan di parlimen walaupun disenaraikan sebagai perkara keempat dalam kertas aturan mesyuarat.

Usul Abdul Hadi diletakkan pada susunan keempat pada hari pertama sidang parlimen semalam.

Bagaimanapun selepas tidak sempat dibentangkan ia berada pada kedudukan ketujuh hari ini.

Bagaimanapun ia tidak semestinya diketepikan begitu saja. Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said - dengan perintah Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi - pernah mencadangkan usul berkenaan di bawa untuk dibentangkan di parlimen.

Bagaimanapun Abdul Hadi meminta ia ditangguhkan ke sidang berikutnya.

Wednesday, September 14, 2016

Pas mungkin setuju bergabung dapatkan kerusi Parlimen

OLEH HAMDAN OTHMAN
Abdul Hadi Awang
Betul atau tidak, Pas akan bersetuju bergabung dengan parti pembangkang lain pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 demi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sumber dalaman Pas memberitahu, parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu bersetuju untuk bergabung hanya untuk kerusi Parlimen sahaja sementara kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masih lagi dalam rundingan tidak rasmi.

"Matlamat semua pembangkang adalah untuk menukar kerajaan BN dan untuk mencapai matlamat tersebut, pembangkang mestilah memenangi semua kerusi Parlimen.

"Jika perancangan berjalan lancar, maka semua kerusi parlimen yang dipertandingkan di seluruh negara akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara BN dan mana-mana parti pembangkang.

"Kalau tak buat begitu, maka susahlah pembangkang hendak jatuhkan kerajaan BN dan sampai bila pun tidak akan berjaya jika berlaku pertandingan tiga penjuru," katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Jelasnya, walaupun tidak diumumkan secara rasmi, tetapi percaturan itu dilihat sangat berkesan dan pasti akan memberi tekanan kepada kerajaan BN.

"Pengalaman Pilihan Raya Negeri Sarawak dan Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar sudah cukup menjadi pengajaran kepada parti-parti pembangkang.

"Melalui persetujuan ini, kedudukan parti pembangkang akan lebih kuat dan memudahkan rakyat untuk membuat pilihan," ujarnya.

Mengenai pembahagian kerusi, katanya, Pas akan tetap mempertahankan kerusi sedia ada manakala pembangkang lain akan membuat pembahagian mengikut persetujuan bersama.

"Pada dasarnya, Pas bersetuju untuk bergabung dan yakin cara itu yang terbaik untuk menewaskan BN nanti pada PRU ke-14.

"Kerusi DUN pula, kemungkinan syarat yang dikenakan Pas adalah pembangkang lain tidak boleh bertanding di Kelantan kerana mahukan negeri itu terus kekal di bawah pemerintahan Pas.

"Begitu juga dengan Pulau Pinang dan Selangor yang akan dikekalkan seperti mana hari ini," katanya.

Tambahnya, apa yang penting adalah persetujuan Pas bergabung dengan parti pembangkang lain untuk bertanding satu lawan satu dengan BN pada PRU ke-14 nanti.

 - MalaysiaGazette

Tuesday, August 30, 2016

Husam kini AMANAH

Anne Muhammad
Bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa sah menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) selepas mengumumkannya di sebuah majlis makan malam di Cyberjaya sebentar tadi.

"Saya berdiri di sini dengan nama Allah, bertawakal, saya serahkan diri pada perjuangan AMANAH," katanya.

Husam berkata ramai orang yang ditemuinya menyarankannya menyertai AMANAH, termasuk individu yang ditemui di dalam teksi, pasar atau lapangan terbang.

Dalam ucapannya Husam yang pernah dilihat sebagai pemimpin pelapis di Kelantan selepas Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata ada pihak yang membandingkan kepimpinan PAS dan AMANAH.

Bagaimanapun kata Husam, dalam kepimpinan merit utama bukanlah tinggi rendah ilmu agama mereka sebaliknya kepintaran bacaan politik serta komitmen, pengorbanan dan "suluhan perjuangan" masing-masing.

"Mohamad Sabu (presiden AMANAH) pernah masuk penjara. Adakah orang seperti ini tak ada langsung nilai kepimpinan sehingga yang kita besarkan adalah kelulusan agama padahal merit pada kelulusan itu tak ada," katanya.

Selepas selesai menyampaikan ucapan Husam menyerahkan borang keahliannya kepada Mohamad.

Kemunculan di atas pentas AMANAH malam ini bukanlah kali pertama buat Husam.

Pada Januari 2015 lalu beliau pernah berucap dalam majlis makan malam AMANAH di Petaling Jaya.

Husam dipecat daripada PAS pada 6 Mei lalu selepas sering mengkritik kepimpinan parti, termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaacob yang juga timbalan mursyidul am parti berkenaan.

Selepas empat bulan 'berlayar' tanpa arah yang jelas, Husam kini menyarung 'jersi' baru kerana berpendapat “berjuang bersendirian ternyata bukan suatu pilihan” untuk bekas mahasiswa Universiti Malaya itu.

Husam antara sekumpulan besar kumpulan sederhana yang disingkirkan perwakilan dalam pemilihan PAS di Kuala Selangor pada 2015.

[Berita lanjut menyusul]

Thursday, July 14, 2016

'Hadi pasti tolak cadangan damai Tuan Ibrahim'

Mohamad Fadli

Cadangan itu bukanlah pendirian rasmi PAS.
PETALING JAYA: Cadangan “gencatan serangan” di antara parti pembangkang seperti diutarakan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man semalam akan ditolak Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kata seorang ahli Majlis Tertinggi Umno.

Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata cadangan itu bukan pendirian rasmi PAS dan pasti akan ditolak oleh presidennya.

“Saya tak lihat itu pendirian rasmi PAS. Itu pendirian timbalan presiden (Tuan Ibrahim) saja dan pendirian itu sukar untuk menjadi pendirian rasmi parti.

“Saya percaya tidak ada komen daripada pemimpin lain yang PAS tidak akan bersetuju sebab sejarah pun banyak membuktikan pandangan timbalan presiden ditolak oleh presiden,” katanya kepada wartawan di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru parti pembangkang berdamai dan menumpukan kepada usaha menumbangkan Barisan Nasional (BN).

“Rakyat ramai keliru dan ada yang ketawa sendirian dan ada yang menggeleng kepala melihat keadaan politik pembangkang hari ini.

“Semua tersekat di dalam lumpur. Nak ke depan tak jelas jalan mana. Nak undur ke belakang rasa nak ke hadapan. Nak kekal tak jadi sebab dah tahu pasti tenggelam,” katanya.

PAS bukan sebahagian Pakatan Harapan, gabungan antara PKR, DAP dan Amanah yang menggantikan Pakatan Rakyat selepas terkubur pada Jun tahun lalu.

Pakatan Harapan diwakili Amanah juga baru-baru ini berdepan dengan calon PAS pada pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Shamsul berkata cadangan itu bukanlah penyelesaian terbaik menyatupadukan pembangkang.

Katanya, terlalu banyak perbezaan di kalangan pembangkang yang menyukarkan mereka untuk mencapai kata sepakat.

“Saya tak lihat itu sebagai jalan penyelesaian dan perkara itu saya tak lihat dapat menyatupadukan mereka kerana terlalu besar perbezaan pakatan ini.

“Tidak ada satu titik pertemuan sebenarnya kerana matlamat yang tak sama dan perbezaan ini menyukarkan mereka dalam kesepakatan itu,” katanya.

Wednesday, June 22, 2016

'PAS tak mungkin semeja lagi dengan DAP, AMANAH'

Bernama
PAS tidak mungkin akan kembali duduk semeja dan mengadakan kerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) dalam Pakatan Harapan kerana sudah serik dengan pengalaman lalu.

Naib Presiden PAS yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata setakat ini parti itu berpendirian untuk tidak mengadakan sebarang kerjasama dengan DAP dan AMAnAH kerana sedang memberi tumpuan untuk memperkasakan blok ketiga pembangkang.

"Kita sudah bekerjasama dengan DAP dan kita ada pengalaman dengannya. Jadi mungkin sukar untuk kita ulangi kerjasama itu. Pendirian kami setakat ini, kami tak kan bincang dengan AMANAH dan DAP.

"Dengan PKR (Parti Keadilan Rakyat) setakat ini kita masih ada hubungan, masih tidak putus.

"Kita dalam usaha untuk mengukuhkan blok ketiga (dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia). Cuma mungkin ambil masa sedikit," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama pengamal media di Kota Bharu malam tadi.

Beliau diminta mengulas saranan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga menteri besar Selangor agar PAS kembali bersatu sebagai satu pasukan di bawah Pakatan Harapan bagi menghadapi BN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar meminta kerajaan persekutuan agar memainkan peranan dalam menjelaskan mengenai Rang Undang-undang Persendirian berkaitan Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.

Rang Undang-undang itu dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada 26 Mei lepas.

"Dalam tempoh empat bulan ini (sebelum Dewan Rakyat kembali bersidang pada Oktober), kita minta supaya kerajaan persekutuan menggunakan kuasa yang ada padanya temasuk media massa untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat tentang apa yang diusahakan ini.

"Kalau kerajaan persekutuan memainkan peranannya dengan sistematik dan bersungguh-sungguh, saya rasa mungkin lepas empat bulan ini semua orang akan sokong rang undang-undang ini, tak ada yang akan lawan," katanya.

- Bernama

Tuesday, June 7, 2016

PAS bukan parti yang senang ditonggang terbalik - Hadi

Alyaa Alhadjri
Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini secara berseloroh berkata, logo parti itu yakni 'bulan' menunjukkan bahawa PAS adalah satu-satunya parti politik di Malaysia yang tidak mudah ditonggang terbalikkan.

Oleh itu, rakyat di kerusi Parlimen Sungai Besar perlu memberi sokongan yang padu kepada calon PAS, Dr Abdul Rani Osman, gesa presiden parti Islam itu.

"Anda pusing 'dacing' ia boleh tonggang terbalik. Segi tiga Amanah juga boleh pusing-pusing.

"Tetapi bulan itu bulat dan anda tidak boleh pusing-pusing atas bawah," kata Hadi semasa majlis yang dianjurkan oleh sayap penyokong bukan Islam PAS di dewan komuniti Bagan Sungai Besar, Sungai Besar.

Dalam ucapannya, Hadi juga berusaha untuk meyakinkan kira-kira 300 orang yang hadir mengenai Rang Undang-undang (RUU) persendirian beliau untuk meminda Akta 355 yang tidak akan memberi kesan kepada bukan Islam dalam apa jua cara .

Beliau turut menegaskan bahawa di Malaysia, sentiasa wujud dua set undang-undang untuk menampung keperluan orang Islam dan bukan Islam di negara ini.

"Sebagai contoh , apabila melibatkan hal perkahwinan , anda tidak boleh mempunyai hanya satu set undang-undang sahaja.

"Setiap agama akan berkahwin dengan cara berbeza," katanya, sambil menambah bahawa satu set undang-undang diperlukan untuk perkara-perkara lain, contohnya memandu.

[Baca berita penuh]

Wednesday, January 6, 2016

Selepas taklimat khas, PAS mahu jelajah seluruh negara

PAS akan membuat siri jelajah bagi memberi penerangan kepada ahlinya di seluruh negara selepas program taklimat khas oleh Presiden parti Islam itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Sabtu ini.

Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan (Foto) berkata, ia bertujuan bagi memberi penerangan tentang isu-isu semasa oleh presiden parti kepada akar umbi parti tersebut.
"Lajnah Penerangan PAS telah diamanahkan untuk mengendalikan majlis taklimat khas presiden PAS dan ia diadakan sebagai aktiviti rutin PAS selain konvensyen, muktamar, mesyuarat bulanan dan sebagainya untuk memberi pengarahan semasa dan pencerahan kepada pimpinan serta ahlinya terhadap sesuatu isu besar yang dihadapi.

"Insha Allah, Lajnah Penerangan akan turun ke seluruh negara sekali lagi untuk turun beri pengarahan, amanah dan pencerahan isu oleh presiden ke negeri-negeri selepas selesai taklimat khas presiden peringkat pusat," katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Selain itu, beliau juga mengingatkan kepada semua ahli PAS supaya jangan mudah terpedaya dengan persepsi yang disebarkan pihak tertentu tetapi sebaliknya merujuk kepada sumber parti dengan menghadiri taklimat yang akan diadakan.

Sebelum ini media melaporkan PAS akan mengadakan satu taklimat khas bersama Hadi.

Bagaimanapun, lokasi dan waktu taklimat itu tidak didedahkan.

PAS pula telah menyatakan pendiriannya tidak akan menyertai BN tetapi akan meneruskan kerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan agama Islam.

Keputusan itu dibuat oleh Majlis Syura Ulamak Pas dalam mesyuarat Sabtu lalu di tengah-tengah kontroversi kerjasama antara Umno dan PAS.

"Majlis Syura Ulamak juga menegaskan bahawa PAS tidak akan menyertai Barisan Nasional," kata Setiausahanya, Dr Nik Mohd Zawawi Salleh.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-