Tuesday, July 21, 2015

WSJ masih membisu jawab isu 1MDB, kata peguam Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak boleh saman The Wall Street Journal jika akhbar itu tidak mengesahkan pendirian brehubung artikelnya mengenai perdana menteri dan 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insider.

Tempoh The Wall Street Journal (WSJ) mengesahkan pendiriannya mengenai artikel Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyeleweng hampir AS$700 juta (RM2.67 bilion) wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berakhir hari ini, tetapi akhbar Amerika Syarikat itu masih tidak memberikan sebarang respons, kata peguam Wan Azmir Wan Majid.

Mewakili firma Tetuan Hafarizam & Aisha Mubarak, beliau berkata, sehingga semalam pihaknya belum menerima sebarang respons daripada penerbit WSJ, Dow Jones.

"Sekiranya pihak kami tidak menerima sebarang jawapan sehingga hari ini, maka Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempunyai beberapa pilihan undang-undang.

"Antaranya mengemukakan saman atau mengeluarkan surat tuntutan kepada WSJ," katanya dipetik akhbar Berita Harian, hari ini.

Najib pada 8 Julai lalu menghantar surat pengesahan dan memberi tempoh 14 hari kepada Dow Jones mengesahkan pendirian mereka berhubung dakwaan yang disiarkan dalam 2 artikel mengenai Najib dan penyelewengan 1MDB.

Artikel itu merujuk kepada laporan "Malaysia leader's accounts probed" yang disiarkan pada 2 Julai lalu dan "Scandal in Malaysia" pada 6 Julai lalu.

Wan Azmir dilaporkan berkata, tindakan berdiam diri WSJ itu memberi tanggapan akhbar itu mengaku bersalah dan pihaknya menunggu arahan lanjut daripada Najib mengenai tindakan yang sesuai diambil terhadap artikel tersebut.

"Keengganan Dow Jones memberi sebarang jawapan mahupun penjelasan terhadap dakwaan itu boleh diterjemahkan sebagai pengakuan bersalah," katanya.

Bagaimanapun katanya, terlalu awal untuk mengetahui tindakan yang akan diambil Najib.

WSJ dalam laporannya memetik dokumen siasatan ke atas syarikat 1MDB oleh pihak berkuasa Malaysia yang menunjukkan berbilion ringgit dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib pada 2013.

Akhbar itu turut mengakui memiliki dokumen menunjukkan AS$700 juta (RM2.67 bilion) dipindahkan ke agensi kerajaan, bank dan entiti berkaitan 1MDB dan akhirnya ke akaun peribadi perdana menteri dalam 5 deposit berasingan.

Najib dalam kenyataannya menganggap ia kempen sabotaj politik menjatuhkan dirinya yang dipilih secara demokratik, dan menyalahkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai puncanya kerana beliau enggan melaksanakan tuntutan peribadi perdana menteri paling lama mentadbir negara itu.

Disebabkan artikel WSJ itu juga, pasukan petugas khas ditubuhkan dianggotai 4 pegawai tertinggi agensi kerajaan iaitu Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/wsj-masih-membisu-jawab-isu-1mdb-kata-peguam-mewakili-najib#sthash.sWJUhK58.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-