Sunday, August 23, 2015

Kenapa Najib masih belum saman Sarawak Report, WSJ?


DAP hari ini mengajukan soalan mengapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih belum menyaman Sarawak Report dan The Wall Street Journal (WSJ) berhubung laporan mereka mengenai wang AS$700 juta (RM2.67 bilion) yang dikatakan dipindahkan ke dalam akaun peribadi beliau.

Ia susulan pendedahan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam yang mengatakan tiada satu sen pun dari wang itu datang daripada dana pencen kerajaan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua berkata, laman web pemberi maklumat dan akhbar kewangan itu mendakwa dengan jelas, RM42 juta dana yang berasal dari bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd, disalurkan terus ke dalam akaun bank peribadi Najib.


"Kalau Zahid begitu pasti tiada wang yang masuk ke akaun perdana menteri datangnya dari SRC International, yang mengambil pinjaman RM4 bilion daripada KWAP, kenapa Najib tidak menyaman kedua-dua WSJ dan Sarawak Report kerana membuat fitnah?" soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

 "Bagaimana timbalan perdana menteri yang baru ini boleh buat kesimpulan yang ketuanya tidak pernah menerima satu sen pun dari SRC International, yang dibiayai sepenuhnya dengan wang RM4 bilion daripada KWAP, dijamin oleh Kerajaan Persekutuan?

"Oleh itu, adakah Zahid berbohong, bukan sahaja kepada rakyat Malaysia tetapi juga kepada ahli Umno, hanya untuk membantu perdana menteri supaya terus berkuasa, sebagai ganjaran kerana menaikkan pangkat beliau?" soal Pua.

Zahid berkata semalam, wang AS$700 juta itu bersumberkan hanya seorang penderma dari Timur Tengah, dan ia disalurkan melalui pelbagai syarikat untuk mengelak daripada dikesan.
"Tiada wang KWAP digunakan oleh Umno atau didepositkan ke dalam akaun Najib. Saya lihat dokumen-dokumennya,” katanya ketika merasmikan mesyuarat Umno bahagian Sri Gading di Johor.
"AS$100 juta yang pertama adalah cek atas nama Najib. Pemindahan dana berikutnya melalui pelbagai saluran dan firma kerana penderma tidak mahu dilihat yang satu cek besar ditulis di bawah nama Najib," katanya.

Zahid berkata, semua sumbangan yang dibuat penderma itu bertujuan membantu Umno sebagai pembiayaan politik.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-