Wednesday, August 12, 2015

Lebih baik berundur dari sembunyi sebalik jawatan

RAZIATUL HANUM A.RAJAK
SHAH ALAM – Tindakan 13 AJK Pemuda Pas Shah Alam meletak jawatan dihormati Pas Selangor malah disifatkan lebih berani berbanding pemimpin lain yang masih bersembunyi di sebalik jawatan dalam parti itu.

Setiausaha Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, pihaknya akan meminta agar Pemuda Pas negeri segera mengisi kekosongan tersebut.

“Susulan pengisytiharan peletakan jawatan beberapa ahli jawatankuasa (AJK) Pemuda Pas Shah Alam, Pas Selangor menghormati pendirian mereka kerana perlembagaan parti membenarkan mereka berbuat demikian. Itu hak mereka, kita tahu arah tuju mereka.

“Kita ucap syabas. Itu lebih baik dan lebih berani berbanding mereka yang lantang bersama gerakan Harapan Baru tetapi masih bersembunyi di sebalik jawatan Pas. Pas Selangor akan meminta Pemuda Pas Selangor untuk mengisi kekosongan yang ada, menurut ketetapan perlembagaan parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hari ini, 13 AJK Pemuda Pas Shah Alam mengumumkan peletakan jawatan yang berkuat kuasa semalam susulan suasana politik semasa dan kerjasama dengan kepimpinan pemuda negeri dan pusat longgar.

[ARTIKEL BERKAITAN: Ketua Pemuda Pas Shah Alam letak jawatan]

Menurut Mohd Khairuddin, tindakan tersebut tidak menjejaskan pentadbiran Pas Selangor.

“Nasihat kita kepada ahli Pas agar terus beristiqamah bersama Pas yang telah menjadi parti Islam terbesar di Malaysia.

“Pas Selangor mengesahkan hanya dua Adun Pas di Selangor yang telah mengisytiharkan diri bersama Gerakan Harapan Baru dan kita menyerahkan nasib mereka kepada Pas Pusat,” katanya.

Dalam satu kenyataan mengisytiharkan peletakan jawatan itu, 13 bekas AJK Pemuda Pas Shah Alam itu berkata mereka setia bersama Pas dan akan bergerak sebagai ahli biasa.

“Tiada niat kami untuk memboikot atau dengan tindakan kami ini untuk memalukan mana-mana pihak. Peletakan jawatan kami ini boleh juga dianggap sebagai satu pengorbanan kami bagi melihat kesinambungan perjuangan Pemuda Pas selari dengan uslub yang dibawa oleh kepimpinan baru di peringkat pusat dan negeri.

“Keputusan yang telah kami ambil ini adalah dengan kerelaan sendiri tanpa paksaan atau ugutan dari mana-mana pihak sama ada di dalam parti atau di luar parti.

“Namun, sukacita kami maklumkan bahawa kami masih lagi ahli Pas dan akan bergerak sebagai ahli biasa mengikut Perlembagaan parti,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-