Tuesday, August 11, 2015

Najib umum RM20 juta untuk usahawan Bumiputera, ketika berdepan skandal RM2.6b

OLEH MD IZWAN
Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan RM20 juta kepada usahawan Bumiputera akan disalurkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang terpilih di bawah Program Pembangunan Usahawan Bumiputera. – Gambar fail The Malaysian Insider, 11 Ogos, 2015.

Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan peruntukan RM20 juta kepada usahawan Bumiputera, langkah yang diambil ketika beliau sedang berdepan skandal wang derma RM2.6 bilion.

Perdana menteri mengumumkan peruntukan tersebut akan disalurkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang terpilih di bawah Program Pembangunan Usahawan Bumiputera.

"Justeru, pada hari ini saya umumkan bahawa peruntukan sejumlah RM20 juta akan disalurkan melalui Teraju kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang terpilih bagi menjalankan Program Pembangunan Usahawan Bumiputera," katanya pada sidang media di Putrajaya petang ini.

Najib berkata peruntukan ini bagi meningkatkan kerjasama dengan NGO khususnya dalam melaksanakan program pembangunan dengan kerjasama Teraju.

"Bagi meningkatkan kerjasama dengan NGO, Majlis Ekonomi Bumiputera memutuskan untuk memperkasakan lagi peranan NGO dalam melaksanakan program pembangunan kapasiti melalui latihan dan penyelidikan, pembiayaan dan program kesedaran atau 'outreach' menerusi kaedah bersama Teraju," katanya.

Menurut Najib, langkah itu akan memastikan setiap program yang dirancang berjalan secara tersusun.

"Dengan cara ini, program yang dianjurkan oleh setiap NGO akan menjadi lebih tersusun, berdaya saing dan secara tidak langsung mengurangkan pertindihan program selain merapatkan jurang ekonomi yang sedia wujud antara usahawan Bumiputera dan bukan Bumiputera," katanya.

Najib juga berkata menerima banyak permohonan bantuan kewangan daripada NGO untuk menjalankan aktiviti pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang dipohon menerusi agensi kerajaan, kementerian dan ada juga yang membuat permohonan terus.

"Sudah tiba masanya satu peruntukan disediakan kepada NGO dan dana ini diuruskan dan telus melalui Teraju, bersesuaian dengan peranannya sebagai sebuah badan mengelola agenda ekonomi Bumiputera" katanya.

Imej Najib tercalar teruk akibat skandal dan kontroversi yang terpalit, bermula dengan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga pendedahan wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Malah, Najib juga pada bulan lepas membuat tindakan drastik dengan memecat Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal daripada Kabinetnya. – 11 Ogos, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/najib-umum-rm20-juta-untuk-usahawan-bumiputera-ketika-berdepan-skandal-rm2#sthash.0XAVR6in.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-