Monday, August 3, 2015

RM2.6 bilion dalam akaun Najib derma, bukan 1MDB, kata SPRM

Published: 3 August 2015 5:17 PM
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengatakan RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bukan duit 1MDB kerana ia merupakan sumbangan penderma. – Gambar fail The Malaysian Insider, 3 Ogos, 2015.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengatakan RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merupakan sumbangan penderma.

Ia bukan dari syarikat berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti didakwa pihak tertentu, katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

"Laporan hasil siasatan berkaitan dana RM2.6 bilion dirujuk dan dimaklumkan kepada Peguam Negara.

"Hasil siasatan mendapati, dana sebanyak RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun milik perdana menteri adalah sumbangan penderma, dan bukannya dari dana 1MDB," kata SPRM.

Ia juga menerangkan, semasa Pasukan Petugas Khas ditubuhkan, siasatan SPRM hanya memfokuskan ke atas isu berkaitan dengan SRC International Sdn Bhd dan kemasukan dana RM2.6 bilion ke dalam akaun Najib itu.

Manakala, pihak Polis Diraja Malaysia pula katanya, menjalankan siasatan berkaitan dengan 1MDB, sementara Bank Negara Malaysia menjalankan siasatan berkaitan dengan kaedah dan tatacara kewangan.

Awal bulan lalu The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan kira-kira AS$700 juta (RM2.67 bilion) dipindahkan di antara agensi kerajaan, bank dan entiti yang berkaitan dengan 1MDB dan berakhir di akaun peribadi perdana menteri dalam 5 deposit berasingan.

Najib menafikan dakwaan itu dan mendakwa ia konspirasi politik pihak lawan termasuk bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi WSJ menegaskan siasatan mereka berlandaskan dokumentasi kukuh.

Pasukan petugas khas itu sebelum ini dilapor membekukan 6 akaun bank termasuk milik SRC International, bekas anak syarikat 1MDB yang kini milik Kementerian Kewangan.

Bagaimanapun, SPRM dalam kenyataannya hari ini berkata, siasatan pihaknya berkenaan isu SRC International yang melibatkan dana RM4 bilion masih berjalan.

Laman web Sarawak Report pada awal bulan lalu juga melaporkan RM42 juta dimasukkan ke akaun Najib dari SRC International yang mengambil pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP.

SPRM sekaligus memberi jaminan siasatan akan dijalankan dengan bebas, telus dan profesional, serta mengharapkan semua pihak bersabar dan memberi ruang kepada SPRM menjalankan siasatan dengan menyeluruh.

Mengenai siasatan polis ke atas pegawai SPRM, ia berkata, pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya.

Agensi itu turut mengulangi tiada pegawai SPRM yang terlibat dalam konspirasi menjatuhkan kerajaan, tetapi mereka semata-mata hanya menjalankan tugas dan fungsi sebagai suruhanjaya yang bebas.

"Sebagai suruhanjaya yang bebas, SPRM bertanggungjawab menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional, tanpa pilih kasih dan tanpa mengira siapa yang terlibat.

"SPRM tidak akan membiarkan mana-mana pihak mempengaruhi atau campur tangan dalam siasatan yang dijalankan," katanya, menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan mengenai perkara ini selesai.

Setiausaha agung PKR Rafizi Ramli terdahulu hari ini berkata, tidak mustahil isu pemindahan wang daripada 1MDB ke akaun peribadi perdana menteri akan ditutup kerana didapati tiada unsur rasuah.

Katanya, tindakan Najib membangkitkan semula isu pembiayaan politik adalah usaha tersusun mengalihkan fokus daripada 1MDB, seperti ada cubaan tersusun oleh pimpinan Umno untuk membawa isu baru iaitu pembiayaan parti-parti politik. – 3 Ogos, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/rm2.6-bilion-dalam-akaun-najib-sumbangan-derma-bukan-duit-1mdb-kata-sprm#sthash.WfUxKFdF.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-