Friday, August 28, 2015

Saya tak bersendirian , kata Wanita Umno saman Najib

OLEH JENNIFER GOMEZ
Anggota Wanita Umno Anina Saadudin bercakap semasa tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta, Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 28 Ogos, 2015.

Anggota Wanita Umno yang memfailkan saman terhadap presiden parti Datuk Seri Najib Razak dan setiausaha kerja Datuk Ab Rauf Yusoh hari ini mendakwa, beliau yakin mendapat sokongan daripada ahli parti yang lain.

Anina Saadudin, ahli Umno bahagian Langkawi yang baru-baru ini dirakam melemparkan kata-kata kesat terhadap Najib pada mesyuarat perwakilan bahagian berkata, beliau bertindak mengambil tindakan undang-undang ke atas perdana menteri demi untuk ahli parti.

Katanya, beliau kecewa kerana Najib tidak mempedulikan rasa tidak puas hati yang dikemukakannya ketika berucap pada mesyuarat pada bulan lepas itu.

"Malang sekali Najib tidak mengendahkan kritikan saya terhadapnya. Oleh itu, saya juga membuat aduan kepada lembaga disiplin Umno supaya memanggil beliau untuk menerangkan mengenai wang RM2.6 bilion dalam akaunnya," katanya kepada pemberita di lobi Mahkamah Tinggi Jalan Duta hari ini.

Beliau sebelum itu memfailkan saman terhadap Najib meminta beliau bertanggungjawab atas kronologi peristiwa yang melibatkan aliran wang RM2.6 bilion yang berakhir dalam akaun bank peribadi perdana menteri itu.

"Saya percaya beliau melakukan pecah amanah dan bertindak bertentangan dengan perlembagaan parti dengan menerima dan membelanjakan wang RM2.6 bilion itu," katanya.

Anina turut melahirkan kebimbangan kerana walaupun hakikatnya Najib mencemar imej parti, mereka yang berkepentingan dalam Umno tidak akan mengambil tindakan terhadapnya memandangkan kedudukannya yang berkuasa sebagai presiden dan perdana menteri.

Katanya, atas faktor itu dan kesetiaannya kepada Umno, mendorong beliau memfailkan saman terhadap ketua parti itu.

"Saya buat ini kerana saya sayangkan Umno, dan saya percaya semua ahli parti sayangkan Umno. Saya rasa ini tanggungjawab saya demi kepentingan tiga juta ahli Umno.

"Oleh itu, saya merayu kepada Najib sebagai presiden parti untuk berlaku jujur dan adil kepada anggota parti," katanya.

Apabila dimaklumkan kepadanya pandangan seorang peguam Umno yang beliau boleh dibuang dari parti kerana tindakannya itu, Anina berkata beliau "tidak takut".

Anina pada mesyuarat agung tahunan bahagian Langkawi melepaskan kemarahannya terhadap Najib, menggunakan perkataan kesat, mendakwa perdana menteri itu berbohong kepada ahli Umno dengan mengakui semua mereka menyokong beliau. – 28 Ogos, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/saya-tak-bersendirian-kata-wanita-umno-saman-najib#sthash.3BLZLGMg.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-