Wednesday, September 2, 2015

Apabila pemimpin Umno dan MCA 'bercakaran'

Menurut Ti, dakwaan Jamal bahawa perhimpunan Bersih 4 boleh mencetuskan isu perkauman adalah tindakan pelampau. - Foto arkib TRP

KUALA LUMPUR, 2 September:

Kenyataan yang dibuat Pengerusi Anti-Bersih disifatkan sebagai “tidak bertanggungawab dan tidak wajar.”

Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berpendapat, dakwaan Datuk Jamal Md Yunos bahawa perhimpunan Bersih 4 boleh mencetuskan isu perkauman adalah tindakan pelampau.

“Mereka jelas mempunyai agensi politik.

“Mereka hanya menjadikan masyarakat Cina sebagai mangsa politik, disebabkan kemarahan mereka terhadap perhimpunan itu,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Ti berkata, mereka sengaja mendakwa ia isu perkauman, walhal bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyertai perhimpunan itu.

Katanya, mereka memilih kenyataan Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon yang dibuat berdasarkan kebebasan bersuara yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, tetapi tidak mengambil kira arahan Setiausaha Agung MCA, Ong Ka Chuan yang melarang ahli parti menyertai perhimpunan Bersih 4.

“Jangan buli orang kami dalam pertengkaran orang dewasa.

“Selama ini, MCA adalah sebuah parti amat demokratik yang menghormati hak individu menyuarakan pendapat mereka. Kami bukan adikara.

“Kami mengamalkan semangat demokratik sejak sekian lama,” katanya.

Jamal sebelum ini mendakwa perhimpunan Bersih 4 boleh mencetuskan isu perkauman yang akan menghuru-harakan negara, seperti peristiwa hitam 13 Mei 1969.

Menurut Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu, lebih 80 peratus peserta Bersih 4 terdiri daripada orang Cina yang dilihat bersungguh-sungguh menggerakkan agenda himpunan haram itu.

Sementara itu, Chong menegaskan, beliau “tidak pernah meminta ahli-ahlinya menyertai perhimpunan Bersih 4″.

“Saya tidak pernah menggalakkan pemuda untuk menyertai Bersih.

“Perhimpunan Bersih 4 ini sudah terkeluar daripada konteks, di mana asalnya ia menuntut pilihan raya bersih, telus dan nilai-nilai umum lain, tetapi ia kemudiannya bertukar menjadi perhimpunan anti kerajaan dan anti Perdana Menteri yang jelas dirampas oleh parti-parti pembangkang, khasnya DAP,” katanya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/09/02/apabila-pemimpin-bn-bercakaran/#ixzz3kXD3xLaF

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-