Wednesday, September 2, 2015

Mengapa MCA harus disingkirkan keluar dari BN..........

Pemimpin veteran MCA secara terbuka gesa Najib disingkirkan

OLEH V. ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA
Pemimpin MCA perlu mempertimbangkan adakah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih sesuai dibenarkan untuk terus memimpin negara yang mewujudkan banyak kontroversi di mata masyarakat antarabangsa. – Gambar fail The Malaysian Insider, 2 September, 2015.

Dua pemimpin veteran MCA hari ini mendesak Datuk Seri Najib Razak supaya meletakkan jawatan apabila mengatakan sudah tiba masanya untuk 7 ahli Parlimen Cina parti itu memikirkan secara serius apakah sokongan terhadap perdana menteri dapat dipertahankan.

Tan Foong Luen, yang merupakan pemimpin MCA Negeri Sembilan dan juga ahli Biro Perundangan Bahagian Seremban berkata, ahli Parlimen termasuk 3 menteri dalam Kabinet, perlu meletakkan keutamaan kepada rakyat dan negara berbanding Najib.

Beliau memberitahu The Malaysian Insider, ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), termasuk 7 daripada MCA perlu melakukan perkara betul – menjatuhkan Najib tetapi mempertahankan kuasa gabungan pemerintah itu untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara dengan lebih baik.

MCA, parti kaum Cina dan ahli komponen paling kanan BN, yang pertama dalam gabungan pemerintah itu menyatakan hasrat menjatuhkan Najib.

Ketiga-tiga pemimpin MCA dalam Kabinet ialah Datuk Seri Liow Tiong Lai (Bentong), Datuk Seri Ong Ka Chuan (Tanjong Malim) dan Datuk Dr Wee Ka Siong (Ayer Hitam) manakala Datuk Chua Tee Yong (Labis) merupakan timbalan menteri dalam pentadbiran Najib.

Tan, yang juga seorang peguam dan ahli perwakilan pusat, berkata demikian ketika mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggesa Umno dan ahli parti komponen BN dalam Parlimen untuk menyokong usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Najib.

Perdana menteri paling lama berkhidmat itu mengingatkan ahli Parlimen BN undi tidak percaya sahaja akan menyebabkan penyingkiran Najib tetapi BN akan terus kekal kerana ia mempunyai majoriti di Dewan Rakyat.

"BN tidak akan jatuh selepas Najib disingkirkan. BN masih parti majoriti," kata Dr Mahathir kepada pemberita pada perhimpunan Bersih 4 hujung minggu lalu dan mengulangi gesaan itu dalam blognya semalam.

Tan berkata kepimpinan Najib terus mewujudkan banyak kontroversi di mata masyarakat antarabangsa dan pemimpin MCA perlu mempertimbangkan adakah masih sesuai membenarkan perdana menteri untuk terus memimpin negara ini.

Najib, yang juga presiden Umno, secara konsisten menyatakan beliau akan terus memegang jawatan itu kerana beliau dipilih rakyat.

Justeru, Tan berkata Najib hanya dipilih sebagai ahli Parlimen Pekan oleh pengundi tetapi dilantik sebagai perdana menteri atas kesepakatan perdana menteri adalah daripada Umno dan parti dominan dalam BN.

"Beliau dilantik sebagai perdana menteri kerana BN mempunyai kerusi majoriti dalam Dewan Rakyat," katanya.
Sementara itu, Ketua MCA Bahagian Kluang Gan Ping Sieu (gambar) berkata proses Perlembagaan perlu dipertimbangkan semula bagi memastikan ahli Parlimen melaksanakan tugas mereka.

"Najib harus diberikan 'cuti' dan membenarkan siasatan bebas dijalankan ke atas 1MDB dan dana RM2.6 bilion yang terdapat dalam akaun peribadi beliau," katanya merujuk kepada skandal 1Malaysia Development Berhad.

Gan yang juga seorang peguam, berkata pembangkang meletakkan syarat dalam memberikan sokongan untuk menyingkirkan Najib menerusi undi tidak percaya.

"Mereka merayu pembentukan kerajaan perpaduan tetapi sebenarnya mahu melihat Najib terus memegang jawatan itu sehingga pilihan raya umum akan datang dalam usaha untuk menawan Putrajaya.

"Bagi mereka, Najib kini adalah aset tetapi semua ahli Parlimen perlu bangkit daripada politik kepartian serta memberi tumpuan kepada rakyat dan negara," tambahnya.

Gan berkata, rakyat akan dapat menilai ahli Parlimen mereka jika undi dibuat di dalam Dewan Rakyat sama ada Najib perlu menerajui negara ini ataupun tidak.

BN mempunyai 134 ahli Parlimen, pembangkang 87 dan satu bebas.

Sekurang-kurangnya 113 ahli Parlimen mesti menyokong undi tidak percaya bagi menyingkirkan Najib. – 2 September, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pemimpin-veteran-mca-secara-terbuka-gesa-najib-disingkirkan#sthash.gMTJz4dK.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-