Monday, September 7, 2015

Mahathir salah - seluruh kerajaan akan jatuh


oleh Aziz Bari
SUARA LANTANG: Dalam usahanya untuk menjadikan proses peralihan kurang menyakitkan buat ahli Umno, Dr Mahathir Mohamad telah berkata bahawa undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri Najib Razak tidak akan mengubah kerajaan. Ia hanya untuk menjatuhkan Najib, manakala kerajaan kekal di bawah Umno-BN kerana ia adalah parti majoriti di Parlimen.

Tulisan yang disiarkan di blognya itu segera disangkal oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak pada 1 September lalu. Tokoh Umno Sabah itu berkata dengan menjatuhkan perdana menteri, ia juga bermakna menjatuhkan seluruh kerajaan.

Daripada sisi Perlembagaan, perlu dinyatakan bahawa kenyataan Salleh itu betul dan Mahathir salah. Ini kerana perdana menteri – sama seperti menteri besar atau ketua menteri di peringkat negeri – adalah tiang kepada kerajaan. Beliau adalah primus inter pares; yang pertama di kalangan ahli kabinet. Ini adalah prinsip yang menjadi asas kepada kebertanggungjawaban bersama dalam kabinet. Ia juga asas kepada kuasa prerogatif perdana menteri untuk memecat menteri atau menukar portfolio mereka.

Sama ada amalan kuasa mutlak itu absah atau tidak, ia terpulang kepada rakyat. Perlu disebut bahawa kedudukan perdana menteri dalam Perlembagaan-lah yang digunakan mahkamah untuk menolak cabaran yang dibuat bekas timbalan Mahathir, Anwar Ibrahim yang dipecat pada September 1998. Justifikasi sama turut digunakan Najib ketika menggugurkan Muhyiddin sebulan lalu.
Pak Lah
Mahathir mungkin telah dipengaruhi dengan apa yang berlaku selama ini. Ia termasuk peralihan kuasa pada 2003 kepada timbalannya Abdullah Ahmad Badawi. Dalam perundangan, perubahan itu sebenarnya menandakan berakhirnya pentadbiran Mahathir. Walaupun Abdullah mengekalkan sebahagian besar menteri era Mahathir, dalam undang-undang ia adalah sebuah kerajaan yang lain – iaitu yang diambil alih Abdullah daripada Mahathir.

Untuk melihatnya dari sudut berbeza; ketika Mahathir letak jawatan pada 2003, beliau meletakkan jawatan seluruh kabinet, bukan perdana menteri semata-mata. Perkara ini juga digariskan dalam satu kes Mahkamah Tinggi di Sabah pada 1994 yang tercetus akibat seorang menteri yang mendakwa beliau masih memegang jawatan walaupun ketua menteri ketika itu, Joseph Pairin Kitingan telah pun meletakkan jawatan. Mahkamah menolak dakwaannya kerana berpegang kepada prinsip apabila ketua menteri meletakkan jawatan, seluruh kabinet turut melakukan perkara sama.

Melihat kepada komposisi MP di Parlimen, tiada jaminan bahawa kerajaan kekal di tangan Umno-BN. Ini kerana kita belum melihat jaminan konkrit bahawa semua 134 MP akan kekal bersatu di bawah satu gabungan.

Umno perlu membawa kira-kira 30 MP ke Taiwan ketika parti itu mendapati mereka mungkin melompat ke Pakatan Rakyat pada September 2008.

Setakat ini, jelas bahawa kira-kira 88 MP Umno tidak berpuas hati dengan cara Najib menangani skandal 1MDB. Dan sesetengahnya, seperti Muhyiddin Yasin dan Shafie Afdal adalah orang yang lantang mengkritik pentadbiran Najib.
Muhyiddin
Kita juga tidak boleh menolak kemungkinan yang MP Umno-BN akan bertukar ke pihak pembangkang. Sementara kebanyakan MP PAS mungkin tidak akan menyokong undi tidak percaya terhadap Najib, jelas bahawa 73 MP dari DAP, PKR, dan Parti Amanah Nasional yang baru ditubuhkan bertekad mahu menyingkirkan Najib melalui usul tersebut.

Apa yang mereka perlu lakukan sekarang adalah mendapatkan sekurang-kurangnya 49 MP untuk bersama mereka: jika ada 112 MP yang menyokong usul tidak percaya ke atas Najib, beliau perlu meletakkan jawatan dan Yang di-Pertuan Agong perlu melantik seseorang daripada 112 MP itu sebagai perdana menteri baru.

Namun melihat kepada landskap politik pada masa ini, sukar untuk melihat penukaran perdana menteri tanpa memberi kesan kepada kerajaan. Salah satunya kerana Kabinet baru ini kelihatan bersatu di bawah Najib.

Maka harapan agar berlakunya pemberontakan dalam Umno adalah sesuatu yang hampir mustahil. Kita juga diberitahu bahawa MP Umno veteran Tengku Razaleigh Hamzah – yang dilihat berpotensi untuk menggantikan Najib – telah secara terbuka berkata beliau tidak memiliki masalah dengan Najib.

Maka tidak sukar untuk melihat mengapa Mahathir amat terdesak sehingga terpaksa dengan berat hati berkata bahawa protes jalanraya satu-satunya cara untuk menyingkirkan Najib. Walaupun beliau memang dikenali benci kepada perkara itu.

Dr Abdul Aziz Bari pernah menjadi pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) selama lebih 22 tahun.

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Mahathir-salah-seluruh-kerajaan-akan-jatuh#sthash.SNOI7BL4.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-