Showing posts with label Menteri Komunasi dan Multimedia. Show all posts
Showing posts with label Menteri Komunasi dan Multimedia. Show all posts

Monday, May 28, 2018

Gobind beri RTM 6 bulan untuk berubah

FMT Reporters
May 28, 2018

Menteri komunikasi itu mahukan perubahan drastik supaya stesen milik kerajaan itu mampu bersaing sihat dengan stesen lain.
Gobind Singh Deo mendengar penerangan disampaikan seorang jurutera Institut Penyiaran Tun Abdul Razak (IPPTAR) hari ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Radio Televisyen Malaysia (RTM) perlu menonjolkan wajah baharu dan lebih agresif dalam tempoh enam bulan sebagai usaha menarik lebih ramai penonton, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Gobind berkata perubahan itu bagi memastikan stesen berita paling utama itu mampu bersaing secara sihat atau lebih baik berbanding stesen televisyen swasta yang lain termasuk di peringkat antarabangsa.

“Apa yang kita siarkan kepada rakyat adalah sangat penting kerana ia mencorakkan cara pemikiran rakyat, justeru kita kena lihat kepada wajah RTM itu sendiri dan ramai memberi maklum balas kepada saya bahawa RTM kena ada perubahan drastik.

“Jadi hari ini saya telah minta kepada pengurusan (RTM) supaya kita lihat kepada penyaing kita seperti CNN dan Al-Jazeera yang menyediakan bahan yang menarik untuk penonton kerana dalam bidang ini kita nak tarik minat penonton dan kalau orang tak lihat program kita maka program itu tidak berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja di RTM dan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) di Angkasapuri hari ini.

Gobind berkata RTM perlu memberi perhatian kepada kandungan yang lebih segar, telus, pantas dan bertepatan dengan kehendak semasa penonton.

Beliau tidak menolak kemungkinan menjadikan setiap saluran di RTM lebih spesifik mengikut kategori penonton.

“Saya dengar pandangan yang diberikan dan ada yang menarik. Setakat ini kami lihat kemungkinan ada saluran khusus mungkin untuk berita saja atau sukan saja dan perkara-perkara lain.

“Ini cadangan yang baik tapi saya mahukan lebih lagi kerana apa yang dikumpul dalam enam bulan ini saya nak bawa ke Kabinet. Ini supaya kita boleh ubah keseluruhan wajah RTM, lebih terkini dengan cabaran bukan sahaja di rantau Asia tapi seluruh dunia.

“Media ada di mana-mana, suka tak suka kita perlu adakan perubahan sistem supaya kita boleh menarik perhatian penonton seluruh dunia dan boleh bersaing dengan media sedia ada,” katanya.

Sunday, August 27, 2017

Tsunami Melayu: Analisis Kian Ming menarik tapi tersasar, kata Salleh

FMT Reporters
August 27, 2017

Salleh berkata, Kian Ming dalam analisisnya tentang PRU14 menyatakan akan berlaku 15% peralihan undi Melayu kepada Pakatan Harapan (PH) seperti pada tahun 1999 dan 2008, tetapi pandangan itu tidak berdasarkan fakta tepat.
PETALING JAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyifatkan analisis pemimpin DAP Dr Ong Kian Ming mengenai ‘tsunami Melayu” yang dikaitkan dengan kemungkinan peralihan sokongan pengundi Melayu sebagai menarik tetapi jauh tersasar.

Salleh berkata, Kian Ming dalam analisisnya tentang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyatakan akan berlaku 15% peralihan undi Melayu kepada Pakatan Harapan (PH) seperti mana yang berlaku pada 1999 dan 2008, tetapi analisis itu tidak berdasarkan fakta yang tepat.

Katanya, hujah Ahli Parlimen Serdang itu mudah di mana setiap kali Umno berpecah akan menyebabkan orang Melayu menolak BN, lalu menyokong pembangkang.

“Ini dapat dilihat dalam PRU 1999 apabila peralihan undi Melayu berlaku sebanyak 27%. Dalam PRU 2008 pula, BN hilang majoriti 2/3 apabila 6% lagi pengundi Melayu beralih menyokong pembangkang.”

Pun begitu, soal Salleh, bolehkah dicapai 15% peralihan sokongan Melayu ini pada PRU14.

“Kian Ming kata tidak mustahil jika melihat kepada sikap pengundi Melayu dalam PRU 1999 dan 2008, dan juga jika melihat kepada munculnya PPBM.

“Benarkah andaian Ong Kian Ming tersebut? Hasil semakan saya kepada data lepas mendapati analisis Kian Ming tersasar dari fakta sebenar,” kata beliau yang juga bendahari Umno dalam tulisan disiarkan menerusi blognya hari ini.

Semlam, Kian Ming mendedahkan statistik sokongan daripada 3 komuniti utama di Semenanjung bagi BN, menunjukkan sebarang perpecahan dalam Umno mungkin akan menyebabkan lebih ramai orang Melayu akan menolak gabungan pemerintah.

Melihat arah aliran sokongan orang Melayu, Cina dan India, beliau berkata dengan sokongan Cina dan India kepada BN menurun dalam 2 pilihan raya umum lalu iaitu 2008 dan 2013, kunci kepada sebarang harapan untuk PH menang PRU14 terletak di tangan pengundi Melayu.

“Ayunan terbesar dalam sokongan Melayu terhadap BN berlaku dalam pilihan raya umum ‘Reformasi’ 1999 di mana jumlah undi Melayu untuk BN jatuh sebanyak 27% daripada 81% pada 1995 kepada 54% pada 1999.

“Berikutan itu, pada tahun 2008, undi Melayu kepada BN jatuh dengan margin yang lebih rendah sebanyak 6%,” kata beliau merujuk kepada PRU12 apabila BN kehilangan 2/3 majoriti di Parlimen dan 4 negeri lagi, kehilangan sokongan orang Cina dengan penurunan 40% dan kaum India (42%).

Pada tahun 1998, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai timbalan perdana menteri sebelum didakwa berhubung kes meliwat dan penyalahgunaan kuasa. Ramai penyokongnya meninggalkan Umno untuk memulakan PKR bersama isteri beliau Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bagaimanapun, sebelum pilihan raya 2008, terdapat banyak rasa tidak puas hati dalam Umno berhubung pimpinan mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, dengan pendahulu beliau Dr Mahathir mengetuai pemberontakan dari dalam.

Dr Mahathir meninggalkan parti itu pada Mei 2008, 2 bulan selepas PRU12 dalam usaha untuk memaksa Abdullah berhenti sebagai perdana menteri berikutan kerugian besar yang dialami dalam pilihan raya umum 2008.

“Pada pilihan raya umum 2013 (PRU13), namun sokongan BN di kalangan orang Melayu meningkat sedikit, sebanyak 5%,” kata Kian Ming.

Sekarang, dengan keputusan Dr Mahathir meninggalkan Umno bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan pemimpin parti yang lain bertanding dengan mereka, dan pembentukan PPBM, Kian Ming berkata kemungkinan tsunami Melayu seperti yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong sangat nyata.

Justeru dalam tulisannya, Salleh menjelaskan, untuk analisis yang lebih tepat perlu melihat senario 1988-1990 kerana situasi itu yang perlu dijadikan sandaran analisis perubahan undi Melayu kerana sejarah perpecahan politik Melayu bermula ketika itu.

“Pada tahun 1988, Umno berpecah setelah Dr. Mahathir dan Tengku Razaleigh bertanding merebut jawatan presiden Umno. Selepas pemilihan itu, kumpulan Tengku Razaleigh keluar Umno dan menubuhkan parti Semangat 46.

“Dalam PRU 1990, S46 bergabung dengan PAS, Hamim, DAP dan PBS, namun adakah pakatan pembangkang memenangi pilihan raya tersebut? Jawapannya tidak.”

Beliau seterusnya berkata, kemerosotan pengundi Melayu hanya 2.4% berbanding PRU 1986 manakala S46 pula hanya memenangi 8 kerusi Parlimen daripada 61 kerusi.

Dalam PRU itu S46 memenangi 19 kerusi daripada 152 kerusi yang ditandingi.

“Situasi tersebut sama seperti hari ini yang mana Umno mengalami perpecahan dengan melahirkan PPBM. Maka, bagaimana dengan PRU14 nanti?” kata Salleh sambil berkata, jika melihat kepada realiti sekarang, sukar untuk berlaku peralihan undi Melayu lagi.

Jelas beliau, dalam PRU 1999, senario berlakunya peralihan undi Melayu ketika itu adalah berbeza dengan situasi sekarang.

“Tahun 1999, negara baharu diserang krisis kewangan dan ada isu mata lebam. PRU14 isu tahun 1999 dan 2008 sudah jauh kita tinggalkan,” kata Salleh.

Salleh juga berkata, analisi beliau sebelum ini telah menggariskan 5 faktor anak muda akan menyokong BN dalam PRU14.

“Dalam analisis ini, jika mahu bersandarkan kepada hujah Umno berpecah maka Melayu akan mengalih sokongan kepada pembangkang, itu adalah generalisasi,” katanya.

Salleh yang turut merujuk kepada keputusan pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar berkata, meskipun Umno berpecah, parti pembangkang masih tidak mampu menumbangkan BN.

“Tambahan pula, parti pembangkang kini mempunyai pecahan parti Melayunya sendiri seperti Amanah yang lahir hasil perpecahannya dengan PAS.

“PPBM dan Amanah juga adalah parti baharu yang masih tidak mendapat sokongan meluas. Politiking pembangkang yang terlalu banyak juga menyebabkan rakyat bosan kerana rakyat mahu terus bergerak ke depan membangun Malaysia yang maju dan sejahtera,” katanya.

Saturday, November 5, 2016

Komen terkini Dr M terhadap Soros memalukan, kata Salleh Keruak

FMT Reporters  : 

Menteri itu mengatakan bekas perdana menteri itu pernah menjadi pengkritik tegar George Soros tetapi kini menyatakan hal yang berbeza.
PETALING JAYA: Komen terkini Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempertahankan jutawan George Soros menunjukkan bekas perdana menteri itu berada pada tahap paling rendah, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Md Salleh Said Keruak.

Dalam posting di blog terbarunya, Salleh berkata percanggahan dalam apa yang dikatakan Dr Mahathir sebelum ini berkenaan Soros adalah begitu ketara hingga ke tahap “memalukan”.

“Apabila ekonomi Malaysia runtuh, Dr Mahathir tidak mahu bertanggungjawab dan mengakui itu salahnya, sebaliknya beliau menyalahkan Soros,” kata Salleh.

Beliau juga menegaskan semasa Dr Mahathir menjadi perdana menteri, beliau tidak teragak-agak mengeluarkan kenyataan anti-Semitik dan juga sanggup merujuk orang Yahudi sebagai “orang dengan hidung bengkok”, kenyataan yang membolehkan beliau ditangkap dan dipenjara, atau dipaksa meletakkan jawatan, sekiranya masih memimpin mana-mana negara.

Salleh mengimbas semula sewaktu Dr Mahathir menjadi perdana menteri, beliau juga “keras menentang” demonstrasi jalanan dengan menangkap dan mengenakan atau menahan tanpa bicara, sesiapa yang berani menganjur atau menyertainya.

Beliau berkata, sebaliknya Dr Mahathir hari ini mengatakan perkara yang sangat bertentangan.

“Hari ini, Soros adalah seorang lelaki baik yang membiayai kumpulan yang sengaja mahu menjatuhkan kerajaan manakala demonstrasi adalah baik dan sah untuk menukar kerajaan.”

Mempersoalkan juga jika Dr Mahathir teringat atau menyangka apa yang sering beliau katakan akan dilupakan, Salleh menambah “Politik adalah satu perkara, tetapi maruah juga mesti dikekalkan dalam permainan politik kerana jika kita kehilangan maruah, tidak ada apa yang tinggal.”

Monday, July 11, 2016

Menteri: Kebocoran audit 1MDB satu 'pengkhianatan'

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak memberi amaran keras susulan pembocoran maklumat kerajaan berkaitan laporan ketua audit negara 1MDB yang berstatus sulit.

“Keadaan membimbangkan kerana bukan hanya maklumat sulit dijual tetapi sebahagiannya diubah dan dipalsukan untuk mensensasikan sesebuah isu,” katanya selepas penyiaran artikel di laman pembocor maklumat Sarawak Report.

Salleh membangkitkan kebimbangan berhubung maklumat lain yang mungkin dijual tanpa disedari.

“Perkara ini meletakkan keselamatan negara dalam bahaya dan ini tidak tidak lain dan tidak bukan adalah pengkhianatan,” katanya.

Khamis lalu, Sarawak Report mendakwa mendapat "akses meluas" mengenai laporan ketua audit negara yang menyiasat 1MDB serta beberapa maklumat yang didakwa daripada laporan itu.

Malaysiakini tidak boleh secara bebas mengesahkan sama ada dokumen yang diterbitkan olehSarawak Report adalah sahih dan tidak boleh melaporkan kandungannya kerana sekatan undang-undang.

[Baca berita asal]

Friday, October 30, 2015

Padah sekeping gambar Najib

Pembaca berita RTM rancangan berita Mandarin hari ini membaca berita tanpa sebarang visual sokongan.

Semua itu dikatakan berlaku selepas rancangan berita itu memaparkan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama hiasan grafik berkaitan 1MDB.

Ketua berita Mandarin RTM Tan Lee Won mengesahkan larangan penggunaan sebarang visual untuk rancangannya, lapor Sin Chew Daily.

Tan berkata arahan itu dibuat oleh pengurusan RTM semalam dan berkuat kuasa terhadap dua programnya pada 12 tengah hari dan 8 malam hari ini.

Beliau enggan menyatakan alasan diberikan dan masih tidak pasti tempoh larangan itu berkuat kuasa.

Sumber mendakwa hukuman itu susulan penggunaan gambar itu dalam berita malam semalam.

Laporan isu PKR vs Najib

Gambar itu dipapar ketika laporan berhubung kes saman PKR terhadap Najib berkaitan perbelanjaan pilihan raya.

Gambar itu pada asalnya dikeluarkan oleh Malaysiakini.
Ia menunjukkan Najib dalam keadaan tunduk dengan kolaj gambar-gambar berkaitan 1MDB di sekelilingnya, termasuk ahli perniagaan sensasi Jho Low.

Menjalani 'hukuman', pembaca berita RTM malam ini dilihat membaca berterusan untuk sepanjang program.

Dalam rancangan tengah hari tadi, skrip pembaca berita juga tidak ditukar yang menyaksikan pembaca berita masih merujuk kepada gambar yang tidak muncul di skrin televisyen.

Malaysiakini sudah menghubungi Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Salleh Said Keruak dan masih menunggu jawapannya.

[Baca berita asal]

Monday, September 7, 2015

Mahathir salah - seluruh kerajaan akan jatuh


oleh Aziz Bari
SUARA LANTANG: Dalam usahanya untuk menjadikan proses peralihan kurang menyakitkan buat ahli Umno, Dr Mahathir Mohamad telah berkata bahawa undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri Najib Razak tidak akan mengubah kerajaan. Ia hanya untuk menjatuhkan Najib, manakala kerajaan kekal di bawah Umno-BN kerana ia adalah parti majoriti di Parlimen.

Tulisan yang disiarkan di blognya itu segera disangkal oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak pada 1 September lalu. Tokoh Umno Sabah itu berkata dengan menjatuhkan perdana menteri, ia juga bermakna menjatuhkan seluruh kerajaan.

Daripada sisi Perlembagaan, perlu dinyatakan bahawa kenyataan Salleh itu betul dan Mahathir salah. Ini kerana perdana menteri – sama seperti menteri besar atau ketua menteri di peringkat negeri – adalah tiang kepada kerajaan. Beliau adalah primus inter pares; yang pertama di kalangan ahli kabinet. Ini adalah prinsip yang menjadi asas kepada kebertanggungjawaban bersama dalam kabinet. Ia juga asas kepada kuasa prerogatif perdana menteri untuk memecat menteri atau menukar portfolio mereka.

Sama ada amalan kuasa mutlak itu absah atau tidak, ia terpulang kepada rakyat. Perlu disebut bahawa kedudukan perdana menteri dalam Perlembagaan-lah yang digunakan mahkamah untuk menolak cabaran yang dibuat bekas timbalan Mahathir, Anwar Ibrahim yang dipecat pada September 1998. Justifikasi sama turut digunakan Najib ketika menggugurkan Muhyiddin sebulan lalu.
Pak Lah
Mahathir mungkin telah dipengaruhi dengan apa yang berlaku selama ini. Ia termasuk peralihan kuasa pada 2003 kepada timbalannya Abdullah Ahmad Badawi. Dalam perundangan, perubahan itu sebenarnya menandakan berakhirnya pentadbiran Mahathir. Walaupun Abdullah mengekalkan sebahagian besar menteri era Mahathir, dalam undang-undang ia adalah sebuah kerajaan yang lain – iaitu yang diambil alih Abdullah daripada Mahathir.

Untuk melihatnya dari sudut berbeza; ketika Mahathir letak jawatan pada 2003, beliau meletakkan jawatan seluruh kabinet, bukan perdana menteri semata-mata. Perkara ini juga digariskan dalam satu kes Mahkamah Tinggi di Sabah pada 1994 yang tercetus akibat seorang menteri yang mendakwa beliau masih memegang jawatan walaupun ketua menteri ketika itu, Joseph Pairin Kitingan telah pun meletakkan jawatan. Mahkamah menolak dakwaannya kerana berpegang kepada prinsip apabila ketua menteri meletakkan jawatan, seluruh kabinet turut melakukan perkara sama.

Melihat kepada komposisi MP di Parlimen, tiada jaminan bahawa kerajaan kekal di tangan Umno-BN. Ini kerana kita belum melihat jaminan konkrit bahawa semua 134 MP akan kekal bersatu di bawah satu gabungan.

Umno perlu membawa kira-kira 30 MP ke Taiwan ketika parti itu mendapati mereka mungkin melompat ke Pakatan Rakyat pada September 2008.

Setakat ini, jelas bahawa kira-kira 88 MP Umno tidak berpuas hati dengan cara Najib menangani skandal 1MDB. Dan sesetengahnya, seperti Muhyiddin Yasin dan Shafie Afdal adalah orang yang lantang mengkritik pentadbiran Najib.
Muhyiddin
Kita juga tidak boleh menolak kemungkinan yang MP Umno-BN akan bertukar ke pihak pembangkang. Sementara kebanyakan MP PAS mungkin tidak akan menyokong undi tidak percaya terhadap Najib, jelas bahawa 73 MP dari DAP, PKR, dan Parti Amanah Nasional yang baru ditubuhkan bertekad mahu menyingkirkan Najib melalui usul tersebut.

Apa yang mereka perlu lakukan sekarang adalah mendapatkan sekurang-kurangnya 49 MP untuk bersama mereka: jika ada 112 MP yang menyokong usul tidak percaya ke atas Najib, beliau perlu meletakkan jawatan dan Yang di-Pertuan Agong perlu melantik seseorang daripada 112 MP itu sebagai perdana menteri baru.

Namun melihat kepada landskap politik pada masa ini, sukar untuk melihat penukaran perdana menteri tanpa memberi kesan kepada kerajaan. Salah satunya kerana Kabinet baru ini kelihatan bersatu di bawah Najib.

Maka harapan agar berlakunya pemberontakan dalam Umno adalah sesuatu yang hampir mustahil. Kita juga diberitahu bahawa MP Umno veteran Tengku Razaleigh Hamzah – yang dilihat berpotensi untuk menggantikan Najib – telah secara terbuka berkata beliau tidak memiliki masalah dengan Najib.

Maka tidak sukar untuk melihat mengapa Mahathir amat terdesak sehingga terpaksa dengan berat hati berkata bahawa protes jalanraya satu-satunya cara untuk menyingkirkan Najib. Walaupun beliau memang dikenali benci kepada perkara itu.

Dr Abdul Aziz Bari pernah menjadi pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) selama lebih 22 tahun.

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Mahathir-salah-seluruh-kerajaan-akan-jatuh#sthash.SNOI7BL4.dpuf

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-