Saturday, September 5, 2015

Wanita besi Malaysia malu terhadap orang asing di Malaysia

oleh V Shuman

SEKILAS PANDANG: Mutakhir ini, ahli politik veteran Rafidah Aziz lantang bersuara tentang pelbagai isu yang membelenggu negara - terutama yang melibatkan Perdana Menteri Najib Razak.

Bekas menteri itu, yang dianggap Wanita Besi Malaysia, telah mencoret pandangan di Facebook tentang rasa malu kita terhadap "orang asing" selama beberapa hari ini.

"Dua hari ini mendatangkan rasa malu kepada negara. Ia hasil dari apa yang rakyat telah suarakan, samada secara terbuka atau sebaliknya.

"Ia berkaitan integriti kerajaan dan pemimpin, dan isu yang membelenggu negara. Kita pernah dengar negara-negara lain diselar kerana budaya rasuah. Bahkan kita pernah menjadikan mereka contoh kurangnya integriti, tamak, dan salahguna kuasa yang menyebabkan negara-negara itu mundur.

"Rakyat mereka dahagakan pembangunan, sementara pemimpin kekal berkuasa dengan sistem dan amalan korupsi," beliau menulis di Facebook pada hari Jumaat.

Tentunya beliau merujuk kritikan ketua Transparency International (TI) Jose Ugaz terhadap derma RM2.6 bil yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib, pada Persidangan Anti Korupsi Antarabangsa ke-16 di Putrajaya.
Ugaz berkata wang tersebut ada elemen "korupsi besar" sementara pengasas bersama TI Michael J Hershman mendesak Najib menjelaskannya.

Najib seharusnya hadir ke persidangan, tetapi tidak kerana diberi amaran akan menerima "serangan".

Ini mungkin kali pertama pemimpin negara dikutuk di negaranya sendiri, dan beliau gagal menyerang balas.

Bayangkan jenaka sekiranya Najib yang dibelenggu skandal rasuah ini, telah muncul di persidangan dan berucap tentang rasuah.

Kembali ke kisah Rafidah, beliau berkata aksi orang asing menjelaskan tentang kesalahan di negara ini, menambah luka kepada kita semua.

Beliau kecewa kerana Malaysia kini telah menjadi buah mulut kerana segala kemelut yang melanda.

"Tetapi kita tak mampu ketepikan semua pandangan dan ulasan. Ada kebenarannya."

Rafidah menggesa pihak berkuasa memahami mengapa rakyat berdemonstrasi, dan menumpu kepada punca isu di samping menyelesaikannya mengikut kerangka undang-undang negara.

Kata beliau, seluruh dunia memerhati bagaimana kita menangani isu ini.

"Tangani isu. Ianya tidak terlalu sukar sekiranya matlamat sebenar ialah mencari jawapan dan melakukan apa yang sewajarnya. Kita perlu lakukan usaha bagi memulihkan nama baik negara, Malaysia."

Tepat sekali saranannya.

Rafidah telah berkhidmat di dalam Kabinet begitu lama, dan tentu kemarahannya berpunca dari menyaksikan sistem negara kian kucar.

Beliau lantang di dalam pelbagai isu seperti 1MDB, GST dan masalah yang membelenggu KLIA2.

Namun semua pandangan dan keluhannya (dan orang lain) tidak diendahkan Najib dan juak-juaknya.

Mereka nampak selesa di dalam tempurung, dengan berkata semuanya baik baik sahaja. Rakyat terpaksa menderita dengan ekonomi yang kian meleset serta tuduhan yang dihamburkan orang asing.

Mungkin watak lucu di dalam kerajaan hari ini tidak pernah mendengar ucapan penulis dan ahli falsafah Inggeris Aldous Huxley, "fakta akan tidak lenyap hanya kerana ia tidak diendahkan."

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Wanita-besi-Malaysia-malu-terhadap-orang-asing-di-Malaysia#sthash.ACVhpTMh.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-