Saturday, November 21, 2015

Kenyataan Jawi sahkan pelantikan CEO MAIWP tak sah, kata pemimpin Amanah

OLEH NABIHAH HAMID
Published: 21 November 2015 1:14 PM
Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin berkata pelantikan CEO MAIWP adalah bercanggah dengan undang-undang Akta 505, dan JAWI juga mengesahkan perkara yang sama. Gambar fail The Malaysian Insider, 21 November, 2015.

Menegaskan isu pelantikan ketua pegawai eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang akan dibawa ke peringkat Yang di-Pertuan Agong, Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin berkata jawapan Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) mengesahkan pelantikan itu bercanggah dengan undang-undang atau “ultra vires” Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 atau Akta 505.

"Jawapan pihak JAWI menyokong kenyataan saya sebelum ini. Mereka langsung tidak pertikaikan pelantikan tersebut bercanggah dengan undang-undang.

"Akta pentadbiran Islam Wilayah Persekutuan terlalu jelas. Selagi akta tidak dipinda, maka MAIWP kena ikut undang-undang," katanya kepada The Malaysian Insider yang mempersoalkan lantikan dibuat sebelum pindaan akta berkaitan.

Jawi semalam mengakui Rang Undang-undang (RUU) Pentadbiran Agama Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 2013 yang dibentang di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama pada 26 Jun, 2013 ditarik balik pada 8 Julai, 2013.

Katanya, ia berikutan bantahan orang awam terhadap salah laku peruntukan seksyen yang terkandung dalam pindaan tersebut.

Namun menurut Jawi, MAIWP kini sedang membuat penambahbaikan RUU itu untuk membentangkannya semula di Parlimen.

"Kenapa tidak buat pindaan terhadap akta ultra vires seksyen 14(2) Akta 505, dan kemudian barulah membuat pelantikan CEO?" soal Hanipa lagi yang turut menyifatkan mesyuarat pada 2005 mengenai pelantikan sehingga pembentangan RUU pada 2013 adalah masa yang agak lama.

Hanipa bersama beberapa Ahli Parlimen Parti Amanah Negara (Amanah) yang lain akan meneruskan hasrat untuk mengadukan perkara ini kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Saya sudah berbincang dengan beberapa ahli Parlimen Amanah dan kita akan terus dengan hasrat memorandum kepada Agong pada minggu depan hari Selasa atau Rabu.

"Saya juga menggesa Menteri di Jabatan Menteri yang bertanggungjawab ke atas MAIWP, iaitu Datuk Seri Jamil Khir Baharom meletakkan jawatannya.

"Ini kerana sebagai pengerusi MAIWP beliau langsung tidak menjawab sama ada secara lisan ataupun bertulis," kata Hanipa lagi.

Hanipa pada sidang Dewan Rakyat Selasa lalu membangkitkan isu pelantikan CEO MAIWP yang secara jelas bercanggah undang-undang.

Ahli Parlimen Sepang itu turut menuntut penjelasan mengapakah MAIWP melantik CEO yang terang-terang melanggar atau ultra vires seksyen 14(2) Akta 505, iaitu apabila majlis itu melantik CEO yang bukan setiausaha.

Hanipa merujuk Seksyen 14(2) memperuntukkan, setiausaha hendaklah menjadi ketua pegawai eksekutif dan pentadbir majlis dan hendaklah bertanggungjawab bagi menjalankan dasar dan ketetapan MAIWP. – 21 November, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kenyataan-jawi-sahkan-pelantikan-ceo-maiwp-tak-sah-kata-pemimpin-amanah#sthash.pFiIB3RH.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-