Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Saturday, November 21, 2015

Muhyiddin, Shafie dipecat 27 November?

Khairil Ashraf | November 20, 2015

Perubahan tarikh itu menimbulkan tanda tanya tentang nasib Muhyiddin dan Shafie
PETALING JAYA : Desas desus yang menyatakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO diawalkan pada 24 November dari tarikh asalnya iaitu pada 27 November menimbulkan tanda tanya.

Bekas Naib Ketua Pemuda Setiawangsa, Shahbudin Husin berkata, sekiranya benar tarikh mesyuarat itu diawalkan pada 24 November ia membawa nasib buruk kepada Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal.

Walaubagaimanapun, katanya sekiranya mesyuarat tersebut kekal pada 27 November, adakah ia merupakan petanda baik bahawa mereka akan terlepas daripada sebarang hukuman.

“Muhyiddin difahamkan akan kembali ke tanahair pada 25 November manakala Shafie yang menunaikan umrah juga dijangka akan pulang sehari dua sebelum jadual asal mesyuarat MT pada 27 November itu.

“Persoalannya, apakah Muhyiddin dan Shafie akan dipecat dalam mesyuarat MT UMNO kali ini,” soalnya dalam entri terbaru di shahbudindotcom.blogspot.my.

Shahbudin menambah, mesyuarat MT UMNO kali ini akan lebih menjadi perhatian kerana Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan pada 8 hingga 12 Disember depan.

Katanya, ini kerana sebarang tindakan sama ada pemecatan atau penggantungan keahlian khususnya kepada Muhyiddin akan dilihat sebagai percubaan secara ‘terang lagi bersuluh’ untuk menghalangnya daripada merasmikan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri yang dijadual pada 8 Disember.

Namun demikian, katanya sekiranya kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa isu pemecatan Muhyiddin daripada parti itu hanya khabar angin boleh dipercayai dan diterima pakai, bermakna kedudukan Muhyiddin tidak akan tergugat.

“Jika peranan Muhyiddin mempengerusikan Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin parti tidak juga dikembalikan sebelum mesyuarat MT akan datang ini atau memang benar tarikh mesyuarat dipercepatkan kepada 24 November, maka kemungkinan besarnya ialah Muhyiddin bakal dipecat atau digantung keahlian UMNOnya.

“Begitu juga dengan Shafie dan lain-lain yang termasuk dalam Kumpulan tujuh itu, mereka juga akan menerima nasib yang tidak jauh berbeza dengan Muhyiddin,” jelasnya.