Sunday, November 22, 2015

Polis siasat NOW berkaitan dokumen Yapeim

KUALA LUMPUR, Ahad – Polis mula menjalankan siasatan terhadap kebocoran maklumat membabitkan dokumen Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) yang diperoleh Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata siasatan terhadap pemberi maklumat itu adalah kerana memperoleh dokumen dengan cara yang menyalahi undang-undang.

“Ya, kami telah memulakan siasatan. Bagi kes menyalahgunakan kuasa ianya dikendalikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya.

Khalid berkata, setakat ini tiada tangkapan dibuat kerana siasatan masih pada peringkat awal.

Siasatan terhadap kes itu dibuat selepas polis menerima laporan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Yapeim, Datuk Abibullah Samsudin, Rabu lalu.

Dalam laporannya, Abibullah berkata, tuduhan NOW terhadap Yapeim tidak berasas dan pergerakan itu memperoleh dokumen berkaitan secara salah.

Beliau menuduh, Pengarah NOW, Akmal Nasir menyebabkan maklumat palsu dan memutarbelitkan fakta dengan niat mengaibkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam.

“Jelas ianya merupakan satu fitnah jahat yang bertujuan untuk menghakis keyakinan penyumbang kepada institusi perniagaan Islam seperti Yapeim,” katanya.

Sebelum ini, Akmal mendakwa Yapeim telah membelanjakan wang berjumlah RM290,000 di Paris untuk penganjuran kursus perkahwinan yang dirasmikan oleh Jamil Khir.

Beliau berkata, terdapat dua program yang dinamakan ‘Simposium Perdana Paris: Isu Perkahwinan, Kekeluargaan, Keusahawanan dan Pengurusan’ telah diadakan secara berturut-turut di Paris pada hujung tahun 2014 dan awal tahun 2015.

Jamil Khil bagaimanapun menafikan tuduhan itu dan memfailkan saman terhadap Akmal berikutan dakwaan menyalahgunakan wang tabung anak yatim dan miskin melalui institusi di bawah kawalan Yapeim.

Jamil Khir selaku pihak plaintif dalam pernyataan tuntutannya mendakwa kenyataan yang diterbitkan di laman sosial Facebook NOW pada 13 November lalu bersifat jahat, tidak benar dan merupakan serangan ke atas maruah, integriti serta reputasi beliau sebagai menteri.

Beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk atas fitnah tersebut selain memohon perintah injunksi.

Writ saman dan pernyataan tuntutan itu difailkan menerusi firma guaman Tetuan Adnan Sharida & Associates di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Beliau juga diwakili peguam-peguam, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah dan Adnan Seman menamakan Akmal yang juga Ketua Publisiti PKR Johor sebagai pihak defendan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-