Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Friday, November 20, 2015

Pusat zakat digesa 'turun padang' cari orang miskin

Anne Muhammad

Sudah menjadi kewajipan kepada orang Islam untuk membayar zakat setiap tahun dan kebiasaannya mereka akan melunaskan tuntutan rukun Islam keempat itu dibuat melalui pusat pungutan zakat.

Namun kini, terdapat orang Islam yang memilih untuk membayar zakat terus kepada fakir miskin kerana tidak mahu ada ‘orang tengah’ yang mengendalikan termasuk mahu sumbangan mereka terus kepada golongan yang memerlukan.

Malaysiakini membuat tinjuan di ibukota untuk mendapatkan pandangan umat Islam mengenai perkara itu.

Antara respons yang diperolehi ialah ada yang berpandangan bahawa pusat pungutan zakat lambat bertindak dan tidak pro-aktif.

“Pernah bayar zakat terus kepada orang miskin kerana dia orang yang saya kenal. Rakan mahu minta kepada pusat zakat tapi pusat itu lambat bertindak," kata suri rumah Roslina Abdul Majid, 52.

“Orang zakat tidak datang tanya, patut pusat pungutan zakat ini sendiri mencari orang miskin dan memudahkan dalam memberikan sumbangan,” katanya.

NGO dan badan persendirian
Manakala Ahmad Sabri Idris, 34, pula berpendapat badan persendirian seperti NGO lebih mendekati golongan miskin berbanding pusat zakat.

Beliau yang membayar zakat melalui pusat zakat mahu pusat itu memainkan peranan dan tanggungjawab dengan lebih komprehensif agar golongan yang memerlukan, lebih terbela.

“Pusat zakat memang ada bantu orang miskin tapi saya lihat lebih banyak NGO turun padang sendiri untuk lihat orang miskin berbanding pusat zakat itu sendiri.

“Kalau lihat di Facebook pusat zakat ada beri maklum balas sekiranya ada yang bertanya tapi tidak cukup dengan itu, Pusat zakat harus bergerak lebih lagi untuk membantu golongan miskin,” katanya.

Teliti masalah fakir miskin
Bagi wanita yang mahu dikenali sebagai Anum pula berkata, beliau yang kehilangan ibu dan bapa menghadapi masalah dalam memohon sumbangan daripada pusat zakat untuk lima orang adiknya.

Katanya, pusat zakat tidak memberikan sumbangan dengan alasan dia bekerja.

Menceritakan perkara itu, beliau berkata, pada tahun 2000, gajinya dan suami hanya RM3,000 dikatakan tidak layak memohon zakat untuk lima adiknya kerana badan itu menganggap beliau mampu untuk menyara adik-adiknya.

“Gaji yang banyak itu tidak cukup untuk sara adik-adik saya memandangkan saya sudah ada anak dan mempunyai kereta serta rumah yang perlu dibayar.

“Masa itu bayangkan susah lah bila tidak dapat bantuan, perlukan bantuan sebab terdesak sehingga adik-adik perlu kerja di kedai makan semasa masih lagi belajar. Kalau dapat RM100 sebulan atau RM50 sebulan pun okey, sekurang-kurangnya dapat ringankan beban,” katanya.

Beliau itu turut meminta kepada pusat zakat memberi bantuan kepada mereka yang benar-benar memerlukan dan meneliti permasalahan yang dihadapi oleh golongan miskin.

Perlu lebih pro aktif
Sementara itu, seorang mahasiswi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula menyarankan supaya cara pusat zakat bekerja mungkin harus diubah supaya dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.

"Dari segi organisasi, pusat zakat dilihat tidak pro-aktif. Harus lebih pro-aktif kerana kita negara Islam yang menjalankan kutipan zakat," katanya.

Manakala Yusoff Talib, 63, pula berkata pada tahun 1990 iaitu tahun pertama penubuhan pusat pungutan zakat, beliau membayar kepada badan tersebut namun, pada tahun kedua, beliau tidak lagi berbuat demikian.

“Tahun pertama bayar zakat, tapi tahun kedua pusat zakat mahu tahu butiran pendapatan, jumlah harta saya...

“Saya terkilan, jadi saya berhenti daripada bayar zakat melalui pusat zakat. Sampai sekarang saya serahkan zakat saya kepada fakir miskin sendiri," tegasnya.

Manakala bagi wanita yang mahu dikenali sebagai Julia pula berkata, beliau membayar zakat melalui pusat zakat namun secara peribadi sering berkunjung ke rumah anak yatim bagi menyalurkan sumbangan.

“Saya suka berjumpa dengan orang miskin kerana doa mereka lebih terus," katanya.