Tuesday, December 8, 2015

Najib akui terguris hati dengan Dr Mahathir

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau sebenarnya boleh menerima pendapat dan teguran Tun Dr Mahathir Mohamad jika ia berkaitan dasar dan pentadbirannya. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 8 Disember, 2015.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengakui beliau terguris hati dengan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang banyak melakukan serangan peribadi terhadapnya.

Najib, yang juga presiden Umno, berkata beliau sebenarnya boleh menerima pendapat dan teguran bekas perdana menteri itu berkaitan dasar dan pentadbirannya.

"Tetapi dia (Tun Dr Mahathir) keluarkan pendapat-pendapat yang terlalu personal (peribadi)...," katanya dalam satu temu bual bersama stesen televisyen TV3 sempena Perhimpunan Agung Umno 2015.

Temu bual itu dikendalikan Editor Urusan Kumpulan, Berita dan Hal Ehwal Semasa, Media Prima Bhd, Datuk Seri Mohd Ashraf Abdullah; Editor Urusan Kumpulan, The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd, Media Prima Bhd., Datuk Abdul Jalil Hamid dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak.

Video temu bual itu turut dimuat naik di laman web www.newsplus.my/live-tv.

Najib juga menyifatkan Dr Mahathir tidak berpegang kepada kata-katanya dahulu, seorang pemimpin apabila tidak lagi berada dalam kerajaan, beliau haruslah sentiasa menyokong dan mendukung kepimpinan kerajaan semasa.

"Waktu kita dalam kerajaan, kita hargai sokongan yang tidak dalam kerajaan. Waktu kita di luar kerajaan, kita patut sokong orang dalam kerajaan.

"Itu yang dia (Dr Mahathir) selalu cakap... tapi saya tengok Tun ini dalam banyak hal, dia tidak amalkan apa yang dia cakap ketika dia dalam kerajaan," katanya.

Najib juga mengakui berasa kesal dengan tindakan Dr Mahathir yang kini lebih kerap mengkritik kepimpinannya berbanding menegur pembangkang dalam tulisan di laman blognya.

Keadaan ini menyebabkan beliau dan kepimpinan parti perlu melakukan pelbagai penjelasan kepada rakyat dan anggota parti berhubung setiap isu yang dibangkitkan Dr Mahatir yang disifatkan Najib sebagai banyak bersifat persepsi dan andaian tanpa disokong dengan bukti kukuh.

Menyifatkan segala dakwaan dan kritikan yang dihadapinya masa kini sebagai cabaran yang perlu dihadapi, Najib berkata perkara itu adalah lumrah yang harus dihadapi setiap pemimpin.

"Ini bukan baharu dan setiap pemimpin akan hadapi cabaran. Tapi ini ujian kepimpinan kita... ujian inilah yang perlu saya lalui dan mudah-mudahan saya dapat teruskan amanah ini dengan sokongan parti sebab banyak lagi amanah yang perlu diteruskan untuk negara dan parti," katanya.

Berhubung cadangan Dr Mahathir yang mahu supaya Majlis Tetua ditubuhkan untuk membimbing perdana menteri dalam urusan pentadbiran, Najib berkata perkara itu tidak pernah berlaku di Malaysia atau di mana-mana negara lain.

Malah, Najib menjelaskan tiada sebarang peruntukan dalam perlembagaan berkaitan penubuhan majlis itu, yang akan mengatasi kuasa Kabinet dan Majlis Tertinggi Umno.

"Bukanlah saya tidak hormat dia (Dr Mahathir) sebagai negarawan tapi saya pegang pada prinsip saya adalah perdana menteri yang sah dipilih rakyat. Saya juga adalah presiden yang dipilih oleh parti.

"Saya bukanlah seorang pemimpin yang tidak mendengar nasihat...tidak mendengar pandangan tetapi pada kesudahannya saya mesti buat keputusan atas apa yang saya fikir terbaik untuk negara dan parti," katanya. – Bernama, 8 Disember, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/najib-akui-terguris-hati-dengan-dr-mahathir#sthash.w2tRZK63.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-