Wednesday, December 2, 2015

Tiada tindakan terhadap siasatan 1MDB punca Khairuddin buat laporan luar negara

OLEH NABIHAH HAMID
Published: 2 December 2015 7:01 AM

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang berada dalam tahanan selama 2 bulan berkata beliau berkeras membuat laporan mengenai 1MDB kepada penguatkuasa di luar negara kerana itu wadah perjuangannya dalam menyelamatkan negara.Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 2 Disember, 2015.

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang ditahan polis selama 2 bulan kerana membuat laporan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di luar negara, berkata beliau terdorong mengambil tindakan sedemikian kerana mendakwa pihak berkuasa tempatan tidak mempedulikan skandal syarikat sarat hutang itu.

Bekas pemimpin akar umbi Umno itu berkata, beliau membuat laporan dengan 5 pihak berkuasa asing selepas begitu banyak aduan yang difailkannya dalam negara didakwanya tidak diendahkan.

"Saya sudah buat 7 laporan polis di ibu pejabat polis Dang Wangi. Namun, tiada tindakan langsung diambil polis.

"Saya buat laporan bermula 12 Disember, 2014 sehingga Julai tahun ini," Khairuddin kepada The Malaysian Insider dalam satu pertemuan baru-baru ini.

"Saya juga buat laporan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," kata anak kelahiran Pulau Pinang yang juga merupakan bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan itu.

Setakat ini, Khairuddin, 53, melaporkan mengenai 1MDB dengan agensi penguatkuasa di 5 negara iaitu Switzerland, Hong Kong, Perancis, Singapura dan United Kingdom.

Pada 18 September, sehari sebelum mengambil penerbangan ke New York bagi menemui Biro Persekutuan Siasatan (FBI) Amerika Syarikat, bapa kepada 4 anak itu ditahan dan kemudiannya dipenjarakan.

Dalam satu kes yang dilihat jarang berlaku, Khairuddin dan rakan peguamnya, Matthias Chang, ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma, undang-undang yang bertujuan menahan pengganas dan militan.

Pada 12 Oktober, mereka didakwa di mahkamah atas kesalahan mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan yang membawa hukuman sehingga 15 tahun penjara jika sabit kesalahan.

Pada keesokan harinya, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menjelaskan Khairuddin dan Chang didakwa mengikut Kanun Keseksaan, dan bukannya Sosma, kerana cubaan melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan sistem kewangan negara.

Kumpulan hak asasi manusia terus-terusan mengutuk penahanan itu, mendakwa ia bukti pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan Sosma.

Mereka bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin pada 18 November selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan prosedur di bawah Sosma tidak boleh digunakan dalam perbicaraan mereka.

Khairuddin berkata kepada The Malaysian Insider, keinginan melaporkan skandal tersebut di luar negara membuak-buak, lebih-lebih lagi apabila siasatan pasukan petugas khas 1MDB tertangguh berikutan beberapa perubahan dibuat Putrajaya.

Pada Ogos, bekas peguam negara Tan Sri Gani Patail, yang mengetuai pasukan petugas itu dan sumbangan RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri, dilucutkan daripada jawatannya.

Putrajaya juga menaikkan pangkat 3 ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam satu rombakan Kabinet pada hujung Julai, mengakibatkan siasatan PAC terhadap 1MDB turut tergendala sementara.

Mereka termasuk bekas pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamad yang sebelum ini agresif berkempen menentang penyalahgunaan dan penyelewengan dana awam serta lantang mengkritik 1MDB.

"Saya paling hairan kenapa tiga ahi PAC, antaranya Jazlan, dilantik sebagai timbalan menteri. Kenapa lantik waktu mereka sedang siasat 1MDB?

"Sepatutnya mereka harus selesaikan dulu siasatan, dan selepas itu mereka terimalah, kalau mereka hendak sangat terima jawatan itu.

"Mereka sanggup terima (jawatan) dan akhirnya proses siasatan PAC terhenti, apa motifnya?

"Jadi, bila tidak ada tindakan, saya yakin pengubahan wang haram ada berlaku di luar negara. Sebab itu saya ke London, ke Switzerland, ke Perancis dan sebagainya untuk membuat beberapa laporan polis," kata Khairuddin.

Katanya, tindakan membuat laporan polis adalah tanggungjawab kepada negara dan haknya sebagai warganegara.

"Ini dibenarkan undang-undang dan dibenarkan dalam Perlembagaan negara. Saya buat laporan untuk minta polis siasat kedudukan sekarang. Seperti yang Sarawak Report tulis, The Wall Street Journal tulis," katanya.

Pengalaman 60 hari di dalam penjara, katanya, hanya menguatkan lagi semangatnya untuk meneruskan isu 1MDB dan kempen menentang Najib.

"Tahanan ini adalah satu proses yang sebahagian daripada wadah perjuangan. Apabila cakap pasal perjuangan, inilah risiko yang terpaksa kita hadapi dan tanggung.

"Saya bersyukur kepada Allah kerana dalam tahanan, kita bukan jadi semakin lemah, tetapi makin cekal dan kuat," katanya.

Berikut sebahagian daripada temu bual yang dijalankan.

TMI: Boleh anda ceritakan mengenai pengalaman menjadi tahanan polis selama 2 bulan?
Bekas naib ketua Umno Batu Kawan mengakui perjuangannya yang berkait dengan 1MDB tidak ada kena mengena dengan Tun Dr Mahathir Mohamad. Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 2 Disember, 2015.

Khairuddin: Pengalaman ini satu penting kerana saya tidak biasa masuk lokap. Jadi, bila masuk, ini juga sebahagian ilmu yang diduga Tuhan. Dalam lokap tiada apa, kita dilayan secara baik. Bagaimana sekalipun, yang pegawai atasan itu saya tidak tahulah, tetapi pegawai bawahan cukup baik dan saya cukup puji, sifat profesional mereka cukup tinggi. Kita tidak dapat layanan istimewa tetapi kita dijaga dengan begitu baik dan rapi. Saya masuk lokap Dang Wangi selama 24 hari, tetapi akibat demam denggi saya dimasukkan ke wad Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) selama 11 hari.

TMI: Adakah anda ditempatkan bersama tahanan lain atau diasingkan?

Khairuddin: Di dalam lokap saya duduk 2 orang. Tidak bercampur. Namun selepas 19 atau 20 hari, apabila peguam saya Matthias Chang ditangkap, dia dimasukkan sekali satu lokap dengan sayalah. Maka saya duduk 3 orang.

TMI: Kenapa anda bertegas melaporkan mengenai 1MDB?

Khairuddin: Ini soal selamatkan negara kita, ini bukan soal nak jatuhkan kerajaan atau Umno. Ini wadah perjuangan. Saya nak tegakkan kebenaran.

TMI: Ada dakwaan tindakan Datuk didorong (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad. Adakah ia benar?

Khairuddin: Sebenarnya perjuangan saya tidak ada kena mengena dengan Tun M. Dalam isu perjuangan dalam 1MDB, saya tidak pernah bincang sepatah pun dengan Tun M. Ini wadah perjuangan saya. Saya dulu naib ketua bahagian Batu Kawan. Saya dipilih daripada akar umbi Umno dan rakyat. Bila sebagai naib ketua, mereka suruh saya lawan rasuah, jadi saya lawan. Saya bukan orang suruhan Tun M. Kalau saya orang suruhan Tun M, saya mungkin sekarang sudah jadi menteri. Bagi saya dakwaan itu adalah satu persepsi jahat dan tidak bertanggungjawab yang cuba nak mengaitkan dan mewujudkan konspirasi yang tidak wujud. Saya pergi luar negara buat laporan polis, saya ajak peguam pergi. Apa maknanya? Maknanya saya buat berdasarkan peraturan. Dinasihatkan peguam, cara nak melapor, dan disaksikan dengan peguam. Peguam hanya beri perkhidmatan guaman kepada saya, tetapi kenapa peguam saya juga turut ditahan sekali dengan saya? Tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia, peguam ditangkap dengan anak guam.

TMI: Dakwaan mengatakan anda berkait rapat dengan Dr Mahathir memandangkan hubungan anda dengan peguamnya, Matthias. Adakah Matthias juga peguam Dr Mahathir?

Khairuddin: Tidak, Mathias adalah bekas setiausaha politik Tun M dan bukannya peguam beliau. Peguam keluarga saya ialah Hanif Khatri Abdulla. Tetapi waktu nak buat laporan polis, memang saya ajak dia (Mathias) untuk nasihat saya cara nak buat laporan polis yang betul di luar negara, dan jadi saksi. Maknanya kita buat ikut peraturan dan saluran undang-undang. Lagipun dia ada 40 tahun pengalaman sebagai peguam.

TMI: Jika benar perkara ini tiada kaitan dengan Dr Mahathir, mengapa beliau dilihat bersama di mahkamah sewaktu pembebasan anda tempoh hari?

Khairuddin: Saya tiada kena mengena dengan Tun M. Beliau seorang tokoh negarawan. Saya ini bagi Tun M, hanyalah tahi kuku dan haprak. Perjuangan saya (menentang Najib) mungkin dia hargai. Kita nak lawan rasuah, jadi mungkin atas dasar ini (Dr Mahathir menghargainya). Kita buat laporan rasuah, kita kena tangkap. Dan saya rasa mungkin Tun M datang ke mahkamah untuk beri sokongan moral kepada kami. Saya pun tak tahu dia nak datang.

TMI: Baru-baru ini, anda memberi kenyataan menyokong pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bagaimana anda boleh berubah pendirian sedangkan satu masa dahulu anda pernah menerbitkan buku berjudul "50 dalil mengapa Anwar Ibrahim tidak boleh menjadi perdana menteri".

Khairuddin: Benar, saya penerbit buku 50 dalil kenapa Anwar tak boleh jadi perdana menteri pada 1998. Dulu bila Anwar ada buat kesilapan, saya bertindak. Dan sebab itu, sekarang bila Najib buat kesilapan, saya bertindak. Kita tidak boleh pilih kasih dalam perjuangan. Bila presiden buat salah, kita kena akur dan kita kena fikir bagaimana nak selamatkan parti. – 2 Disember, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/tiada-tindakan-terhadap-siasatan-1mdb-punca-khairuddin-buat-laporan-luar-ne#sthash.MpdSAIhr.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-