Tuesday, December 8, 2015

Ucapan Muhyiddin dirujuk jawatankuasa khusus parti, kata Tengku Adnan

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memaklumkan, hasil siasatan jawatankuasa khusus terhadap video ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dirujuk ke Lembaga Disiplin dan Majlis Tertinggi bagi tindakan lanjut. Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Disember, 2015.

Video ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis “Bersama Timbalan Presiden Umno” di Kelab Sultan Sulaiman, malam tadi akan diteliti jawatankuasa khusus parti untuk mengkaji sekiranya wujud perlanggaran daripada aspek perlembagaan parti.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata hasil siasatan jawatankuasa itu kemudiannya akan dirujuk ke Lembaga Disiplin dan Majlis Tertinggi (MT) untuk tindakan lanjut.

"Saya semalam dengar dia (Tan Sri Muhyiddin) punya ucapan, saya juga mengenal pasti wajah-wajah yang turut hadir. Saya beri (rakaman video) kepada jawatankuasa khusus untuk buat penelitian, dan kemudian kita akan bawa ke perhatian Lembaga Disiplin parti dan MT untuk buat keputusan," katanya.

Beliau berkata Muhyiddin tidak seharusnya membawa hal ehwal dalaman parti itu ke pengetahuan umum, sebaliknya menggunakan platform yang betul untuk menyuarakan pandangannya dalam isu-isu yang dibangkitkan.

"Dia (Muhyiddin) bersetuju dalam Majlis Tertinggi. Dia kata akan akur dengan apa yang diputuskan dalam MT, jadi akurlah," kata Tengku Adnan.

Malam tadi, Muhyiddin menghadiri majlis berkenaan untuk menyampaikan ucapannya selaku timbalan presiden parti, selepas tidak dibenarkan membuat ucapan perasmian ketiga-tiga sayap parti dalam Perhimpunan Agung Umno 2015 esok.

Turut hadir pada majlis itu ialah bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan anggota veteran parti Tan Sri Aziz Yassin. – Bernama, 8 Disember, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/ucapan-muhyiddin-dirujuk-jawatankuasa-khusus-parti-kata-tengku-adnan#sthash.dafcGEca.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-