Friday, December 18, 2015

Umno, Pas disaran cari titik persamaan - Mufti Perak

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata kedua-dua pihak juga disaran agar mengenepikan fahaman politik masing-masing demi memastikan kepentingan negara dapat diberi keutamaan. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 17 Disember:
Umno dan Pas harus menumpukan kepada usaha mencari titik persamaan antara dua parti Islam terbesar itu, sekiranya mereka benar-benar ingin merealisasikan agenda perpaduan.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata kedua-dua pihak juga disaran agar mengenepikan fahaman politik masing-masing demi memastikan kepentingan negara dapat diberi keutamaan.

“Apa yg diucapkan PM (Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak) atau Hadi (Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang), kedua-duanya lebih ke arah untuk bersatu.

“Bukan bermaksud bersatu dari segi parti, tetapi bersatu dalam arah mencari perpaduan…dan mudah-mudahan (usaha ini) akan berjaya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kertas kerja di Multaqar Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 di sini hari ini.

Selain itu, katanya jika usaha perpaduan dalam kalangan pemimpin atasan berjaya, sudah pasti rakyat bawahan juga akan mengikut jejak langkah mereka dan berusaha mengelakkan sebarang perpecahan.

Terdahulu, ketika menyampaikan kertas kerja bertajuk “Perpaduan Ummah dan Kepentingannya Dari Perspektif Ulama”, Harussani menegur golongan ulama di negara ini yang tidak melaksanakan peranan mereka seperti sepatutnya.

Beliau berkata ulama hari ini sepatutnya menjadi tempat panduan dalam semua hal dan peka memberi nasihat sebaiknya terutama dalam hal membangunkan semula kekuatan dan perpaduan Islam.

“Sebaliknya sekarang ulama bercakaran antara satu dengan lain…kita bukan kurang ulama. Tetapi mereka ini tidak melaksanakan tugas dengan sebenarnya… masuk politik hanya untuk kepentingan diri dan mengekalkan kedudukan. Jika mereka berniaga bukan untuk kepentingan ekonomi umat Islam,” katanya di hadapan kira-kira 600 hadirin pada seminar itu.

Harussani juga berkata ulama kini bukan sahaja tidak menjadikan perpaduan sebagai agenda utama sehingga menghakis kepercayaan orang ramai, tetapi juga berpecah mengikut ‘mazhab politik’.

“Di Malaysia ulama dalam parti politik pun tak bersatu…dalam parti ada ulama tapi gaduh, tuduh-menuduh…keadaan makin buruk,” katanya.

Beliau berkata sebaiknya golongan ini perlu segera menghentikan perbezaan dan fokus pada agenda mengeratkan hubungan sesama Islam serta berbincang mengenai pembangunan negara.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/12/17/umno-pas-disaran-cari-titik-persamaan-mufti-perak/#ixzz3uahY5YhL

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-