Saturday, January 16, 2016

PAS berhak jalin kerjasama demi syiar Islam, kata Hadi

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu berhak menjalin kerjasama dengan Umno selagi kedua-dua pihak bersedia menerima pandangan masing-masing demi syiar Islam dan bukan kepentingan politik.Gambar fail The Malaysian Insider, 16 Januari, 2016.

PAS tidak akan berhenti bekerjasama dengan sesiapa sahaja atau mana-mana parti politik demi menegakkan syiar Islam dan kepentingan umat Islam di negara ini.

Malah, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, parti itu juga berhak menjalin kerjasama dengan Umno selagi kedua-dua pihak bersedia menerima pandangan masing-masing demi membangunkan syiar Islam dan bukan atas kepentingan politik.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dalam program Nadwah Ulama 2016 bertajuk “Politik Terkini & Hala Tuju PAS” di Kompleks Tarbiyah At-Taqwa (Komtaq) di Batu Enam di Kuala Nerus, hari ini.

Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Terengganu Satiful Bahri Mamat, Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Datuk Hussin Awang, dan Ketua Penerangan PAS Negeri Mohd Nor Hamzah.

Kata Hadi, beliau sendiri pernah mewakili umat Islam di negara ini suatu ketika dahulu untuk menjadi orang tengah dalam usaha menyelesaikan konflik di Yaman.

"Pada waktu itu kerajaan Malaysia menerusi Wisma Putra mengarahkan pihak kedutaan kita di sana (Yaman) membantu saya secara diplomatik untuk menjadi pendamai dalam konflik tersebut.

"Dengan urusan diplomatik itu, saya berjumpa dengan para pemimpin puak-puak bertelagah yang akhirnya berjaya mencari jalan perdamaian. Maknanya pada masa itu kita (PAS) jalin kerjasama dengan kerajaan khususnya Umno," katanya.

Hadi juga berkata beliau pernah berkongsi pandangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu berkaitan Islam di peringkat antarabangsa.

"Antaranya saya beri pandangan dan nasihat kepada Datuk Seri Najib supaya meminta kerajaan Bangladesh membebaskan tokoh-tokoh Islam negara itu daripada tahanan. Saya juga ada jumpa Tun Dr Mahathir dan kami berbincang mengenai perkara yang sama.

"Kita juga sedang berbincang dengan pucuk pimpinan negara bagaimana meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah. Inilah bentuk kerjasama yang kita jalin, takkan tak boleh.

"Takkanlah nak bersalam pegang tangan pun tak boleh," jelasnya. – Bernama, 16 Januari, 2016.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pas-berhak-jalin-kerjasama-demi-syiar-islam-kata-hadi#sthash.xrf63MOi.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-