Tuesday, January 12, 2016

Perkasa gusar percubaan DAP ambil hati orang Melayu

OLEH KC NAZARI
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali percaya DAP parti cauvinis berasaskan kaum kerana komposisi kepimpinan tertinggi parti itu tidak menggambarkan komposisi kaum di negara ini. Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 12 Januari, 2016.

Datuk Ibrahim Ali hari ini mengingatkan orang Melayu agar berwaspada dengan percubaan parti pembangkang DAP bagi mengambil hati orang Melayu menjelang pilihan raya umum akan datang.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) itu percaya DAP parti cauvinis berasaskan kaum kerana komposisi kepimpinan tertinggi parti itu tidak menggambarkan komposisi kaum di negara ini.

"Walaupun DAP ini majmuk daripada segi perlembagaan mereka tetapi selagi mana kepimpinannya tidak mencerminkan komposisi kaum, ia masih membuktikan DAP adalah parti cauvinis dan ‘keCinaan’," katanya pada sidang media petang ini.

Beliau berkata demikian mengulas perkembangan terkini parti itu yang kelihatan akan membariskan lebih banyak calon Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-14.

"Sebab itu saya harap orang Melayu jangan teruja dengan 'dakwaan kering' DAP akan bela Melayu dan Islam," kata Ibrahim lagi.

Selama ini juga, katanya, beliau melihat DAP tiada keselarian dalam tindakan dan perbuatannya terutama membabitkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak istimewa orang Melayu.

"Percakapan, tindakan dan perbuatan kena senada dan seirama," katanya.

Pada masa sama, Ibrahim turut melahirkan kerisauannya mengenai sikap yang mungkin diambil orang Melayu dalam DAP berkenaan hak istimewa kaum itu.

"Mungkin nanti akan ada tawar-menawar politik, termasuklah Melayu yang bersekongkol dengan mereka (DAP), mereka boleh pinda Perlembagaan (jika menang pilihan raya dan memerintah)," katanya.

Berdepan peningkatan kemarahan orang Melayu, DAP berkata ia bakal memperkenalkan calon dari kaum itu untuk PRU14 membariskan antaranya Young Syefura Othman, Dr Abdul Aziz Bari, Edry Faizal Eddy Yusof, Sheikh Omar Ali dan Abdul Aziz Isa.

Rancangan ini didedahkan selepas DAP menjadi sasaran kemarahan Melayu-Islam, menurut Institut Darul Ehsan (IDE) yang mendapati dua pertiga responden dalam tinjauan mereka November lalu merasakan parti itu anti Islam, anti Melayu dan hanya menjaga kepentingan Cina. – 12 Januari, 2016.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/perkasa-gusar-percubaan-dap-ambil-hati-orang-melayu#sthash.EoADkbrJ.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-