Monday, February 22, 2016

Nazri nasihat Muhyiddin tutup mulut atau digantung

FMT Reporters | February 22, 2016

Beliau bersedia mengusulkan supaya Muhyiddin Yassin digantung pada mesyuarat MT akan datang jika berterusan menyerang Najib Razak.

PETALING JAYA: Datuk Seri Nazri Aziz mengingatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tutup mulut daripada mengkritik Perdana Menteri atau berdepan digantung jawatan dalam parti.

Memetik laporan Malay Mail Online, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata, beliau memberi peluang terakhir kepada Muhyiddin untuk berhenti mengkritik Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Ini amaran terakhir kepada Muhyiddin. Kita tidak lagi terima sikapnya.

“Jika beliau tidak boleh bekerja sebagai satu pasukan dan berterusan menyerang Presiden parti, saya akan usulkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) akan datang supaya menggantung jawatannya sebagai Timbalan Presiden,” kata Nazri seperti dilaporkan portal itu.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, sebagai pemimpin nombor dua, tugas Muhyiddin adalah membantu Presiden menjalankan tugas dan tanggungjawab.

Nazri juga menasihatkan Muhyiddin, yang digugurkan daripada Kabinet Julai lalu supaya berhenti menyifatkan dirinya sebagai ‘pemimpin yang diutuskan tuhan’ untuk menyelamatkan Malaysia.

Katanya, sikap angkuh Muhyiddin menyebabkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak disukai dalam parti.

“Jangan terlebih yakin anda kuat. delegasi UMNO yang mengundi anda dalam pemilihan lalu tidak ambil peduli pun apabila anda digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Saya salah seorang daripadanya (delegasi yang mengundi Muhyiddin). Kebenarannya ialah Muhyiddin tidak berfungsi sebagai Timbalan Presiden seperti yang diharapkan,” kata Nazri.

Sabtu lalu, Muhyiddin memberi amaran kepada Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan MT agar tidak sewenang-wenangnya mengambil tindakan terhadap dirinya jika tiada bukti beliau melanggar peraturan dan Perlembagaan parti.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-