Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Wednesday, March 23, 2016

Muhyiddin tolak tawaran jawatan demi maruah?

Muhyiddin tolak tawaran jawatan demi maruah

MASTURAH SURADI
23 MAC 2016
Muhyiddin (enam, kanan) bersama bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (empat, kiri) bergambar selepas selesai program berkenaan, malam kelmarin.

KOTA TINGGI - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pendedahan terbaru dengan menyatakan ditawarkan jawatan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang dan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), namun bertindak menolak tawaran tersebut kerana tidak mahu mengorbankan prinsip perjuangannya.

Menurut Muhyiddin, penolakan tawaran itu kerana ia melibatkan maruah dirinya sendiri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Bicara Rakyat, Polemik Politik Masa Kini ke Manakah Arah Kita?, anjuran Gerakan Anak Muda Tenggara (Gamat) di Dewan Sri Teratai Kampung Batu 4, kelmarin.

Sambil berseloroh dalam ucapannya, beliau membayangkan di depannya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menghadap dan menyembah, selain turut merasa dirinya ‘agak bodoh’ kerana tidak menerima jawatan tersebut.

Menjelaskan keadaan itu, beliau memberitahu, perkara yang dibincangkan bukan soal tawaran jawatan, sebaliknya apa yang dipersoalkan tentang Kabinet dan beliau perlu menolak tawaran tersebut.

“Saya cakap saya minta maaf, ini bukan soal tawaran jawatan tetapi kita bicarakan soal Kabinet. Ini maruah saya. Saya tidak boleh korbankan prinsip perjuangan saya walaupun ada tawaran jawatan,” katanya di hadapan 1,500 hadirin.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, kehadirannya bertujuan menyatakan sesuatu yang penting supaya orang ramai faham dan sedar apa yang dihadapi ketika ini.

Beliau juga berasa seolah-olah rakyat bingung, tidak faham kerana terlalu ramai bercakap, selain pihak kepimpinan negara tidak bersungguh-sungguh menceritakan hal sebenar yang berlaku.

“Situasi pemikiran sebegitu bahaya sebab kita tafsirkan tentang apa yang berlaku mengikut kefahaman masing-masing, umpama belajar tanpa guru, itu bahaya.

“Apabila peristiwa-peristiwa melanda negara sampai ke tahap kritikal, kalau kita masih tak fahami punca dan cari penyelesaian, maka rosak minda kita, sedangkan kita tahu Malaysia sudah dibangunkan bertahun lamanya, malah di Johor mulanya Umno,” katanya.