Thursday, April 7, 2016

PRN Sarawak: Bekas penyanyi Iban tersohor dipilih wakili PAS

Clement Bayang mencipta sejarah dalam politik Bumi Kenyalang, apabila dipilih sebagai calon bukan Islam PAS yang pertama untuk bertanding pada PRN Sarawak akan datang
BINTULU: Bekas penyanyi dan artis rakaman Iban yang terkenal di Sarawak, Clement Bayang mencipta sejarah dalam politik Bumi Kenyalang, apabila dipilih sebagai calon bukan Islam PAS yang pertama untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 akan datang.

Clement, 59, yang pernah merakamkan sebuah album pada 2010, juga adalah tuai rumah (ketua rumah panjang) serta Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP)
Sarawak.

Beliau adalah antara 11 calon yang bakal ditampilkan PAS pada PRN Sarawak akan datang dan bakal bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus.

Dalam pada itu, PAS turut menampilkan calon termuda dan satu-satunya calon wanita, iaitu Hamidah Mokthar, 26, yang merupakan pengurus di sebuah butik pakaian Muslimah dan Setiausaha Muslimah PAS Sarawak yang bakal bertanding di DUN Beting Maro.

Calon-calon PAS yang lain adalah:- 
Ustaz Yusof Assidiqqi Ahmad Sharkawi (Samariang), 
Zainal Abidin Yet (Pantai Damai),
Zulkipli Ramzi (Muara Tuang),
Asan Sikro (Sadong Jaya), 
Ustaz Wan Abdillah Wan Ahmad (Sebuyau),
Kiprawi Aman (Jepak),
Ketua Pemuda PAS Sarawak, Mohammad Arifiriazul Paijo (Lambir),
Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee (Pujut) dan 
Zharudin Narudin (Samalaju-kerusi DUN baru).

Semua nama calon itu diumumkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di sebuah hotel di Bintulu, malam tadi.

Terdahulu, sebelum pengumuman itu, Abdul Hadi menerusi ucapannya berkata, pemilihan calon-calon PAS untuk PRN Sarawak dibuat berdasarkan maklum balas daripada akar umbi di negeri itu.

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem mengumumkan DUN Sarawak akan dibubarkan pada 11 April ini, bagi memberi laluan kepada PRN.

Sebanyak 82 kerusi DUN bakal dipertandingkan pada PRN kali ini, termasuk 11 kerusi DUN baru, susulan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

– BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-