Saturday, May 14, 2016

Tun M patut tubuh parti baharu

WARTAWAN SINAR HARIAN
14 MEI 2016
Tun Dr Mahathir Mohamad
JOHOR BAHRU - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammed disaran menubuhkan Deklarasi Rakyat sebagai sebuah parti baru agar beliau dapat memilih calon yang memenuhi kriterianya untuk memimpin kerajaan.

Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, sokongan penuh yang didakwa diberikan terhadap Deklarasi Rakyat memberi peluang kepada bekas Perdana Menteri itu menubuhkan parti baru.

"Saya lihat itu (Deklarasi Rakyat) sebagai satu sokongan kuat kepada Tun Mahathir.

"Berasaskan sokongan itu penganjur patut tubuh parti baru mengetengahkan calon-calon difikir berkaliber seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Shafie Afdal yang disokong deklarasi itu dan panggilah ia parti Deklarasi Rakyat. Ini juga akan beri pilihan pada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Merasmikan Program Jelajah Jom Kenal Ubat Peringkat Negeri Johor, Sambutan Minggu Tanpa Tembakau dan Kesedaran Kesihatan Mulut di Galleria Kotaraya di sini, hari ini.

Shahrir berkata, situasi politik dan sistem pemerintahan di negara ini tidak sama seperti keadaan 'Arab Spring' yang berlaku di negara-negara Arab kerana Malaysia termaktub kepada undang-undang dan Perlembagaan.

"Ia tidak sama macam keadaan 'Arab Spring yang boleh membawa kepada kejatuhan pemimpin tapi kita mesti melalui proses pilihan raya. Saya rasa tak mungkin Deklarasi Rakyat akan menjadi seperti 'Arab Spring'.

"Kerana deklarasi seperti itu walaupun dibawa kepada Majlis Raja-Raja pun tidak boleh ubah sistem politik kita kerana tertakluk pada perlembagaan dan undang-undang," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-