Friday, July 22, 2016

PM tidak dinamakan sebagai defendan, tiada juga dakwaan salah laku jenayah - AG

Mohamed Apandi Ali
Peguam Negara memandang berat terhadap sindiran dan dakwaan-dakwaan yang dibuat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib berkaitan dakwaan salah laku jenayah berikutan kes tindakan sivil yang difaiikan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).

Sedangkan, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menegaskan, tindakan sivil itu langsung tidak menamakan Perdana Menteri sebagai defendan atau didakwa telah melakukan salah laku jenayah.

Beliau menjelaskan, tindakan sivil telah difailkan oleh DOJ Amerika Syarikat bagi pelucutan hak aset-aset berkaitan dan perkara itu kini tertakluk di bawah mahkamah sivil di negara itu.

"Ia adalah berkaitan apa yang dikatakan pengubahan haram wang yang diselewengkan dari 1MDB," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Mohamed Apandi, setakat ini tiada bukti daripada mana-mana siasatan yang dijalankan agensi penguatkuasa undang-undang dalam pelbagai bidang kuasa menunjukkan bahawa wang telah diselewengkan dari 1MDB.

Malah, katanya, tiada pertuduhan jenayah difailkan terhadap mana-mana individu bagi kesalahan seumpama itu.

Pada masa ini, siasatan sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia dan memandangkan kes itu sedang disiasat adalah tidak sesuai butiran mengenainya didedahkan kerana boleh menganggu siasatan.

Mohamed Apandi menekankan, Malaysia sebagai negara yang mendukung kedaulatan undang-undang, adalah penting untuk memelihara integriti siasatan agar hasilnya kelak tidak diragui.

Katanya, setakat ini Jabatan Peguam Negara masih belum menerima sebarang permintaan daripada DOJ untuk mendapatkan apa-apa maklumat atau bukti.

Walau bagaimanapun, beliau mengalu-alukan sebarang permintaan, selaras dengan komitmen kerjasama antarabangsa dan usaha membanteras pengubahan wang haram dan amalan rasuah.

Tegasnya, sebagai Pendakwa Raya,beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pelaku jenayah dengan syarat terdapat bukti yang mencukupi untuk berbuat demikian.

Sebarang salah laku mesti dan akan dihukum, tambahnya.

 - MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-