Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Friday, August 19, 2016

Saya tak kisah dipanggil 'bomoh', kata Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menafikan dakwaan bahawa beliau mempunyai kecenderungan memberi nama gelaran kepada anggota kabinet semasa beliau menjadi perdana menteri - dan berkata beliau juga tidak kisah diberi nama gelaran.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada bekas timbalan perdana menteri, Tun Musa Hitam, yang di dalam biografinya berjudul "Frankly Speaking" bahawa Mahathir suka memberi nama gelaran.

Musa memberi contoh Mahathir menggelar seorang menteri sebagai "Mat Bulat" manakala menteri-menteri lain membalasnya dengan memanggil Mahathir "Tok Bomoh".

Dalam catatan di blog semalam, Mahathir mendedahkan bahawa menteri yang beliau gelar sebagai "Mat Bulat" adalah Datuk Mohamed Rahmat, yang berkhidmat sebagai menteri penerangan di bawah petadbirannya pada 1987-1999.

Katanya, beliau menggelar Mohamed Rahmat sebagai 'Mat Bulat' kerana dia gempal.

"Saya tidak kisah orang panggil saya 'bomoh'. Saya rasa ia satu rujukan mesra kepada profesyen saya," kata Mahathir yang merupakan seorang doktor perubatan sebelum menyertai politik.

Bagaimanapun, Mahathir mempersoalkan dakwaan lain yang dibuat oleh Musa di dalam bukunya, termasuk menuduh perdana menteri selama 22 tahun itu menuntut kesetiaan mutlak.

Katanya, buku Musa 'Frankly Speaking' menarik sebagai bahan bacaan tetapi menegaskan bahawa "bercakap terus terang tidak bermakna bercakap benar".

"Dan apabila bercakap perkara yang berlaku 30-40 tahun lalu, ketepatan mengenai insiden dan perbualan, dipengaruhi oleh situasi semasa," katanya.

Mahathir berkata Musa, dalam bukunya, kelihatan mahu menyalahkan beliau bagi setiap kesalahan yang berlaku.

"Frankly Speaking' bertujuan untuk menyalahkan saya bagi segala-galanya yang berlaku dalam Umno dan kerajaan selama ini," kata Mahathir.

Sebaliknya, kata beliau, Musa tidak menyalahkan dirinya (Musa) sendiri untuk apa-apa pun.

"Dia tidak bersalah seperti bayi yang baru lahir. Yang mana menjejaskan mengapa dia begitu popular," kata Mahathir.

Musa berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri di bawah Mahathir dari tahun 1981 sehingga 1986.

Musa dalam biografinya berkata beliau meletak jawatan sebagai timbalan perdana menteri selepas Mahathir menuduhnya mahu mengambil alih jawatan perdana menteri.

[Baca berita penuh]