Monday, August 15, 2016

UMNO Johor tetap utuh dan tidak goyang dengan isu Muhyiddin

 BY WARTAWAN AGENDADAILY
Johor adalah negeri dimana UMNO lahir dan sejak dulu menjadi benteng parti.Maka apa saja yang berlaku di negeri itu khususnya sejak penggantungan dan pemecatan Tan Sri Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO sudah tentu mencuri perhatian.

Kalau ikut ramalan dan khabar angin yang disebar di blog dan media sosial bunyi macam UMNO di negeri itu sudah nak runtuh.Ini kerana nama besar bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Pagoh itu.

Namun dari hari ke hari termasuk sejak beliau baru-baru ini menghantar borang permohonan untuk daftar Parti Pribumi Bersatu Malaysia kepada Pendaftar Pertubuhan keadaan terus menerus seperti biasa.

Orang pertama yang pasti resah jika UMNO Negeri itu bergegar sana sini tentulah Menteri Besar yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Khaled Nordin.

Dari rentaknya kita boleh baca betul ke tidak ramalan sesetengah pihak tentang UMNO Johor berpuak-puak, berpecah dan lemah, susulan isu Muhyiddin.

Namun beliau tetap steady.

Berucap di majlis perasmian mesyuarat UMNO Bahagian Kota Tinggi Ahad Dataran Sedili Besar, Tanjung Sedili yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,Khaled memberi laporan secara langsung kepada semua yang hadir.

Katanya apa yang diramalkan tidak berlaku, malah UMNO Johor masih kekal kuat seperti dahulu.

"UMNO Johor masih seperti sebelum ini. Kerana UMNO Johor ini bukan terbina sehari dua. Bukan semalam, bukan sejak dua atau tiga pilihan raya yang lepas.

"Walaupun banyak gelora dan cabaran yang telah UMNO Johor hadapi semenjak tahun lepas, ternyata kesatuan ahli masih lagi sangat utuh," katanya.

Khaled menjelaskan bahawa UMNO Johor lahir sebelum kewujudan Malaysia dan kelahirannya adalah pada saat negara masih dalam berantakan serta mencari maruah diri.

“Jadi, untuk sebuah gerakan siasah yang sematang ini, ia punya kekuatan yang luar biasa. Lebih-lebih lagi di tempat kelahirannya sendiri,” katanya.

“Walaupun Tan Sri (Muhyiddin) adalah tokoh besar Johor dan sangat berjasa, beliau telah memilih haluan sendiri, haluan yang berlainan.

“Jadi, UMNO Johor mesti menghormati pendirian tersebut. Dan tugas kita terhadap UMNO harus diteruskan, malah mesti ditingkatkan,” kata beliau.

Beliau berkata, anggota UMNO perlu melihat perkara itu sebagai sebuah realiti sebuah perjuangan.

“Akan ada yang tercicir, akan ada yang tersasar, akan ada yang menarik diri, akan ada yang memilih jalan lain.

“Namun, yang harus kita fokuskan bukanlah kepada wujudnya perbezaan tersebut. Bukan pada mereka yang pergi. Kerana itu sudah lumrah,” kata beliau.

Tegas Khaled, fokus sebaliknya harus diberi kepada mereka yang memilih untuk kekal bersetia dengan wadah ini.

“Kerana bagi keseluruhan ahli UMNO Johor, UMNO itu bukan sekadar sebuah parti politik Melayu. Bukan sekadar sebuah institusi Melayu.

“Tetapi UMNO itulah pencetus sebenar kemajuan bangsa Melayu. UMNO inilah yang telah menghasilkan ‘the national awakening’ atau kebangkitan nasional,” kata menteri besar.

Beliau berkata, peranan besar UMNO dalam kebangkitan nasional itulah yang telah membolehkan semua berada di kedudukan sekarang, yang menjadikan Malaysia, serta segala ceritanya, sebuah kejayaan yang besar.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-