Thursday, September 1, 2016

Segala yang perlu anda tahu mengenai virus Zika


PANDUAN KINI l Memandangkan Malaysia mencatatkan kes virus Zika pertama apabila seorang wanita dari Klang, disahkan positif, penyakit viral bawaan Aedes ini secara rasmi melanda negara.

Berikut adalah beberapa fakta yang perlu anda tahu.

Apakah virus Zika itu?

Menurut laman web Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), virus Zika adalah virus bawaan nyamuk yang boleh menyebabkan penyakit pada hos manusia apabila terkena jangkitan.

Kesannya boleh terdiri daripada sakit ringan kepada keadaan kesihatan lebih buruk dan juga membawa kepada kematian.

Bagaimanakah virus Zika merebak?

Virus Zika lazimnya disebarkan melalui gigitan nyamuk Aedes yang dijangkiti, termasuk menyebarkan chikungunya, denggi dan demam kuning.

Penemuan terbaru menunjukkan bahawa nyamuk Culex juga mungkin menyebarkan Zika.

Virus ini juga boleh dijangkiti melalui hubungan seks dan telah dikesan dalam air mani, darah, air kencing, cecair amnion, air liur dan cecair badan di otak dan saraf tunjang.

Apakah gejalanya?
Virus ini biasanya menyebabkan sakit ringan.

Gejala yang mungkin muncul beberapa hari selepas digigit adalah:
Sakit kepala;
Demam;
Ruam;
Konjunktivitis (radang bahagian bawah kelopak mata);
Sakit badan;
Keletihan.

Gejala biasanya berlangsung dua hingga tujuh hari, walaupun tempoh pengeraman mungkin berbeza.

Tidak ada perbezaan dikenali dalam gejala wanita hamil dan yang tidak mengandung.

Apa lagi kesan Zika?

Selain daripada simptom, konsensus saintifik adalah virus Zika boleh menyebabkan microcephaly, atau kanak-kanak yang dilahirkan dengan kepala yang luar biasa kecil, dan sindrom Guillain-Barre, gangguan saraf yang boleh menyebabkan lumpuh dan kematian.

Bagaimanakah penyakit virus Zika dikesan?

Diagnosis adalah berdasarkan gejala dan gaya hidup pesakit dan / atau sejarah perjalanan, dengan mengambil kira:
Gigitan nyamuk baru-baru ini;
Tinggal di kawasan pembiakan nyamuk;
Perjalanan ke kawasan di mana virus Zika berlaku;
Hubungan intim dengan pesakit Zika;
Seks dengan pesakit dijangkiti Zika atau di kawasan di mana virus Zika berlaku.

Ujian makmal boleh mengesahkan kehadiran virus Zika dalam darah dan juga air kencing dan cecair badan yang lain.

Bagaimanakah penyakit virus Zika dirawat?

Gejala penyakit virus Zika boleh dirawat dengan ubat deman dan sakit biasa, berehat dan minum air yang banyak.

Jika gejala menjadi lebih teruk, orang ramai dinasihatkan mendapatkan nasihat perubatan.

Bagaimana mengelakkan penyebaran virus Zika?
Untuk mengurangkan risiko dijangkiti virus Zika, pelancong dan mereka yang tinggal di kawasan yang terlibat perlu mengambil langkah asas berjaga-jaga.
Elakkan gigitan nyamuk.
Pakai pakaian berwarna cerah bagi menutup sebanyak mungkin bahagian tubuh.
Gunakan halangan fizikal seperti skrin tingkap atau pastikan pintu dan tingkap tertutup.
Tidur di bawah kelambu.
Gunakan penghalau serangga yang mengandungi DEET, IR3535 atau icaridin (Ikut arahan label produk).

Musnahkan tempat pembiakan nyamuk.
Kambus, kosongkan atau bersihkan tempat pembiakan nyamuk yang berpotensi seperti baldi, tong, periuk dan tayar yang telah digunakan.
Pihak berkuasa kesihatan mungkin menasihatkan supaya semburan racun serangga dilakukan.

Amalkan hubungan seks yang selamat.
Mereka yang tinggal di kawasan yang terjejas perlu menggunakan kondom atau rawatan profilaktik lain, atau hindari diri daripada seks sama sekali.
Mereka yang pulang dari kawasan yang terjejas virus Zika perlu mengamalkan seks selamat atau menahan diri selama lapan minggu.
Mereka yang mempunyai gejala perlu mengamalkan seks selamat atau menahan diri selama enam bulan.
Pasangan seks wanita hamil perlu mengamalkan seks selamat atau menahan diri sepanjang tempoh kehamilan.
Pasangan di kawasan terjejas dinasihatkan untuk menunggu lapan minggu sebelum cuba untuk hamil, enam bulan jika kedua-duanya mempunyai gejala.

Sumber: Laman web Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-