Sunday, September 11, 2016

UMNO, BN kini bukan lagi 'Yes Man' macam zaman Mahathir

Editor: Cenderawasih 
Baru-baru ini bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad berkunjung ke Seremban dan berucap di sebuah majlis PPBM di sana. Seperti biasa, ‘negarawan ulung’ itu melemparkan serangan dan tohmahan terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak, UMNO dan BN.

Mahathir menuduh semua pemimpin UMNO sudah tidak boleh ‘buka mulut’ dan ‘tidak berani berkata benar’. Dia menuduh UMNO kini adalah ‘parti Najib’ dan tidak lagi memperjuangkan rakyat. Malah katanya, bukan Najib saja yang perlu disingkir, UMNO dan BN juga perlu ditewaskan pada PRU ke-14 nanti.

Bukan mudah untuk penulis berdepan dengan tuduhan seorang ‘negarawan ulung’ sehebat Mahathir. Kata-katanya bagai ‘fatwa’, dirinya bagai ‘maksum’, setiap butir perkataannya bagaikan ‘sabda’ yang kononnya benar-benar belaka…

Pemimpin UMNO tidak boleh buka mulut? Penulis melihat, ramai pemimpin UMNO bukan saja berani membuka mulut mereka bersuara, malah ramai yang tampil berani berkata benar di khalayak umum.

Cuma apa yang disuarakan dan kebenaran yang disampaikan itu tidaklah senada dengan tohmahan yang dilemparkan Mahathir. Kerana suara yang tidak senada dengan Mahathir itu maka ia disifatkan sebagai ‘tidak berkata benar’? Itu tidak adil pada pandangan penulis.

Pada pandangan penulis, apa yang difikirkan ‘benar’ di pandangan Mahathir, tidak semestinya benar di mata mana-mana individu di negara ini, malah di seluruh dunia. Mungkin dia sudah terbiasa dianggap ‘benar-benar belaka’ selama 22 tahun dan kini masih lagi mahu dianggap begitu? Maaf, alaf ini bukan lagi mengamalkan budaya ‘yes man’ seperti dulu…

UMNO kini ‘parti Najib’? Penulis tidak rasa begitu. Penulis rasa UMNO juga parti milik penulis dan lebih 3 juta ahli UMNO di seluruh negara. Kami menentukan siapa Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Majlis Tertinggi, Ketua-Ketua Bahagian UMNO dan sebagainya pada pemilihan agung parti sebelum ini.

Begitu juga Mahathir dulu. Selama 22 tahun orang UMNO menentukan dia sebagai Presiden UMNO. Dia pecat Timbalan Presiden dan lucut semua jawatannya, apakah Presiden UMNO dan semua MT UMNO sekarang tidak boleh berbuat demikian?

UMNO tidak perjuang nasib rakyat? Apakah Mahathir dulu perjuangkan nasib rakyat? Mentang-mentanglah Najib memperjuang nasib golongan berpendapatan rendah dan miskin, apakah ia tidak dikira membela nasib rakyat? Buka mata luas-luas dan fikirlah secara rasional.

Mahu singkirkan Najib, UMNO dan BN pada PRU ke-14? Itu terpulang kepada Mahathir dan konco-konconya. Namun jika benar itu hasrat Mahathir, maka jelaslah bahawa negara ini masih mengamalkan sistem demokrasi yang dikatakan ‘mati’ oleh bekas Presiden UMNO itu.

Tidak mahu lagi melihat BN memegang kuasa di Malaysia adalah suatu yang kenyataan normal dari pihak pembangkang. Memandangkan Mahathir kini bersekongkol dengan Lim Kit Siang, Mat Sabu dan Anwar Ibrahim, sanggup ‘menjilat segala kahak dan ludahnya’ sebelum ini, maka ia normal bagi pandangan penulis. Apa yang hendak dihairankan?

Cuma kini barulah para pejuang dan ahli UMNO tulen di seluruh negara faham dan sedar siapakah Mahathir yang sebenarnya. Dia ‘sebek’ dan sebak berpuisi ‘Melayu Mudah Lupa’, namun kini terbukti dialah yang sebenarnya mudah lupa.

Penulis doakan yang terbaik buat ‘negarawan ulung’ itu yang kini memilih untuk duduk sekatil dengan Kit Siang, Mat Sabu dan Anwar. Cuma penulis teringat pada doa almarhum Presiden PAS, Datuk Fadhil Noor, jika beliau masih hidup sekarang, apa agaknya pandangan beliau terhadap Mahathir…

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-